Bacaan Popular

Jumaat, 11 Februari 2011

Percayakan Islam Tetapi Tidak Sembahyang


SOALAN:

Saya berumur 33 tahun tetapi masih belum bertemu jodoh. Saya tidak pernah bersembahyang. Walaupun demikian, saya tetap berkeinginan sembahyang tetapi gagal kerana saya tidak tahu langsung membaca al-Quran. Saya pernah bermimpi memegang salib dan diajak keluar Islam. Persoalannya, apakah saya perlukan bimbingan? Adakah kerana itu saya mudah terpengaruh? – SAMSHORI WAHAD, Gurun.

Jawapan:

Ada beberapa perkara yang saudara dan juga mereka yang mempunyai latar belakang seperti saudara mesti renungi. Apabila seseorang itu beragama Islam, tidak kira sama ada Islamnya Islam keturunan ataupun saudara baru, maka apabila ia mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu baligh, berakal, suci haid dan nifas, sejahtera pancaindera dan sampai seru, maka individu berkenaan wajib mendirikan sembahyang lima waktu.

Saudara berumur 33 tahun. Ini bererti saudara lebih daripada baligh. Rasulullah s.a.w. menyuruh agar wali ataupun mereka yang bertanggungjawab menyuruh anaknya sembahyang ketika berumur tujuh tahun. Saudara juga sejahtera pancaindera, tidak gila, tidak buta dan tuli sejak dilahirkan. Seruan juga tiba kepada saudara, malah saudara adalah salah seorang daripada mereka yang beragama Islam.

Orang yang mengaku dirinya Islam dan mempunyai syarat-syarat seperti di atas wajib bersembahyang. Sembahyang adalah ibadah terpenting. Ia merupakan rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah. Ia difardukan terus daripada Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.

Sembahyang adalah lambang iman seseorang. Andainya sembahyang yang dilakukan oleh seseorang itu sempurna, maka sempurnalah ibadah-ibadah yang lain. Rasulullah s.a.w. ada bersabda, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud, yang mula-mula sekali dihisab terhadap seorang hamba pada hari kiamat kelak ialah amalan sembahyangnya. Andai sembahyangnya sempurna, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Jika tidak sempurna, maka sesungguhnya dia telah kecewa dan rugi.

Hadis ini membicarakan tentang amalan sembahyang hamba yang sempurna dan diterima oleh Allah, ataupun tidak sempurna dan tidak diterima Allah. Bermaksud, andainya sembahyang seseorang itu tidak sempurna, dan tidak diterima Allah, maka amalan-amalan yang lain tidak diterima. Persoalan yang wujud pada diri saudara adalah lebih serius daripada tidak sempurna kerana saudara tidak pernah mendirikan sembahyang seumur hidup saudara, sehingga umur mencecah 33 tahun. Saudara renungi betapa seriusnya masalah yang saudara hadapi.

Sembahyang adalah tiang agama. Barang siapa mendirikan sembahyang, maka dia telah mendirikan agama. Barang siapa meninggalkan sembahyang, maka dia telah merobohkan agama, iaitu agama Islam yang dikatakan sebagai anutannya.

Dijelaskan lagi bahawa sembahyang adalah wajib, ataupun fardu ain, iaitu wajib yang mesti dilakukan oleh setiap individu yang mempunyai syarat-syarat yang dijelaskan. Ia wajib seperti yang dijelaskan oleh al-Quran, hadis-hadis, dan ijmak ulama. Wasiat Rasulullah s.a.w. yang terakhir, seperti yang dijelaskan dalam hadis daripada Ummu Salamah r.a., ialah sembahyang. Baginda mahu umatnya tidak meninggalkan sembahyang.

Sembahyang pada hakikatnya adalah tiang atau tunjang semua agama. Al-Quran menjelaskan tentang kisah Nabi Ibrahim memohon kepada Allah agar menjadi manusia yang kekal sembahyang, begitu juga dengan keturunannya (Ibrahim: 40). Begitulah halnya yang dilakukan oleh Nabi Ismail (Maryam: 55), yang berkaitan dengan Nabi Musa a.s. (Taha: 14, Ali-Imran: 42, Maryam: 31, Baqarah: 83, Taha: 132).

Mengenai orang yang meninggalkan sembahyang, Allah (Maryam: 59-60) menjelaskan: Maka datanglah sesudah mereka, pengganti yang mensia-siakan sembahyang, dan menurutkan nafsunya, mereka kelak akan menemui kesesatan. Kecuali mereka yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya sedikitpun.

Ayat di atas menjelaskan bahawa orang yang meninggalkan sembahyang adalah mereka yang tunduk mengikut runtunan nafsu yang berakhir dengan kesesatan.

Menurut Ibn Abbas, yang dimaksudkan dengan ayat di atas bukanlah hamba yang meninggalkan sembahyang sama sekali seumur hidupnya tetapi yang dimaksudkan di sini ialah orang yang melambat-lambatkan sembahyang daripada waktunya.

Menurut Said bin al-Musayyab, iaitu salah seorang daripada tujuh orang ahli fikah yang terkenal di Madinah: Barang siapa terus menerus dalam keadaan sedemikian rupa, dan dia tidak bertaubat, Allah memberi amaran kepadanya. “Baghy”, iaitu satu lembah yang terdapat dalam neraka jahanam, yang begitu dalam, yang sangat baik azabnya.

Allah berfirman seperti yang termaktub dalam surah al-Ma’un: 4-5: Maka neraka waillah bagi mereka yang tidak sembahyang, iaitu orang yang lalai dari sembahyangnya.

Sa’d bin Abi Waqqas, seorang daripada sepuluh orang yang dijanjikan syurga bertanyakan Rasulullah s.a.w. tentang “orang yang lalai sembahyangnya”. Baginda menjawab, mereka itu ialah orang yang sembahyang di luar waktu dengan sengaja, yang akan dibalas dengan “wali”, iaitu satu lembah yang terdapat dalam neraka jahanam. Andai dilalukan padanya gunung-gunung yang ada di dunia, nescaya hancur luluhlah gunung-gunung itu kerana terlalu panas.

Dalam surah al-Maunafiqun: 9 Allah mengingatkan mereka yang beriman agar jangan lalai daripada mengingati Allah (bersembahyang) kerana harta dan anak-anak. Barang siapa berbuat demikian, mereka termasuk dalam golongan orang yang rugi.

Dalam sebuah hadis, riwayat imam Ahmad bin Hambali, dinyatakan bahawa Nabi s.a.w. ada bersabda: Barang siapa memelihara sembahyang, maka baginya cahaya dan tanda keimanannya juga kejayaan pada hari kiamat kelak, dan barang siapa tidak memeliharanya, tidak ada cahaya juga tanda keimanan, juga kejayaan pada hari kiamat kelak. Ketika itu, mereka akan diletakkan bersama Firaun, Qarun, Haman dan Ubai bin Khalaf.

Mereka dimasukkan dalam golongan manusia tertentu, iaitu Firaun kerana ia terlalu ingkarkan Allah, seorang raja Mesir di zaman Nabi Musa a.s, yang akhirnya tenggelam dalam laut. Qarun pula adalah dari kaum Nabi Musa yang menjadi takabur kerana banyak hartanya, lalu akhirnya ditelan bumi. Kisah ini dijelaskan dalam al-Quran pada ayat 76 dan berikutnya. Haman pula adalah salah seorang wazir Firaun. Kisah mereka bertiga iaitu Firaun, Qarun dan Haman disebut jelas dalam surah al-Ankabut: 39, manakala Ubai bin Khalaf adalah salah seorang ketua puak musyrikin di Mekah, yang banyak menyakiti orang Islam. Dia telah ditikam dalam peperangan Uhud, menyebabkannya jatuh terpelanting dari kudanya, dan dibawa balik ke Mekah tetapi mati di perjalanan.

Sesetengah ulama berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran (ayat an-Nisa: 103 dan at-Taubah: 11) menyatakan bahawa mereka yang meninggalkan sembahyang dan juga enggan mengeluarkan zakat adalah kufur hukumnya. Pendapat lain menyatakan bahawa meninggalkan sembahyang tidak menyebabkan kufur, tetapi termasuk dalam golongan asiy lagi fasik,” demikianlah menurut pendapat Imam Malik dan asy-Syafie. Biarpun terdapat perbezaan pendapat, namun semua ulama sependapat menyatakan mereka yang meninggalkan sembahyang dan tidak mengaku bahawa sembahyang itu wajib hukumnya, mereka adalah kufur.

Biarpun terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama terhadap mereka, namun mereka yang meninggalkan ibadah sembahyang itu akan diseksa dengan seksaan yang mengazabkan. Kita lihat betapa ngerinya balasan mereka yang tidak sembahyang. Ketika ditanya tentang amalan yang paling disukai Allah, Baginda s.a.w. menyatakan amalan tersebut ialah mendirikan sembahyang pada waktunya. Barang siapa meninggalkan sembahyang, maka tidak ada agama baginya. Sembahyang adalah tiang agama.

Ketika ditikam oleh Abi Lukluk, seorang Majusi, Sayyidina Umar bin al-Khattab diperingatkan tentang sembahyang. Beliau terus bersembahyang pada hal ketika itu darah mengalir dari liang tikaman.

Ibn Abbas r.a. menjelaskan bahawa barang siapa meninggalkan sembahyang dengan sengaja, dia akan menemui Allah dalam keadaan Allah murka padanya.

Kalau saudara berupaya menghayati keterangan di atas, saudara akan sedar dan faham di mana kedudukan saudara. Seseorang yang meninggalkan sembahyang, ketika dia mati dia akan menemui kemurkaan Allah. Disediakan baginya neraka. Amalan ibadah yang lain tidak diterima Allah, kerana lumrahnya apabila sembahyang seseorang itu tidak sempurna, maka ibadah lain juga lagi tidak sempurna. Dalam masalah ini, saudara bukan sahaja semata-mata tidak sempurna sembahyang, tetapi saudara lebih jauh daripada itu saudara tidak pernah sembahyang seumur hidup.

Tabiat manusia memang resah gelisah, tidak kira sama ada ketika senang atau susah, kaya atau miskin. Namun keresahan itu akan hilang andainya seseorang itu berupaya mendirikan sembahyang dengan baik. Allah menjanjikan ketenangan bagi mereka yang mengingati Allah, termasuk mendirikan sembahyang.

Biarpun amaran Allah itu jelas, namun Allah memberi jalan keluar iaitu dengan bertaubat, beriman dengan sebenar-benar iman di samping melakukan amalan saleh (Maryam: 60). Walaupun demikian, tidak mudah bagi seseorang itu untuk kembali ke pangkal jalan, kecuali mereka yang diberi hidayah dan keinsafan. Saudara adalah manusia yang diberi tanda-tanda hidayah, merasa insaf diri, kesalahan dan penyesalan lalu bertanya bagaimana hendak melepaskan diri daripada kemelut dosa besar melalui ruangan ini.

Orang yang seumpama ini mudah diganggu dan dipesongkan seperti yang saudara alami ketika saudara bermimpi. Saudara bukan sahaja perlu dibimbing, tetapi juga perlu dipaksa. Persoalannya, siapakah yang perlu membimbing atau memaksa manusia baligh yang berumur 33 tahun.

Insya Allah saudara akan bertemu jodoh apabila saudara benar-benar menghayati ajaran Islam, terutamanya mendirikan sembahyang lima waktu.

kredit untuk Rampaiseri Sekapur Sireh

Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan