Bacaan Popular

Jumaat, 10 Februari 2012

Umat Islam Perlu Lahirkan Ramai Tenaga Pakar


Ilmu perubatan merupakan di antara bidang yang paling di gemari oleh orang-orang Islam sejak ribuan tahun yang lalu. Pengajian dalam bidang ini telah muncul seawal abad pertama Hijrah. Ramai tokoh-tokoh perubatan Islam telah memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan sains perubatan antarabangsa untuk beberapa abad lamanya.

Karya-karya tokoh perubatan Islam seperti al Razi dan Ibnu Sina merupakan rujukan asas dalam bidang perubatan di universiti-universiti Eropah kemudiannya.

Buku al Hawi karya al Razi dan beberapa karya lain kekal selama beberapa abad dan digunakan dengan begitu meluas sebagai rujukan dalam ilmu perubatan.


Qanun fi at Tibb Ibnu Sina yang diulang-cetak

Bagi karya Ibnu Sina yang terkenal bertajuk al Qanun Fi al Tibb pula telah di gunakan sepanjang 600 tahun, sejak abad ke 12 hingga ke 17 M sebagai rujukan asas dalam pengajian ilmu perubatan di Eropah termasuk di semua universiti di Perancis dan Itali. Pada abad ke 15M, buku ini telah dicetak sebanyak 15 kali dalam bahasa Latin dan satu kali dalam bahasa Hebrew. Buku ini kemudiannya telah di ulang cetak beberapa kali sehingga abad ke 17.

Di Baghdad, ibu kota Iraq telah memilih ilmu perubatan dan kedoktoran sebagai cabang ilmu pengetahuan yang pertama sekali di kaji secara sistematik. Banyak hospital atau rumah sakit yang telah di bina oleh pemerintah dengan kerjasama para sarjana Islam. Khalifah Harun al-Rashid (170H/786M – 193H/809M) telah mendirikan rumah-rumah sakit (Bimaristan) di seluruh negara. Rumah-rumah sakit di Kaherah pada zaman Ibn Tulun telah di asingkan di antara wad lelaki dan wanita. Khalifah Umar Bin Abdul Aziz pula telah membina hospital khas untuk merawat pesakit-pesakit kusta.

Tokoh perubatan Islam yang bernama Yuhana Ibn Musawaih telah melakukan kajian mengenai anatomi tubuh manusia. Oleh kerana pembedahan mayat belum lagi di lakukan, beliau melakukan kajian dengan membedah seekor monyet. Dengan pembedahan monyet itu ilmu anatomi mata telah berkembang dengan pesat. Beliau juga turut menghasilkan buku yang bertajuk “al-Asr Maqalat fi al-Ain” yang merupakan kitab tertua yang ditulis secara bersistematik menerangkan kaedah tentang oftalmologi.

Ibn al-Nafis, adalah seorang doktor perubatan dan merupakan seorang pakar bedah. Beliau telah menghasilkan teknik pembedahan dan perawatan selepas pembedahan. Dalam kajiannya, beliau mendapati darah beredar antara jantung dengan paru-paru. Kajian ini membetulkan kesilapan teori Galen Yunani. Al-Nadhr telah mempelajari ilmu perubatan dari bapanya al-Harith (meninggal 23H), beliau telah membuat pil-pil yang digunakan untuk merawat penyakit kuning (jaundice).


Abul Qasim az Zahrawi - Ketua bagi semua pakar bedah.

Ahli perubatan Islam juga telah mencapai kemajuan yang penting dalam bidang pembedahan. Di antara pakar bedah Islam yang terkenal ialah Abu al Qasim al Zahrawi yang meninggal dunia pada tahun 1013M. Karya beliau “Kitab al Tasrif” sebanyak 30 jilid dalam bidang ini telah dicetak dalam bahasa Latin pada tahun 1497M dan telah digunapakai sebagai buku rujukan perubatan dan pembedahan selama 5 abad di Eropah. Di barat beliau lebih dikenali sebagai Abulcasis – The Chief of All Surgeons (Ketua Semua Pakar Bedah).

Jelas bahawa ilmu perubatan adalah satu bidang yang sangat mulia yang mesti dikuasai semula oleh umat Islam dan tidak seharusnya bergantung kepada kehebatan dan perkembangan terkini yang dipelopori oleh Barat.

Sehinggakan Imam as-Shafie (sarjana Islam kelahiran Gaza) pernah berkata bahawa, “Aku tidak tahu satu ilmu yang lebih mulia selepas ilmu halal dan haram (ilmu Fiqh’) melainkan ilmu perubatan tetapi ahli Kitab telah ‘mengalahkan‘ kita dengan menguasainya”.

Walaupun tajuk kali ini lebih khusus untuk bidang perubatan, namun secara umumnya kita amat meyakini bahawa umat Islam perlu mengutip dan memiliki kembali khazanah kehebatan Islam. Ini boleh dicapai dengan menjadikan generasi kita sebagai generasi yang hebat jati-diri Islamnya serta mahir dan pakar di dalam apa jua bidang yang di ceburi seperti bidang dakwah, pendidikan, perkembangan teknologi, kejuruteraan, ketenteraan, perundangan, kewangan, sains politik dan lain-lain sebagai langkah untuk memiliki kembali era cemerlang seumpama zaman kegemilangan Islam yang silam.

kredit: Peduli Ummah


Salam Ukhuwah..~

1 ulasan:

  1. subhanallah.. rupa2nye permulaan perkenalan manusia dengan dunia anatomi manusia adalah melalui pembedahan ke atas monyet...


    p/s : smg Islam kembali bangkit.. insya-Allah..

    BalasPadam