Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Bacaan Popular
-
Sebagai seorang Muslim kita semua tahu bahawa solat itu merupakan kewajipan yang Allah s.w.t. suruh seperti mana yang terdapat di dal...
-
Hari itu, saya balik selepas didenda berdiri di luar kelas selama sejam selepas waktu sekolah oleh Ustaz Ismail kerana terlupa menyiapk...
-
Ini adalah beberapa PETUA (Perubatan Orang Tua-tua Dulu-kala) untuk kita ingati dan amalkan dalam kehidupan kita. Memang dulu-dulu jarak kli...
-
Zaman sudah berubah..isteri sekarang semakin berani berlaku curang!” Kadar gejala seks bebas kian meningkat dalam masyarakat hari ini. Lebih...
-
DOA INI AFDALNYA DIBACA 11 KALI KETIKA SUJUD SEBAIK SELESAI SALAM SEMBAHYANG FARDHU. KEMUDIAN MOHON DOA KEPADA ALLAH. INSYA'ALLAH. TAWAK...
-
Minggu lepas Tok Wan ke Telok Intan, distinasi tepatnya ialah Kampung Sungai Jejawi Telok Intan, Perak. Tok pergi dengan sepupu yang...
Jumaat, 25 Februari 2011
Persepsi cinta berbeza
Bagaimana pelajar perempuan yang rata-ratanya mempunyai pencapaian pelajaran lebih baik berbanding lelaki, termasuk mahasiswa institusi pengajian tinggi, boleh terjebak dengan masalah sosial terutama isu seks sehingga mengandung dan melahirkan anak luar nikah?
Jawapannya mudah. Pencapaian remaja perempuan di negara kita sebenarnya ketinggalan dalam hubungan sosial dan pengetahuan mengenai tubuh badan; terutama membabitkan isu seks, kedaraan, kitaran haid dan kehamilan.
Malah ada yang tidak tahu mengapa seseorang wanita mengeluarkan darah ketika haid, di mana letaknya selaput dara, berapa bukaan (lubang) yang ada di kawasan sulit dan sama ada seseorang wanita boleh hamil tanpa melakukan hubungan seks.
Ini adalah hasil penemuan beberapa kajian dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta KotexBody Life IQ. Yang lebih membimbangkan ialah remaja perempuan menjadikan seks untuk membuktikan cinta kepada pasangan mereka.
Ramai tidak tahu, persepsi atau impian cinta remaja perempuan tidak sama dengan remaja lelaki. Remaja perempuan menganggap teman lelaki sebagai bakal suami dan anggapan ini membuatkan mereka sanggup menyerahkan jiwa dan raga; sedangkan pada remaja lelaki, cinta ketika usia muda adalah untuk mencuba, mencari pengalaman seks atau menyahut cabaran rakan.
Ada tiga jawapan diberi remaja lelaki (pelajar sekolah menengah) dalam kaji selidik dijalankan LPPKN mengenai reaksi mereka jika teman wanita hamil iaitu:
* Menuduh teman wanita curang (melakukan hubungan seks dengan lelaki lain. Ini kerana jika perempuan itu mudah diajak untuk bersama, tidak mustahil dia juga boleh melakukannya dengan orang lain)
* Melarikan diri
* Sanggup membunuh teman wanita bagi menghapuskan bukti
Tidak ada seorang pun daripada responden dalam soal selidik berkenaan sanggup bertanggungjawab dengan mengahwini teman wanita mereka atas pelbagai faktor seperti tidak bersedia, umur terlalu muda, belum habis sekolah dan tidak mempunyai pekerjaan.
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-4 LPPKN (2004) mendapati 2.2 peratus golongan muda berumur antara 13 hingga 24 tahun (kira-kira 132,000 orang) pernah melakukan hubungan seks luar nikah.
Kajian di Negeri Sembilan (2006) mendapati 5.4 peratus remaja melakukan hubungan seks buat pertama kali pada umur 15 tahun manakala kajian media LPPKN pada 1998 mendapati 27.2 peratus golongan muda mengadakan hubungan seks pertama ketika berusia 16 tahun dan umur paling muda pernah direkodkan ialah sembilan tahun.
Berdasarkan rekod klinik dan hospital kerajaan yang dikaji, 19 peratus kes hamil luar nikah membabitkan remaja di bawah 18 tahun dan lebih menyedihkan, 65 peratus daripada mereka adalah remaja Melayu.
Soal selidik seksualiti ke atas 1,303 remaja berusia 15 hingga 24 tahun mendapati lebih ramai remaja mula berpacaran pada usia awal (15 hingga 18 tahun) berbanding mereka yang tamat sekolah (18 hingga 20 tahun). Ketika bertemu janji, 65 peratus remaja di Semenanjung menganggap berpegang tangan adalah perkara biasa; 26.2 peratus pernah bercium dan 16.6 peratus pula pernah meraba-raba.
Itu belum masuk kes mengandung anak luar nikah, pembuangan bayi, pengguguran tidak selamat sehingga boleh mengancam nyawa atau mati ketika bersalin sendirian seperti pernah terjadi pada bekas pelajar pusat pengajian tinggi.
Bagaimana pula dengan kesan psikologi yang dialami remaja perempuan ini selepas melakukan satu demi satu kesilapan yang menjadi titik hitam dalam hidup mereka?
Ada ibu bapa bertanya, bagaimana anak yang dididik dengan baik dan dibekalkan ilmu agama sejak kecil boleh terjerumus dengan masalah ini pada usia muda?
Antara faktor dikenal pasti menjadi penentu kepada aktiviti seksual remaja ialah:
* Umur (biasanya berlaku pada akhir remaja) - Timbulnya keinginan untuk mencuba
* Status sosio ekonomi - Biasanya lebih banyak masalah dilaporkan di kalangan remaja daripada keluarga berpendapatan rendah
* Kurang pendidikan agama
* Kurang kawalan ibu bapa
* Pencapaian akademik yang rendah
* Tingkah laku ketika bertemu janji (jika banyak sentuhan fizikal, lebih tinggi kecenderungan melakukan hubungan seks)
* Ciri-ciri keluarga (latar belakang keluarga, sokongan dan kawalan ibu bapa)
* Pengaruh rakan sebaya
* Etnik (bangsa)
Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Harlina Halizah Siraj, isu seksual membabitkan remaja kini semakin membimbangkan, terutama pada remaja perempuan, kerana setiap perlakuan seks bebas memberi kesan langsung kepada mereka.
"Antara punca masalah kesihatan reproduksi atau seksual remaja ialah kurang pengetahuan agama dan moral; keruntuhan institusi keluarga; gaya hidup materialistik (mementingkan kebendaan); pengaruh rakan sebaya dan media.
"Ini akan membawa mereka terbabit dalam masalah pergaulan bebas, seks luar nikah, seks rambang (dengan banyak pasangan) dan penagihan dadah dan alkohol.
"Akibatnya berlaku masalah lebih besar seperti kehamilan yang tidak dirancang, pengguguran tidak selamat, pembuangan bayi (sama ada dengan niat untuk diselamatkan atau mahu dibunuh), jangkitan penyakit kelamin dan virus HIV, keganasan seksual dan eksploitasi seksual (dipaksa menjadi pelacur atau dipergunakan untuk kepentingan lain).
Sikap terhadap seksualiti
"REMAJA adalah masa di mana seseorang paling bertenaga tetapi tenaga ini digunakan ke arah tidak sepatutnya. Ibu bapa perlu faham, remaja adalah zaman peralihan daripada kanak-kanak kepada dewasa. Semua proses yang berlaku ketika peralihan zaman ini memberi kesan kepada perkembangan psikologi mereka.
"Ketika inilah mereka memerlukan panduan supaya tidak terpengaruh dengan anasir tidak baik, terutama isu hubungan sosial dan seks.
"Malangnya, ramai ibu bapa melenting apabila kita mencadangkan pelbagai program untuk memperkasakan remaja dalam ilmu berkaitan hubungan sosial dan seks. Mereka bukan golongan bermasalah tetapi mengalami kesukaran," katanya.
Pelbagai cadangan diutarakan seperti menyediakan rumah perlindungan untuk remaja perempuan terlanjur, klinik khas untuk remaja, membabitkan remaja dalam pelbagai program sokongan (untuk remaja) dan memberi pendidikan seks di sekolah; semuanya mendapat bantahan pelbagai pihak yang beranggapan ia akan merancakkan lagi aktiviti seks di kalangan golongan muda kerana ada kemudahan dan diberi pendedahan awal mengenainya.
Menurut Dr Harlina yang juga Naib Presiden Jemaah Islah Malaysia, sama ada kita suka atau tidak, kita kena terima hakikat semakin ramai remaja melakukan hubungan seks pada usia muda, malah ketika bersekolah lagi.
Bahkan ibu bapa sepatutnya memikul tanggungjawab memberi pendidikan seks kepada anak sejak kecil secara berperingkat sesuai dengan umur mereka.
Kajian menunjukkan 'seks' adalah perkataan paling banyak dicari di Internet. Ini menandakan remaja bukan saja mempunyai keinginan tinggi untuk mengetahui mengenainya, malah lebih selesa mendapatkan maklumat mengenai seks dan hubungan sosial daripada Internet atau rakan sebaya berbanding ibu bapa.
Ramai tidak faham mengenai seksualiti. Ia bukan hanya mengenai hubungan seks atau kelamin, tetapi aspek penting dalam kehidupan manusia yang merangkumi dimensi biologi (fizikal atau tubuh badan), emosi (perasaan sayang, cinta dan hormat), akal (organ seks yang paling penting), sosial (interaksi antara sesama dan berlainan jantina) serta spiritual (memberi makna kepada diri sendiri).
Satu perkara yang tidak kurang pentingnya ialah sikap kita sendiri terhadap seksualiti. Adakah kita bersikap:
* Liberal (bebas dan terbuka) - menganggap seks sebagai ekspresi diri dan tidak boleh ada kekangan dalam ekspresi).
* Seimbang - Seks adalah komponen penting dalam kehidupan tetapi ia perlu diatur dan ditangani dengan baik.
* Konservatif - Memandang seks sebagai kerendahan moral dan seseorang itu dianggap mulia jika mampu mengekang nafsu seksnya.
Mungkin juga pelbagai masalah hari ini disebabkan golongan muda lebih bersikap liberal terhadap hubungan sosial dan seksual.
Hasil kajian diketuai Prof Dr Mazlin Mokhtar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2006 ke atas sikap belia institusi pengajian tinggi (18 hingga 25 tahun) terhadap seksualiti juga mengejutkan. Lebih 50 peratus responden menganggap tidak mengapa untuk remaja perempuan dan lelaki berciuman, berpelukan dan menyentuh satu sama lain dan 25 peratus berpendapat tidak salah untuk melakukan hubungan seks jika pasangan remaja saling bercinta!
Itu pada golongan muda. Pada ibu bapa, keadaan sedikit berbeza. Ibu bapa sekarang terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu yang hidup moden tetapi sangat konservatif dalam isu hubungan sosial dan seks sehingga ia tidak boleh dibincangkan langsung.
"Kumpulan kedua pula konservatif dan sangat alim tetapi dalam bab hubungan sosial mereka bersikap liberal atau terbuka pula. Contohnya seorang ibu pernah meluahkan rasa 'lega' selepas anaknya bertunang. Jika sebelum ini dia sentiasa risau apabila anak daranya terpaksa menaiki kenderaan awam untuk pergi kerja, tetapi kini hati tenang kerana kini anaknya pergi dan balik kerja bersama tunang.
"Salah tanggapan ini tebal dalam masyarakat kita. Ramai ibu bapa menganggap tidak mengapa anak dara keluar berdua-duaan bersama tunang; sedangkan hukum Islam terang-terang mengatakan ia tidak boleh.
"Ikatan pertunangan tidak menghalalkan hubungan dan apabila sering berdua-duaan, peluang melakukan seks (zina) terbuka luas. Cara terbaik ialah menyegerakan perkahwinan.
"Islam mengharamkan zina (seks luar nikah) tetapi sangat menggalakkan perkahwinan. Selain itu kita perlu mencari pendekatan untuk membendung perkara ini," kata Dr Harlina.
Antara pendekatan dicadangkan untuk menangani isu seksual remaja ialah memberi pendidikan seks di sekolah. Namun cadangan ini mendapat bantahan pelbagai pihak yang menganggap ia boleh menjadi pemangkin kepada masalah berkenaan dan menjadikannya lebih buruk.
"Memberi pendidikan seks bukan bermakna mengajar bagaimana aktiviti seksual itu dilakukan, tetapi lebih menjurus kepada memperkasakan remaja supaya mereka mengenal dan menghargai diri sendiri; apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan pada kita dan risiko hubungan seks rambang.
"Ini penting, terutama pada remaja perempuan, supaya mereka ada kemampuan menahan diri supaya tidak mengandung pada usia yang sangat muda dan hanya mengadakan hubungan seks apabila tiba masa sesuai.
"Di kalangan remaja bukan Islam di luar negara, mereka yang mempunyai ilmu akan melengahkan hubungan seks pertama sehingga berumur 17 atau 18 tahun. Pada masa sama mereka juga mengamalkan seks selamat; jadi jumlah kehamilan yang tidak dikehendaki agak rendah," katanya.
Tugas ibu bapa
RAMAI ibu bapa kini sedar kepentingan pendidikan seks, tetapi tidak tahu bila dan bagaimana hendak memulakannya. Bila pendidikan seks perlu dimulakan?
Apabila anak mula bertanya soalan yang ada unsur seks (termasuk mengenai organ seks mereka) dan biasanya ketika berumur tiga atau empat tahun.
"Memang remaja akan bertanya tetapi disebabkan ibu bapa tidak bersikap terbuka dan memarahi anak apabila bertanya soalan berkaitan seks, mereka akan mencari jawapan dari rakan sebaya atau Internet.
"Berikan jawapan ringkas yang sesuai dengan umur mereka. Pada umur ini antara soalan yang biasa ditanya ialah bagaimana bayi boleh ada dalam perut dan bagaimana ia dikeluarkan?
"Anda boleh beri jawapan ringkas, dengan mengatakan Tuhan menciptakan bayi dan ia keluar melalui vagina (tempat kita buang air kecil) dengan bantuan doktor di hospital.
"Dalam tempoh berpantang anda akan berasa sakit dan perlukan banyak rehat, tetapi ia bukan masalah kerana anda dapat meluangkan banyak masa bersamanya. Jawapan seperti ini sudah cukup untuk kanak-kanak.
"Katakan juga padanya, jika dia ada soalan lain ajukan pada anda atau suami. Untuk anak lebih besar, jika anak lelaki, suamilah yang perlu menjawab soalan berkaitan seks dan sebaliknya. Bagaimanapun, anda perlu menyiapkan diri dengan ilmu mengenai seksual," katanya.
Ramai tidak sedar bahawa remaja masih memerlukan kata pujian dan penghargaan daripada ibu bapa. Kebanyakan ibu bapa hanya memberi pujian seperti 'pandai', 'baik', 'cantik' dan 'rajin' ketika anak kecil dan berhenti mengucapkan kata-kata manis ini apabila anak memasuki umur remaja.
"Anak perempuan terutamanya sangat memerlukan perhatian, penghargaan dan kasih sayang ayah. Anak akan tertanya adakah dia cantik, nampak menarik dan disayangi, malangnya penghargaan daripada ayah tidak pernah datang.
"Jiwa mereka kosong dan dahaga kasih sayang; jadi akan mudah tertarik pada lelaki lain yang kata mereka cantik atau 'saya sayang awak'.
"Tidak hairan jika ramai remaja perempuan kita lari ikut lelaki Lombok yang tidak kedekut dengan kata-kata manis. Mereka mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bapa remaja itu.
"Namun apabila perkara ini terjadi, kita menyalahkan lelaki Lombok dan bukan cuba menyelidik punca sebenar mengapa anak gadis sanggup lari walaupun tahu mereka bakal menempuh pelbagai kesusahan," katanya.
Jadi dalam isu ini, remaja perlu diperkasakan dengan empat perkara iaitu menghargai tubuh badan sendiri; bertanggungjawab dengan keputusan dan apa yang mereka lakukan (kerana ramai remaja menyalahkan orang lain atas kesalahan mereka); berkomunikasi dengan berbudi bahasa, tegas dan berkesan serta melahirkan kasih sayang dan keintiman bersesuaian dengan umur mereka.
Bagi ibu bapa pula, mereka mestilah mempunyai sikap betul terhadap isu seksualiti; melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai seksualiti dan tahu cara terbaik untuk menyampaikannya kepada anak; ada kemahiran untuk bertindak sewajarnya dan boleh berbincang secara terbuka mengenai isu seks - sesuai dengan umur si kecil.
Jangan disebabkan kekurangan ilmu dan sikap kurang terbuka kita membuatkan anak menjadi mangsa. Kita bertanggungjawab mengikis kemiskinan kemahiran dan pengetahuan ilmu hubungan sosial dan seks anak remaja supaya mereka tidak mudah 'cair' dengan kata-kata manis lelaki hidung belang yang cuba mengambil kesempatan.
Sentiasa ingatkan anak perempuan, jika teman lelaki meminta untuk 'mencuba' walaupun sekadar 'ringan-ringan', itu bermakna cinta mereka tidak ikhlas dan cuba mengambil kesempatan kerana lelaki baik akan melindungi dan menjaga kehormatan si perempuan serta sanggup menunggu sehingga hari diijabkabulkan.
kredit: Norlaila Hamima Jamaluddin
Salam Ukhuwah..~
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan