Bacaan Popular

Khamis, 24 Oktober 2013

Tiada Alasan Dihadapan Allah S.W.T. Nanti



PADA hari Kiamat kelak, ada empat golongan manusia yang mengemukakan pelbagai alasan mengapa mereka tidak sempat beribadah kepada Allah SWT ketika di dunia. Ahli sufi Al-Faqih Abu Laits memberitahu, keempat-empat golongan itu ialah orang kaya, orang melarat, hamba abdi dan orang sakit.

Golongan pertama iaitu golongan kaya mengemukakan alasan : "Aku adalah orang kaya. Aku terlalu sibuk menguruskan hartaku hingga ttidak sempat mengabdikan diri kepada-Mu."

Maka Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Sesungguhnya Nabi Sulaiman adalah seorang raja dari timur ke barat tetapi beliau tidak derhaka kepada Tuhannya. Jadi alasan kamu tidak diterima."

Golongan kedua, iaitu orang melarat mengemukakan alasan bahawa kemiskinannya menghalang untuk beribadah kepada Allah SWT.

Allah SWT kemudian berfirman yang bermaksud : "Benarkah kamu lebih melarat daripada Nabi Isa? Kemelaratannya tidak menghalangnya daripada mengabdikan diri kepada-Ku."

Golongan ketiga, iaitu hamba abdi pula mengemukakan alasan terlalu sibuk menguruskan kerja yang diarahkan majikannya.

"Tuhanku, saya dulu seorang hamba dan diperlakukan macam budak suruhan hingga menghalang aku untuk mengabdikan diri kepada Tuhan."

Tetapi Allah SWT membandingkan dengan nabi Yusof yang tidak lupa mengabdikan diri kepada Tuhan walaupun pernah menjadi hamba.

Golongan keempat ialah orang yang sakit yang mengemukakan alasan tidak terdaya dan mendakwa penyakitnya menghalang daripada mengabdikan diri kepada Tuhan.

Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Benarkah sakit kamu itu lebih berat daripada sakit yang dideritai Nabi Ayub? Walaupun sakit teruk, Nabi Ayub tetap beribadah kepada Tuhannya."

Maka di hari Kiamat kelak, tiada seorang pun yang boleh mengemukakan alasan mengapa tidak beribadah dan tidak mengabdikan diri kepada Allah SWT ketika di dunia. 


Demi masa...
Sesungguhnya manusia dalam kerugian
Melainkan...
Yang beriman dan beramal saleh.



Salam Ukhuwah..~

1 ulasan: