Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Bacaan Popular
-
Sebagai seorang Muslim kita semua tahu bahawa solat itu merupakan kewajipan yang Allah s.w.t. suruh seperti mana yang terdapat di dal...
-
Hari itu, saya balik selepas didenda berdiri di luar kelas selama sejam selepas waktu sekolah oleh Ustaz Ismail kerana terlupa menyiapk...
-
Ini adalah beberapa PETUA (Perubatan Orang Tua-tua Dulu-kala) untuk kita ingati dan amalkan dalam kehidupan kita. Memang dulu-dulu jarak kli...
-
Zaman sudah berubah..isteri sekarang semakin berani berlaku curang!” Kadar gejala seks bebas kian meningkat dalam masyarakat hari ini. Lebih...
-
DOA INI AFDALNYA DIBACA 11 KALI KETIKA SUJUD SEBAIK SELESAI SALAM SEMBAHYANG FARDHU. KEMUDIAN MOHON DOA KEPADA ALLAH. INSYA'ALLAH. TAWAK...
-
Minggu lepas Tok Wan ke Telok Intan, distinasi tepatnya ialah Kampung Sungai Jejawi Telok Intan, Perak. Tok pergi dengan sepupu yang...
Khamis, 24 Mac 2011
Kerana Telefon Bimbit
Kuatnya "godaan" sebuah telefon bimbit sehingga ada remaja kita yang pendek akal dan sanggup menggadaikan maruah untuk mendapatkan alat ini walau dengan apa cara sekalipun.
SILA beritahu saya jika ada dalam kalangan kita yang tidak memerlukan telefon bimbit! Saya berani katakan, hari ini telefon bimbit adalah keperluan yang mesti ada pada setiap orang. Telefon bimbit bukan lagi alat untuk bermegah-megah atau peralatan mewah tetapi merupakan kemudahan yang tidak dapat lagi ditinggalkan oleh manusia kini.
Malah, hari ini telefon bimbit bukan sahaja dimiliki oleh orang dewasa tetapi penggunaannya meluas pada remaja dan kanak-kanak. Dengan harga set telefon bimbit yang sangat berpatutan, dengan kadar semaksimum RM100, sesiapa sahaja boleh membelinya. Malah anak-anak saudara saya yang berumur antara tujuh sehingga 13 tahun juga memiliki telefon bimbit mereka sendiri.
Statistik tahun lalu menunjukkan 19.5 juta daripada 25 juta rakyat Malaysia melanggan perkhidmatan telefon bimbit dan 13.1 peratus daripada mereka adalah pra remaja dan remaja. Jumlah ini meningkat berbanding 12.3 juta pada tahun 2004. Jika dipecahkan mengikut kaum, pelanggan Melayu mendominasi sebanyak 53.9 peratus, diikuti pelanggan kaum Cina sebanyak 32.4 peratus, dan jika dipecahkan mengikut jantina pula, 57.4 peratus adalah lelaki.
Jumlah ini sudah boleh memberikan gambaran awal betapa berpengaruhnya telefon bimbit dalam dunia hari ini. Hari ini juga, sudah menjadi satu senario biasa apabila kita melihat anak-anak remaja bergaya dengan telefon bimbit masing-masing. Malah, ramai juga dalam kalangan mereka yang memiliki telefon yang lebih canggih dan lebih mahal jika dibandingkan dengan orang dewasa yang sudah bekerja.
Di sekolah, penggunaan telefon bimbit sudah jelas mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran. Set telekomunikasi ini diharamkan di sekolah - bukan kerana telefon bimbit itu memudaratkan tetapi kerana bimbang disalahgunakan sehingga menimbulkan kemudaratan. Walaupun mungkin hanya segelintir kecil remaja yang boleh menyalahgunakannya tetapi jika dilihat pada kemudaratan yang lebih besar, lebih baik alat itu diharamkan terus.
Namun, di peringkat pengajian tinggi, penggunaan alat komunikasi ini sudah terbuka luas. Seorang sahabat yang bertugas sebagai sukarelawan di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bercerita pada saya mengenai kisah yang tidak kurang mengerikan. Katanya, ada pelajar (terutamanya perempuan) di institut pengajian tinggi yang sanggup menjual diri kerana mahu mendapatkan wang untuk membeli telefon bimbit yang paling canggih!
Kata sahabat saya, beliau bertemu dengan beberapa remaja pelajar institut pengajian tinggi yang hamil luar nikah yang melahirkan anak di hospital luar bandar dan bertanya mengapa mereka tergamak berbuat demikian. "Jawapan mereka kerana mahu mencari wang lebih. Rata-rata mereka memberi alasan mahu membeli telefon bimbit yang paling canggih!" Demikian sahabat saya bercerita dengan wajah yang cukup kesal dan meminta disampaikan pada remaja lain agar tidak meniru perbuatan songsang itu.
Kerana sebuah telefon bimbit, ada yang sanggup menjual diri? Bunyinya seperti tidak masuk akal tetapi inilah realiti yang berlaku. Kuatnya godaan sebuah telefon bimbit sehingga ada remaja kita yang pendek akal dan sanggup menggadaikan maruah untuk mendapatkan alat ini waiau dengan apa cara sekalipun, tidak kira sama ada cara itu berbahaya atau memalukan.
Gelagat remaja dengan telefon bimbit tidak kurang melucukan. Ada yang sanggup tidak berbelanja wang saku yang diberikan ibu bapa, tahan berlapar dahaga di sekolah semata-mata mahu berjimat untuk membeli prabayar (prepaid) telefon masing-masing. Tidak kurang juga yang membingungkan ibu bapa kerana ada anak remaja mereka yang sayangkan prepaidnya dan lebih sanggup berborak menggunakan telefon rumah. Natijahnya bil telefon melambung tinggi dan hampir membuatkan ibu bapa sakit jantung!
Dalam keadaan hari ini, kita sukar menafikan keperluan telefon bimbit. Kebanyakan ibu bapa membekalkan anak-anak dengan set telekomunikasi ini untuk memudahkan mereka berhubungan. Apatah lagi jika anak jauh di perantauan seperti di kolej atau universiti, alat ini adalah medium yang paling praktikal untuk mengeratkan hubungan batin anak-beranak.
Seperti yang saya katakan, telefon bimbit bukanlah alat yang memudaratkan. Telefon bimbit hanya sebuah teknologi yang dicipta oleh manusia yang lebih pintar daripada alat itu senditi. Walau bagaimanapun, alat ini boleh merosakkan manusia semula jika tidak digunakan dengan berhemah. Alat ini akan "makan tuan" jika pemiliknya tidak bijaksana dalam mengendalikan diri dan peralatan itu sendiri.
Ibu bapa mungkin sekadar boleh mengingatkan agar berhemah ketika menggunakan teknologi telekomunikasi ini. Namun, selebihnya remaja sendiri yang wajib sentiasa berjaga-jaga. Tidak perlulah terlalu terpengaruh untuk memiliki telefon bimbit paling canggih dalam pasaran jika anda sekadar hidup dengan ehsan ibu bapa, yuran biasiswa atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPN). Memadai dengan telefon bimbit yang sederhana tetapi boleh mendekatkan silaturahim dengan keluarga, berbanding telefon mahal tetapi hilang keberkatannya.
Saya berharap dan saya percaya remaja-remaja yang membaca catatan ini tidak termasuk dalam kategori mereka yang saya ceritakan di atas. Saya juga berharap adik-adik remaja yang membaca catatan ini tidak terjebak sehingga ke tahap yang memalukan semata-mata kerana sebuah telefon bimbit. Yang penting, jangan biarkan diri sendiri diperbodohkan oleh teknologi yang kita cipta!
kredit: Salina Ibrahim
Salam Ukhuwah..~
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan