Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Bacaan Popular
-
Sebagai seorang Muslim kita semua tahu bahawa solat itu merupakan kewajipan yang Allah s.w.t. suruh seperti mana yang terdapat di dal...
-
Hari itu, saya balik selepas didenda berdiri di luar kelas selama sejam selepas waktu sekolah oleh Ustaz Ismail kerana terlupa menyiapk...
-
Ini adalah beberapa PETUA (Perubatan Orang Tua-tua Dulu-kala) untuk kita ingati dan amalkan dalam kehidupan kita. Memang dulu-dulu jarak kli...
-
Zaman sudah berubah..isteri sekarang semakin berani berlaku curang!” Kadar gejala seks bebas kian meningkat dalam masyarakat hari ini. Lebih...
-
DOA INI AFDALNYA DIBACA 11 KALI KETIKA SUJUD SEBAIK SELESAI SALAM SEMBAHYANG FARDHU. KEMUDIAN MOHON DOA KEPADA ALLAH. INSYA'ALLAH. TAWAK...
-
Minggu lepas Tok Wan ke Telok Intan, distinasi tepatnya ialah Kampung Sungai Jejawi Telok Intan, Perak. Tok pergi dengan sepupu yang...
Sabtu, 4 Februari 2012
Sempena Maulidurasul 1433
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.
Kini kita sedang menyambut kehadiran bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang merupakan nabi akhir zaman yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Sempena berada pada bulan Maulidurrasul maka usaha dalam menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan dan contoh teladan dalam setiap aspek kehidupan perlu digandakan terutama ketika umat Islam sendiri terutama golongan remaja yang lebih seronok dan bangga menjadikan artis, pemain sukan sebagai contoh ikutan yang digilai. Kita mahu lahirkan umat Islam yang sentiasa bangga dan berebut-rebut untuk mencontohi nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan dari sekecil-kecil perkara seperti cara makan minum, masuk keluar tandas sehinggalah kepada perkara yang besar seperti ekonomi dan cara pemerintahan. Kita mestilah meniru tindakan para sahabat nabi dalam membuktikan kecintaan kepada junjungan nabi yang mulia seperti ada sahabat yang pada asalnya tidak suka makan buah labu tetapi apabila dia tahu bahawa nabi begitu menyukai buah labu maka dia pun turut sama menyukai dan memakan buah labu. Buktikan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w seperti makan apa yang dimakan oleh nabi, pakai apa yang dipakai oleh nabi, bercakap dengan apa yang dicakap oleh nabi. Bila rasa cinta dan kasih yang begitu tinggi kepada nabi telah subur dalam diri maka segala halangan akan kita tempuh. Sebaliknya bila rasa cinta pada nabi tidak subur dalam diri menyebabkan tiada ada usaha dan semangat dalam mencontohi cara hidup nabi dalam kehidupan seharian.
قال الرسول: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه
Maksudnya:Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia.
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran:
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Kita wajib menjadi umat yang bersyukur atas kelahiran dan pengutusan nabi Muhammad s.a.w kerana Baginda mengenalkan kita kepada Allah, mengeluarkan manusia dari lembah kejahilan dan kesesatan kepada keadilan Islam dan cahaya iman, membezakan antara hak dan batil, mengajar halal haram, dosa pahala, Syurga Neraka. Nabi tidak pernah rasa jemu dan putus asa walau dicaci, dihina malah diseksa dan berdepan dengan pelbagai usaha musuh dalam membunuhnya ketika menyebar dan mempertahankan Islam. Segala usaha murni yang dilakukan oleh nabi bukan untuk kepentingan peribadi dan keluarga sebaliknya untuk membawa kita umatnya kepada keredhaan Allah dan mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Antara tanda cinta yang dapat dilihat pada diri umat yang mencintai nabi Muhammad s.a.w ialah sentiasa merindui nabi sebagaimana rindunya kaum Ansor ketika menunggu-nunggu ketibaan nabi dalam peristiwa hijrah. Seperti cintanya para sahabat seumpama Talhah dan Abu Dajanah yang sanggup menjadikan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi nabi daripada terkena pedang dan anak panah musuh dalam peperangan Uhud. Umat cinta pada nabi juga sanggup mengorbankan harta dan jiwa dalam meneruskan perjuangan nabi dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Umat yang kasih pada nabi akan sentiasa taat kepada arahan Allah dan rasulNya serta sentiasa menjauhi larangan.
Umat yang cinta kepada nabi Muhammad s.a.w juga sentiasa berusaha dalam menjejaki dan mengikuti sunah nabi. Sekiranya terdetik perasaan benci kepada sunah nabi menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada kalangan yang diakui sebgai umat nabi. Mengapa ada umat Islam sendiri yang tidak suka kepada nabi dengan mempertikai sunah dan sistem Islam yang dibawa oleh nabi. Kita wajib fahama bagaimana tingginya rasa kasih nabi kepada umatnya sehingga pernah baginda bersabda dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim:
قال الرسول: لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ وَإِنِّي اخْتَبَأْت دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya : Bagi setiap nabi terdapat doa yang terus dimaqbulkan di dunia. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari qiamat nanti
Dalam kitab Fathu al-Bari dijelaskan maksud hadis ini ialah setiap nabi telah mendoakan agar umatnya yang menderhaka dibinasakan segera melainkan nabi Muhammad s.a.w yang tidak mendoakan demikian. Ini kerana nabi akan memberikan syafaat sebagai balasan kesabaran umatnya menanggung kesusahan dunia. Begitu juga imam Nawawi menerangkan hadis ini membuktikan kesempurnaan syafaat nabi dan belas kasihan baginda kepada umatnya dengan menjadikan kebaikan umatnya yang terpenting sehingga baginda menangguhkan doa balasan azab segera terhadap umatnya sehingga waktu terpenting dan amat diperlukan syafaat di akhirat nanti. Oleh itu buktikan kecintaan kita kepada nabi termasuk melalui ucapan selawat sepanjang masa dan tempat sebagaimana yang dianjurkan antaranya;
عن أبي هريرة أن رسول الله قال: مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً وَاحِدَةً، صَلىَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْر ًا ( رواه مسلم)
Maksudnya : Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali maka Allah berselawat (iaitu memberi rahmat dan gandaan ganjaran) ke atasnya sepuluh kali;
وَقَالَ الرسول: إِنَّ للهِ مَلاَئِكَةً سَيَّاحِينَ فِي الأَرْضِ يُبَلِّغُونِي مِنْ أُمَّتِي السَّلاَمَ – رواه النسائي وابن حبان
Maksudnya : Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang berlegar-legar di muka bumi. Mereka menyampaikan kepadaku salam daripada umatku.
Bagi selawat ada 3 pengertian yang berbeza iaitu Pertama selawat daripada Allah bererti rahmat, keredaan, kemuliaan, kepujian serta ketinggian kepadanya. Kedua selawat daripada Malaikat bermakna istighfar memohon keampunan Allah buat baginda. Manakala yang ketiga selawat daripada manusia bermaksud berdoa agar kita mendapat rahmat yang penuh mahabbah dan kasih sayang Allah.
Setiap kali menyambut Maulidurrasul s.a.w maka ada-ada sahaja perkara yang cuba dimomokkan sama ada oleh musuh atau umat Islam sendiri terutama dalam perkara berkaitan dengan diri dan ajaran nabi Muhammad s.a.w. Antara yang tebaru tindakan Kelab Taat Suami menganjurkan forum Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan bukan Islam dan penganut Islam sendiri yang tidak betul-betul mendalami sirah nabi sedangkan risalah yang dibawa Nabi Muhammad membawa pakej sempurna kepada kehidupan manusia dan tidak setakat berkaitan tauhid kepercayaan kepada Allah semata-mata. Baginda menunjukkan cara hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Kegagalan dalam mengambil seluruh ajaran nabi menyebabkan ketokohan nabi dilihat agak terbatas dan ia merupakan antara usaha musuh Islam dalam meletakkan nabi sebagai manusia biasa yang tidak mempunyai sebarang keistimewaan berbanding tokoh dunia yang lain. Begitu juga gejala murtad yang tidak boleh dinafikan berlaku di kalangan umat Islam perlu segera dibendung terutama ancaman sekularisme yang mendasari dasar-dasar kerajaan telah menjadi punca utama gejala ini semakin parah sebagaimana ajaran nabi dipisahkan dan diguna apa yang setuju oleh nafsu dan dibuang bila ia bercanggah dengan nafsu seperti solat, puasa boleh diterima tetapi ekonomi, perundangan dan politik Islam ditolak. Kita juga bimbang dengan isu pembuangan babi di masjid yang kembali hangat dalam sehari dua ini yang dilihat cuba mengeruhkan hubungan antara agama dan kaum yang dibimbangi diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi. Oleh itu tirulah cara pemerintahan nabi yang berjaya melahirkan umat Islam yang taat pada kerajaan dan umat bukan Islam yang berasa dijamin keselamatan dan kebahagiaan hidup di bawah sistem Islam. Nabi diikuti negara diberkati, cara hidup nabi dilaksana umat bahagia.
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru:
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)
Rakaman khutbah 3hb Febuari 2012 yang menyentuh kehidupan yang meniru sedikit demi sedikit cara Yahudi dan Nasara yang dibanci Rasulullah saw.
">
kredit: JAKIM
Salam Ukhuwah..~
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan