Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Bacaan Popular
-
Sebagai seorang Muslim kita semua tahu bahawa solat itu merupakan kewajipan yang Allah s.w.t. suruh seperti mana yang terdapat di dal...
-
Hari itu, saya balik selepas didenda berdiri di luar kelas selama sejam selepas waktu sekolah oleh Ustaz Ismail kerana terlupa menyiapk...
-
Ini adalah beberapa PETUA (Perubatan Orang Tua-tua Dulu-kala) untuk kita ingati dan amalkan dalam kehidupan kita. Memang dulu-dulu jarak kli...
-
Zaman sudah berubah..isteri sekarang semakin berani berlaku curang!” Kadar gejala seks bebas kian meningkat dalam masyarakat hari ini. Lebih...
-
DOA INI AFDALNYA DIBACA 11 KALI KETIKA SUJUD SEBAIK SELESAI SALAM SEMBAHYANG FARDHU. KEMUDIAN MOHON DOA KEPADA ALLAH. INSYA'ALLAH. TAWAK...
-
Minggu lepas Tok Wan ke Telok Intan, distinasi tepatnya ialah Kampung Sungai Jejawi Telok Intan, Perak. Tok pergi dengan sepupu yang...
Sabtu, 5 Februari 2011
Saya Rindukan Mak
MENJELANG hari raya macam-macam kenangan menjelma. Sedih, suka menjadi mainan hidup terutama kala menyambut hari-hari indah dalam kehidupan. Bagi yang melalui kisah sedih, pastinya hari akan sentiasa dirundung duka, begitulah sebaliknya terutama apabila kehilangan orang tersayang.
Saya ingin mengaitkan kenangan suka duka ini dengan kisah sedih yang dialami seorang anak muda yang secara kebetulan saya temui pada satu majlis.
Terpandang wajahnya, saya nampak dia tenang dan bersahaja tetapi senyum yang dilemparkan menguatkan kata naluri saya yang anak muda ini sedang menanggung rindu yang amat sangat.
Lalu kami berborak tentang banyak perkara termasuk hal-hal keluarga. Topik ke mana hendak balik beraya menjadi perkara pokok, kemudian berpindah kepada bertanya khabar tentang ibu bapa dan keluarga.
“Saya baru kehilangan ibu lima bulan lalu Kak. Sukar hendak digambarkan dengan kata-kata. Hanya Tuhan sahaja yang tahu,’’ katanya. Saya merenung matanya. Ada air jernih bertakung.
Menyedari anak muda ini menyimpan kisah sedih dalam hidupnya, saya memberanikan diri mengajaknya berbual untuk meneroka isi hatinya bagi mengetahui apakah sebenarnya yang telah berlaku.
“Kematian mak menjadikan hidup saya kosong, sepi dan sunyi,’’ kata S yang merupakan anak kedua bongsu dalam keluarga seramai lapan orang.
Menurut S, dia merasakan ibunya seperti baru semalam kembali mengadap Illahi.
Patutlah di awal perbualan dia asyik bertanya tentang latar belakang saya, sama ada masih punya ibu bapa atau tidak, berapa adik-beradik dan macam-macam yang kesemuanya berkaitan keluarga.
Sambil memberi semangat kepadanya supaya bersabar dan tabah, saya menyelami jiwa S untuk berkongsi pengalamannya selepas ketiadaan ibunya itu.
“Segala-galanya macam mimpi. Sehari sebelum mak menghembuskan nafas terakhirnya, kami seisi keluarga balik Melaka. Kami bawa mak jalan-jalan, makan-makan dan melawat tempat menarik di bandar bersejarah itu.
“Sekembalinya ke rumah, mak tiba-tiba jatuh sakit. Kami membawa mak ke hospital. Tidak lama selepas dimasukkan ke hospital, mak disahkan meninggal dunia kerana paru-paru berair.
“Bayangkan Kak Nor, baru semalam kami bergembira tiba-tiba mak sudah pergi. Pada hal mak tidak menunjukkan tanda-tanda pelik akan pergi meninggalkan kami. Saya dan adik-beradik yang lain macam bermimpi. Kami menjadi bingung dan tidak percaya mak telah pergi buat selama-lamanya,’’ katanya sebak.
Menyedari mungkin ada kata-kata saya yang mengguris perasaannya sebelum itu saya meminta maaf kepada S. Namun dia membalasnya dengan senyuman sambil mengatakan, tidak ada apa yang perlu dimaafkan.
Sejak kematian ibunya kata S, suasana rumah menjadi semakin sepi dan sunyi. Segala-galanya kosong dan hambar.
“Ada masa saya tidak dapat melangkah kaki untuk masuk ke rumah. Apatah lagi melihat hiasan dalam rumah, kain baju dan tudung mak yang berlipat kemas dalam almari.
“Ada ketikanya pula saya menangis semau-maunya kerana terlalu sedih. Saya cium tudung mak, saya peluk baju mak. Saya rindukan mak sangat-sangat. Tidak terkata rindu saya kepadanya,’’ tambah S.
Rindu yang sarat itu, kata S bukan sahaja dirasakan olehnya tetapi juga dialami oleh abang, kakak, adik dan juga bapanya.
“Dalam ramai-ramai keluarga kami, saya lebih rapat dengan mak. Kalau tidak mendengar suara mak sehari saya tidak boleh duduk, begitu juga wajahnya.
“Bayangkan sehingga saat saya bercerita dengan Kak Nor ini, saya masih tercari-cari mak sebaik masuk ke rumah selepas pulang dari kerja.
“Saya terlupa yang mak sudah tidak ada di dunia ini lagi. Saya ke dapur, ke bilik dan ke belakang rumah mencari mak. Sebaik sedar kepada kenyataan saya mengucap panjang-panjang dan bersedekah al-Fatihah untuk mak. Saya rindukan mak Kak Nor...,’’ tambahnya sayu.
Bertuah arwah ibunya. Mempunyai seorang anak yang begitu sayang dan mengingatinya sedemikian rupa.
Merenung wajahnya saya nampak air matanya bergenang di kelopak. Suaranya semakin sebak dan sayu. Rasa bersalah menerpa.
Lalu saya mengubah topik dengan bertanya bagaimana urusan rumah sekarang, siapa yang mengurusnya.
“Buat masa ini, kakak bergilir-gilir datang memasak dan mengemas rumah. Setiap hari rumah kami menjadi tempat persinggahan kakak dan abang-abang sebelum pergi kerja.
“Mereka yang memasak, mengemas. Kami masih berkumpul beramai-ramai di rumah milik arwah mak dan abah. Tambahan pula dalam bulan puasa ini.
“Saya setiap hari menangis teringatkan mak. Kalau mak ada, dia yang akan masuk bilik ke bilik mengejutkan kami untuk bersahur. Selagi tidak bangun selagi itulah mak akan memanggil.
“Begitu juga dengan waktu berbuka, mak yang kalut sangat. Serba serbi hendak disajikan supaya kami semua dapat makanan sedap. Tapi kini Kak Nor, apa yang ada hanya kenangan,’’ tambahnya.
Saya meminta S bersabar dan menerima hakikat setiap yang hidup akan mati. Hanya masa dan waktu menjadi penentu.
“Saya faham Kak Nor, tetapi ada masa kerinduan yang ditanggung membuat saya hilang punca. Saya sering terjaga di tengah malam semasa tidur. Saya juga selalu perasan seperti mak berjalan dalam rumah sambil membuat kerja yang biasa dilakukannya.
“Saya masih cuba menerima hakikat ini secara total. Biarpun mak dah tidak ada, saya tetap akan ingat mak sampai mati,’’ ujarnya.
Mengenai persiapan raya, S memberitahu mereka adik-beradik telah berpakat tidak akan balik kampung.
“Kami akan beraya di rumah dengan ayah. Kami mahu beramai-ramai menziarahi pusara mak pada pagi hari raya. Inilah masa saya mengubat rindu pada mak. Saya mahu berdoa dan bersedekah fatihah banyak-banyak kepada arwah mak agar dia tenang di alam barzah,’’ janji S.
Begitulah hati seorang anak yang telah kehilangan ibu tercinta. Pun begitu hakikat takdir perlu diambil kira. Yang hidup tetap akan mati. Sampai masa tidak akan terlewat barang sesaat dan tidak akan tercepat juga walau sedetik!
“Syukurlah Kak Nor masih punya ibu bapa. Seronok saya mendengarnya. Berilah kasih sayang dan perhatian kepada mereka selagi mereka ada.
“Jika berlaku seperti apa yang saya lalui, hanya air mata dan kerinduan yang akan datang dan pergi. Tidak akan ada lagi kasih sayang sejati daripada seorang ibu selepas itu,’’ S menutup cerita sambil menyapu air jernih yang mula mengalir di pipnya.
Saya terpaku dengan kata-katanya. Dalam maksudnya. Sekali gus saya menarik nafas lega dan syukur, masih punya ibu bapa yang sihat dan mampu lagi bergerak mengurus diri dan melayani kerenah anak-cucu.
Bersyukurlah kerana anda masih punya ayah, kakak dan abang yang bertanggungjawab dan mengambil alih tugas ibu dengan begitu akur sekali.
Sayangi dan hormati mereka sebagaimana ketika arwah ibu anda masih hidup. Insya-Allah kerinduan itu akan hilang sedikit demi sedikit. Kenanglah detik-detik indah ketika ibu masih hidup, pasti ia akan selalu ada dalam hati anda. Ingatlah Allah lebih sayangkan ibu anda.
Penutup kata, Sebagai manusia kita tiada kuasa mengubah masa lalu dan apa yang telah kita lalui. Lalu mengapa mesti kita mensia-siakan masa dengan bersedih dan menangisi atas sesuatu yang telah ditentukan Tuhan. Bersabar dan teruskan hidup adalah jalan terbaik menghilangkan kesunyian dan kesepian dalam meniti perjalanan masa depan yang masih panjang.
dikutip dari Utusan Malaysia
Salam Ukhuwah..~
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan