Bacaan Popular

Selasa, 8 Februari 2011

Adakah Kita Sedar


Adakah kita sedar jika kita bermulut celupar?

Pernahkah kita berusaha untuk berubah tetapi tidak berjaya? Artikel ini membincangkan teknik mengubati penyakit mulut celupar daripada Al-Quran, khusus untuk mereka yang berniat untuk berubah, Insya Allah.

Rasulullah saw telah meninggalkan beberapa petua untuk mengubati penyakit lisan. Petua ini berguna untuk mengubati penyakit-penyakit lain seperti suka memfitnah, mengumpat, menipu, bercakap kotor dan sebagainya selain mulut celupar.

Pertama, nabi saw menyuruh diam. Sahabat Abu Syuraih Al-Khuza’iy r.a. menyatakan bahawa nabi saw pernah berpesan, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam.”

Kemudian, nabi saw menyuruh kita berzikir bagi mengimbangi aktiviti lidah. Kebanyakan dari kita menggunakan lidah untuk kemudahan dan kepentingan diri dan terlupa memuji pencipta lidah setiap hari. Kata-kata yang dihasilkan oleh lidah dalam memuji pencipta lidah lebih sedikit berbanding dengan kata-kata yang dihasilkan ketika berkomunikasi sesama kita. Menurut sahabat Ibnu Umar, nabi saw pernah bersabda, “Janganlah kamu banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah, kerana sesungguhnya banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah mengakibatkan kerasnya hati, dan orang yang paling jauh dengan Allah adalah orang yang paling keras hati'.

Berhubung dengan zikir, menurut rekod Imam Bukhari, nabi saw telah menyatakan, “Ada dua kalimat yang paling disukai Yang Maha Pengasih. Sangat mudah diucapkan tetapi sangat berat dalam timbangan. Kedua-dua kalimat itu adalah ’Subhanallah wa bihamdihi’ dan ’subhanallah hil azim’.” Kedua-dua kalimat ini membawa maksud ‘Maha suci Allah dan segala pujian kepadaNya’ dan ‘Maha suci Allah yang Maha Besar.’ Di dalam riwayat lain diceritakan, sesiapa yang membaca “Subhanallah wabihamdihi” 100 kali sehari, maka semua doasanya diampunkan oleh Allah, meski pun sebanyak buih di lautan.

Ketiga, sahabat Huzaifah r.a. pernah mengadu kepada Rasulullah saw tentang keburukkan yang ada pada lisannya. Maka Rasulullah saw bersabda, “Bagaimanakah engkau dengan istighfarmu wahai Huzaifah? Sesungguhnya aku beristigfar kepada Allah swt seratus kali setiap hari.” Istighfar bermaksud memohon ampun. Ucapan istighfar yang dimaksudkan adalah sekurang-kurangnya dengan mengucapkan, “Astaghfirullahazim” disertakan “perasaan menyesal” di dalam hati. Jika nabi saw yang maksum dan yang baik tutur kata beristighfar kepada Allah sebanyak itu, bagaimana pula agaknya jumlah kuantiti istighfar orang yang mempunyai penyakit lisan?

Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan