Bacaan Popular

Ahad, 13 Februari 2011

Memberi Maaf Itu Ubat


Bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang itu untuk memohon maaf atas segala kesilapan yang telah dilakukan kerana setiap seorang dari kita mempunyai ego yang tersendiri. Pernah satu ketika ada seorang kawan memberitahu saya yang dia tidak kisah jika kata-katanya menyinggung perasaan orang lain kerana menurutnya setiap hari raya dia akan memohon maaf dari orang tersebut. Tetapi apakah yang akan terjadi jika ditakdirkan umurnya tidak panjang atau orang yang tersinggung itu hilang entah ke mana. Memohon maaf dan memberi maaf sebenarnya memberi impak yang besar dalam kehidupan bermasyarakat yang kita amalkan jika ianya dihayati sepenuhnya.

Bagi saya maaf itu amat mahal harganya dan ianya perlu dijaga dan dinikmati ibarat sebutir permata. Jika maaf itu kerap dilafazkan terhadap orang yang sama atas kesalahan yang sama maka ianya tidak melambangkan nilai maaf itu sendiri. Ada segolongan orang yang sering membuat kesalahan yang sama kemudian apabila ada kepentingan tertentu yang memberi pulangan kepadanya dengan segera dia memohon maaf atas kesalahannya tetapi tak lama kemudian dia akan mengulangi kesalahan yang sama. Dalam mengharungi kerjaya saya, saya dapat melihat serta mendengar pelbagai keluhan dan ragam dari mereka yang datang untuk mengikuti kelas latihan ataupun sesi rundingcara. Ada diantaranya berkaitan dengan maaf.

Seorang wanita datang mengikuti kelas latihan meditasi islam kerana begitu tertekan dengan sikap ibu mertuanya yang sering mencari kesalahan dan mempergunakannya tetapi jika ibu mertuanya inginkan sesuatu darinya beliau akan mengakui kesalahannya dan memohon maaf atas alasan beliau sendiri tidak memahami mengapa beliau bersikap demikian. Wanita ini seorang yang berhati lembut dan memaafkan dan kemudian mengikut keinginan ibu mertuanya. Setelah berhasil mendapat apa yang diinginkan ibu mertuanya akan balik kepada perangai sebelumnya tanpa menghargai apa yang telah dilakukan oleh wanita berkenaan.

Kisah sebegini bukan hanya tertakluk kepada ibu mertua dan menantu sahaja tetapi ia juga kadang-kadang merangkumi kawan-kawan, suami isteri, saudara mara bahkan ibubapa sendiri. Tidak dinafikan keadaan ini akan membuatkan seseorang itu kecewa dan tertekan apatah lagi orang yang berperangai sebegitu adalah orang yang rapat dan orang yang kita sayangi. Keadaan ini juga sering membuatkan seseorang itu mencari jalan untuk cuba menyedarkan mereka tentang kesilapan dan perangai mereka. Namun apa yang terjadi semakin banyak jalan penyelesaian yang difikirkan semakin terbeban seseorang itu dengan sikap mereka. Ianya berkait rapat dengan teori fikiran yang menyatakan bahawa kita adalah apa yang kita fikir.

Seringkali ianya tidak mendatangkan hasil kerana jalan keluar yang difikirkan itu disaluti dengan emosi negatif samada ianya berupa dendam atau satu kepuasan melihat kejatuhan seseorang. Seperti yang telah dinyatakan dalam artikel-artikel yang lepas, emosi negatif akan melemahkan sumber kekuatan seseorang itu serta mengganggu sistem saraf dan akhirnya menjemput pelbagai penyakit ke tubuh. Semakin banyak jalan keluar difikirkan maka semakin banyak pula terkumpul emosi negatif yang bersarang di fikiran. Keadaan ini bertambah buruk apabila seseorang itu berhadapan dengan mereka yang sering berperangai memohon maaf dan kemudian melakukan kesalahan yang sama apatah lagi jika orang tersebut tidak mampu dielak umpama seorang isteri yang mempunyai seorang suami yang mempunyai perangai sedemikian.

Saya pernah memberitahu kepada seorang lelaki yang berhadapan dengan situasi ini satu cara yang yang bagi saya mampu untuk menghilangkan tekanan bahkan menjadi ubat kepada penyakit ini. Apa yang perlu beliau lakukan ialah memberi kemaafan kepada orang bersikap demikian sebelum mereka memohon maaf. Ini kerana kemaafan yang mereka pohon palsu dan harganya murah justeru itu selesai mendapat apa yang diinginkan mereka akan menyakitkan hati kembali. Unsur paling penting dalam memberi nilai yang tinggi terhadap harga satu kemaafan ialah ianya perlu dilakukan dengan hati tulus ikhlas semata-mata untuk mendapat rahmat Allah swt tanpa mempunyai rasa emosi atau dendam.

Perlu diingat setiap apa yang kita lakukan kerana Allah swt adalah satu ibadah dan setiap kebaikan yang dilakukan akan mendapat ganjaran sepuluh kebajikan. Kebajikan ini adalah getaran tenaga murni yang membantu kita dalam banyak hal untuk mengharungi kehidupan di dunia ini. Semakin banyak kebaikan yang kita lakukan kerana Allah swt maka makin banyak kebajikan yang kita perolehi. Kebajikan yang terkumpul ini akan menjadi ubat terhadap pelbagai masalah yang kita hadapi. Kata lelaki berkenaan, susah baginya untuk memaafkan orang yang selama ini kerap menyakitkan hatinya dan memohon maaf palsu.

Memang benar agak payah untuk memaafkan seseorang yang melakukan sesuatu yang menyakitkan kita. Tetapi ianya perlu dilatih dan dijadikan habit untuk memaafkan seseorang. Saya sendiri sebelum berada dalam keaadan sekang telah melalui pelbagai ranjau dan duri. Justeru itu saya amat memahami situasi sukar untuk memberi kemaafan. Perlu juga diingat tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Namun apabila kita melakukan sesuatu itu kerana Allah swt, insya Allah kita akan berjaya. Oleh itu berilah kemaafan kerana Allah swt. Lebih kurang dua bulan kemudian saya menerima sms dari lelaki berkenaan yang katanya orang tersebut kini telah insaf kerana satu insiden dan kini mereka telah menjadi begitu rapat.

Setiap apa yang kita lakukan tertakluk kepada hukum karma, janganlah difikir bagaimana untuk menyedarkan seseorang hanya untuk meluahkan kemarahan yang terpendam, ianya tidak akan berjaya. Sesungguhnya balasan dan pengajaran dari Allah swt amat setimpal kerana Allah itu Maha Adil. Belajarlah memberi kemaafan sebelum diminta serta berilah kemaafan yang mahal harganya yakni kemaafan dengan hati yang ikhlas dan mengharapkan rahmat Allah semata. Insya Allah kemaafan yang anda beri itu akan menjadi ubat kepada kekeruhan yang ada dan berterima kasihlah kepada Allah swt atas setiap apa yang anda perolehi kerana tanpa izinnya tiada satupun akan terjadi.

kredit: Shinichi


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan