Apa itu makna Al-Qiyamah?
Adakah ianya membawa makna Al-Saah (hari qiamat) atau terdapat perbezaan dari sudut makna.
Al-Safarini di dalam kitabnya Al-Masih Al-Dajjal Wa Asraru Al-Saah ada menyebut, "Yang dimaksudkan dengan Al-Saah ialah hari qiamat. Qiamat disebut Al-Saah kerana singkatnya waktu tersebut, yakni membawa makna satu saat. Atau disebutkan Al-Saah kerana ia datang secara tiba-tiba atau akan terjadi dalam masa satu saat."Sebenarnya Allah yang Maha Mengetahui, Al-Saah itu juga membawa makna saat meniup sangkakala.
Tiupan sangkakala itu terjadi sebanyak tiga kali. Tiupan pertama adalah bagi mengejutkan, yakni bertujuan memberi peringatan dan amaran bahawa akan hancurnya seluruh alam.
Tiupan kedua adalah tiupan menghancurkan, yakni setelah berbunyi tiupan itu maka akan hancurlah seluruh alam dan akan matilah kesemua yang ada di langit dan di bumi. Tidak ada yang kekal ketika itu kecuali Allah s.w.t.
Tiupan yang ketiga ialah tiupan yang bertujuan membangkitkan manusia dari bawah tanah untuk dihisab.
Demikian itu terdapat perbezaan di antara Al-Saah dengan Al-Qiyamah.
Al-Saah bermaksud tiupan, yakni merangkumi ketiga-tiga tiupan tersebut. Sementara Al-Qiyamah ialah tiupan yang ketiga, yakni tiupan yang membangkitkan manusia dari tanah. Sesungguhnya Allah Taa'la yang Maha Mengetahui.
Firman Allah Taa'la di dalam (surah Al-Zumar, ayat 68) yang membawa maksud,
"Dan ditiupkan sangkakala maka matilah semua yang ada di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi, maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu (keputusannya masing-masing)."
Dan firman-Nya lagi di dalam (surah Al-Nahl, ayat 77) yang bermaksud,
"Tidaklah peristiwa qiamat itu melainkan seperti kerdipan mata atau lebih cepat lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."
Demikianlah Allah memperingatkan kita tentang peristiwa qiamat ini. Semua Nabi yang diutuskan Allah ada menceritakan tentang qiamat. Rasulullah s.a.w. sendiri banyak menyebut tentang masalah-masalah kiamat dan hari kebangkitan serta tanda-tandanya. Baginda s.a.w. menceritakan fitnah dan cubaan keimanan yang akan terjadi menjelang qiamat. Ini bertujuan supaya kita berhati-hati di dalam menempuhinya.
Pada akhir zaman ini sudah banyak terdapat tanda-tanda qiamat iaitu apa yang dikatakan sebagai tanda-tanda kecil. Pada masa akan datang, yakni apabila telah hampir waktu qiamat akan muncul tanda-tanda besar.
Terdapat juga tanda-tanda qiamat yang sudah terjadi bahkan telah berakhir dan ada tanda-tanda yang sudah muncul dan masih terdapat sehingga kini. Ada juga tanda yang belum muncul dan jika muncul ianya bererti bahawa qiamat semakin hampir.
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan