Bacaan Popular

Sabtu, 18 Februari 2012

Alhamdulillah...Tapi Jangan Politikkan Segala-galanya


Syukur Alhamdulillah...

Negara kita Malaysia masih aman, tidak berlaku pertumpahan darah kecuali eksiden kecil-kecil sana-sini atau amukan kecil yang mungkin menyebabkan seorang atau dua orang menjadi mangsa.

Syukur juga kerana walaupun arena politik yang selalu disebut orang sebagai arena yang kotor masih tidak terlalu kotor di sini sebab belum berlaku sehingga angkat senjata, tembak-menembak antara dua pasukan penyokong parti politik masing-masing.

Di tengah2 pentas negara kita kini, nampaknya para pemain dan pelakonnya rancak bermain politik. Semua lakonan, dialog watak2nya, pemandangan, latar belakangnya adalah lakonan politik, iaitu lakonan politik realiti, atau imaginasi, persepsi dan sebagainya.

Politik yang dimainkan adalah politik kepartian yang mempunyai rencah taksub, fanatik, berat sebelah, dan dipenuhi dengan tuduhan melulu, fitnah, sandiwara, ditambah dengan peluru dan kata2 kesat, maki hamun, jauh dari adat tradisi dan budaya bangsa serta agama yang berpandukan kepada sikap lemah lembut, adab sopan, tata susila, akhlak dan nilai2 moral yang diwarisi selama ini.

Orang boleh berkata kepada orang lain, tidak kira siapa lagi, dia Sultan, Perdana Menteri, tokoh agama, ketua kaum, orang yang seharusnya di hormati, orang yang berjasa, dan sesiapa saja, asalkan dia bernama manusia, dan semuanya sesama manusia, maka setiap orang bebas berkata kepadanya apa2 yang dikehendakinya, sama ada dalam bahasa kasar, bahasa biadap pada ketika2 yang tertentu dan maki hamun yang kadang2 amat memalukan.

Saya rasa semuanya dibolehkan oleh norma2 politik kepartian sekarang ini, kerana politik kepartian seolah2 merupakan lesen untuk seseorang itu bercakap kasar dan membuat fitnah, melemparkan tuduhan, melepaskan dendam kesumat, malah tujuannya hanyalah satu iaitu untuk mendapat pengaruh dalam masyarakat, dan mendapatkan simpati orang awam, terutamanya orang yang akan mengundi dalam PRU nanti.

Lesen ini kadang2 boleh digunakan untuk menjual maruah, menggadai agama, mempertaruhkan bangsa, dan yang lebih merbahaya lagi meletakkan negara keseluruhannya dalam tangan2 seteru yang sedang mengintai2 untuk merosakkan negara ini.

Oleh itu, saya rasa, apa2 saja yang berlaku dalam negara ini semuanya tidaklah harus dipolitikkan secara sempit begitu. Isu ekonomi, pendidikan, kemiskinan, kesihatan, perumahan, ikan dan telor, susu dan minyak masak, sungai dan parit, gerai dan kedai makan, sehingga ke isu pertahanan, kapal selam dan jet pejuang, bank negara yang menghadapi potensi kejatuhan ekonomi negara, malah sampai kepada isu agama, orang Islam murtad, dan seribu satu isu kemasyarakatan dan negara, semuanya itu tidaklah harus dijadikan isu politik partisan, tidaklah seharusnya diborongkan dalam satu bakul tanpa melihat kepada isu yang sebenarnya.

Politik boleh dipolitikkan, kerana politik adalah sistem dan pentadbiran negara yang wajib diperkemaskan dan bersih serta sehat, bukan politik kotor, tanpa etika, tanpa tapisan, tanpa sopan, tanpa adab, tanpa ilmu dan pertimbangan yang saksama.

Tetapi yang harus dielakkan ialah politik melulu dan melampau kerana kepentingan diri, puak, golongan, dan pihak tertentu, yang berbentuk politik hanyalah kerana politik untuk mencari pengaruh, walau pun terpaksa mengikuti jalan salah, bercanggah dengan nilai kesopanan dan agama, partisan melulu, taksub buta dan sebagainya, tanpa tamadun dan peradaban lagi.

Realiti dalam masyarakat kita pada hari ini ialah pertembungan diantara dua pihak dalam politik kepartian. Kedua2nya mempunyai pengikut setia, termasuk yang mengikut secara membuta tuli, hitam putih, apa2 yang dilakukan oleh partinya adalah putih dan bersih, dan apa2 yang dilakukan oleh parti lawannya adalah kotor, hitam. Media masing2 dalam bentuk cetak atau portal, akan membawa cerita2 yang enak dan lazat bagi pihak ideologi politik mereka masing2, dan menutup segala kebaikan lawannya, membuka pekong yang diada2kan terhadap lawannya, tak kira betul atau tidak.

Sepatutnya dalam keadaan ini, kita mempunyai golongan berkecuali dan berada ditengah-tengah, golongan ulamak, akademik, siswa, profesional, dan beberapa pihak lain lagi, yang tidak mempunyai mentaliti hitam puteh seperti pengikut parti partisan, iaitu golongan yang boleh berbicara dengan bersandarkan fakta dan hakikat, yang boleh menonjolkan kebenaran dan menolak kebatilan.

Tetapi golongan ini pun kadang2 terpengaruh dengan aliran semasa politik partisan, maka ilmu yang ada padanya, hikmah yang seharusnya terpancar dari dadanya, agama yang sewajarnya menjadi panduan tulen, akan turut diwarnai dengan warna semasa dalam permainan politik yang berorientasikan ideologikal sempit, yang melampaui asas2 ilmu dan budaya, tamadun dan kesopanan manusia.

Maka akhirnya pentas lakonan, hanyalah tinggal untuk para pelakon yang bermain politik sempit, dan mereka lah yang amat popular, mendapat tepuk sorak para penonton, bercakap dan berbicara sepanjang hari 24 jam, penuh ratorik dan semangat, yang penghujung perjuangan dan matlamatnya tidaklah diketahui oleh orang2 yang tidak terlibat dalam politik partisan ini, malah tidak diketahui matlamatnya. Tetapi merekalah yang menjadi wira bangsa, wira agama, wira akademik, wira itu….pejuang ini ….etc.etc.

Dalam keadaan ini, orang2 yang tidak terlibat amat takut untuk masuk ke dalam gelanggang, kerana sekiranya mereka masuk maka mereka mungkin akan diseret dan dijadikan mangsa pula….Sebab itulah golongan pertengahan dan profesional, malah golongan yang rasional dan berkecuali, akan terus membisu seribu bahasa, kerana kalau mereka membuka mulut maka mereka mungkin akan di lebalkan sebagai tali barut itu dan ini ! Jadi untuk selamat, tak usahlah pedulikan apa2 yang berlaku di sekeliling mereka …walau pun hal ini tidaklah seharusnya menjadi trend yang berpanjangan dalam masyarakat kita yang kekecohan ini, tetapi apa nak dibuatkan……, si luncai terjun dengan labu2nya, biarkan..! biarkan …!

kredit: Dr Ismail Ibrahim (MA – Universiti Al Azhar Cairo; PhD - Universiti St Andrew, Scotland; Bekas Duta Arab Saudi 2005-2008)


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan