Bacaan Popular

Selasa, 8 Mac 2011

Shisaha lebih bahaya dari Rokok


SHISHA, antara sedar atau tidak, dianggap trend atau kecenderungan yang semakin menular sekarang. Di Malaysia, penggunaan shisha semakin popular di kota metropolitan yang sentiasa menyaksikan drama kehidupan muda-mudi dengan gaya hidup bebas baik lelaki mahupun wanita.

Secara am, shisha menjadi antara pilihan masyarakat bandar untuk melepaskan tekanan sambil santai. Sedangkan ia bukan gaya yang positif, tambahan pula apabila golongan remaja termasuk wanita turut terbabit. Shisha lebih bahaya berbanding rokok dari pelbagai segi.

Walaupun wujud persepsi buruk terhadap penggunaan shisha dalam kalangan masyarakat umum, segelintir orang masih ketagih dengan amalan popular dari Asia Barat ini. Kemunculan shisha masih baru di negara ini, namun pengaruhnya cukup menakjubkan.

Ramai menyatakan ia lebih selamat daripada merokok, tetapi ia tidak wajar sama sekali kerana kandungan asas bagi rokok dan shisha adalah sama, iaitu tembakau. Tembakau yang digunakan untuk rokok diasapkan terlebih dulu sementara tembakau yang digunakan untuk shisha diperam.

Air dalam shisha tidak dapat menapis banyak jenis toksin dalam asap shisha. Shisha juga mengandungi nikotin, karbon monoksida dan lain-lain bahan seperti rokok biasa. Bahkan arang yang digunakan mendap dalam salur pernafasan dan meningkatkan masalah paru-paru kepada lebih teruk berbanding rokok biasa yang juga berbahaya dari segi bahan pengawet digunakan untuk mengawet dan merawat tembakau dalam rokok.

Bagi mereka yang menghisap shisha di kedai kopi, perkongsian paip shisha mendedahkan mereka kepada bahaya lain seperti penyakit yang merebak melalui air liur. Penyakit yang biasa kita dengar, berjangkit akibat berkongsi shisha adalah TB. Tidak hairanlah jika kes TB di Mesir menjadi satu kebiasaan di semua hospital.

Kerajaan tidak putus asa berkempen mengurangkan jumlah perokok. Belum sembuh mengenai rokok wujud pula shisha yang lebih berat padahnya. Gejala ini terpulang kepada masyarakat untuk menilainya. Kita perlulah membuat pilihan bijak bagi menjamin tahap kesihatan diri sendiri.

Malaysia menantikan generasi masa hadapan yang lebih berpandangan jauh dan seiring dengan peredaran zaman, tetapi bukan bermaksud ke arah yang negatif. Tiada siapa dapat mengubah tingkah laku ini, melainkan diri sendiri. Janganlah biarkan negara kita mundur dek gejala ini.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan