Bacaan Popular

Isnin, 14 Oktober 2013

Bukan Cantik Rupa Tapi Perangai

"Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah orang yang cantik jarang berbudi.." Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata,
"Awak ni cantiklah", maka akan menguntumlah sebutir senyuman dibibirnya
dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak
seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok
bila dipuji kecewa bila dikeji.

Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan
Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan
manusia. Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar
dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri
rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis
dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang
rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan
ditangkap lari.

Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka
suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan
kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika
si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas
dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya.
Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri
yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak
tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai.
Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk
meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin.

Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau
tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada
suami adalah akhlak yang indah. Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi
pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada
suami
adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya harumnya tiada. Sebaliknya
wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa
mencari keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya
memikat jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah
cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai
orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti
ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan.

Wanita yang tidak cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati
dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi.
Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan
padanya. Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut
kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita
yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta
makhluk-makhlukNya.

Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa
resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan
jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi
kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang
tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan
dirinya ke jurang neraka. Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan
gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan
mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik
indah tetapi hina terdedah menjadi mainan nafsu dan syaitan.

Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk, cantik hodoh itu
adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan
persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang
berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di
liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia
dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan
Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang,
berkorban apa saja demi mendapatkannya?

Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga
menuju ke puncak taubat. Asal manusia dari setitis mani yang hina.
Sehina itulah pula diri wanita. Kenangilah nasib diri di hari
penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan.

Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di
mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan. Dongakkan
kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke
bumi yang hijau. Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan
bintang. Langit yang dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak
berpancang. Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya
itu terkandung pengajaran: "Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari
Allahlah datangnya, dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya
padaNyalah kamu meminta pertolongan." An-Nahl: 53

Wallahu a'lam...

Semoga kita sentiasa dibimbingNya dalam bermujahadah menjadi yang
terbaik...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan