Bacaan Popular

Jumaat, 4 Oktober 2013

Hukum Buat Korban Untuk Si Mati



SOALAN: Slm. Ustaz. Apa hukum buat ibadah korbah untuk arwah ayah saya? boleh?

JAWAPAN:

Wa'alaikumsalam.

Sebenarnya masaalah kita yang hidup ini buatkan ibadah korban untuk si mati merupakan masalah diperbincangakn dalam mazhab 4 (Hanafi,Maliki,Syafie&Hambali) mengikut keadaan yang pelbagai dan penjelasan yang terdapat perbezaan pendapat. Maka ia masalah khilafiah.

Tetapi saya lebih cenderung kepada menggunakan pendapat yang mengharuskannya walaupun ia tidak pernah diwasiatkan oleh si mati ini kerana Rasulullah saw pernah membeli dua ekor kibash yang besar dan terbaik kemudian baginda menyembelih/korbankan seekornya dengan niat untuk umat baginda yang bertauhid (merangkumi yang mati dan hidup) kemudian seekor lagi disembelih/dikorbankan untuk baginda sendiri dan ahli keluarga baginda (juga merangkumi yang hidup & yang mati)-Riwayat Ahmad.

Begitu juga terdapat dalam Sohih Muslim bahawa Nabi Muhammad saw buat korban dengan niat untuk diri baginda dan ahli keluarga baginda. Maka ia merangkumi yang telah mati dan masih hidup ketika itu. Bahkan disana terdapat banyak riwayat yang menunjukkan keharusan melakukan korban untuk orang lain samaada masih hidup atau telah mati seperti dalam riwayat Abu Daud seorang lelaki bertanya adakah boleh saya lakukan korban untuk ayah saya maka nabi mengakui dan mengharuskannya.

Dalam kes ini disisi Mazhab Empat pula terdapat pandangan yang terkenal (masyhur) dalam Mazhab Syafi'e adalah tidak harus kecuali si mati pernah wasiatkan sedemikian. Saya katakan jika ia diwasiatkan maka menjadi wajib untuk dilaksankan dan bukan lagi harus sahaja hukumnya. Bahkan terdapat pandangan (qaul) disisi sebahagian Syafi'iyyah bahawa harus lakukan korban untuk yang telah mati walaupun tidak pernah diwasiatkan sedemikian kerana ia seperti sedekah dan ia sampai kepada si mati disisi IJMAK (rujuk At-Tuhfah, Al-Majmuk & Mughni Muhtaj).

Manakala dalam Mazhab Hanbali dan Hanafi mengharuskan amalan tersebut (rujuk Matolob Ulil Nuha dalam fiqh Hambali dan Durru Mukhtar serta Hasyiah oleh Ibnu 'Abidin dalam Mazhab Hanafi)

Dan juga banyak pandangan disini Mazhab Maliki yang mengharuskannya (rujuk Al-Ahwazi oleh Qodhi Ibnu Al-Arabi Al-Maliky).

Maka saya menyatakan bahawa harus kita melakukan ibadah korban untuk si mati beragama islam walaupun simati tidak pernah mewasiatkannya tetapi terbaik adalah lakukan untuk diri sendiri kemudian baru dilakukan untuk si mati atau disekalikan niatnya.

Rujukan semasa saya dalam hal ini adalah dua tokoh ulama berketurunan Rasulullah saw iaitu Dr Syeikh Toriq Najib Lahham Al-Husaini & Dr Syeikh Salim Alwan Al-Husaini.

Pena Penyusun Oleh: Tuan Rumah

HUKUM MELAKUKAN KORBAN UNTUK ORANG YANG TELAH MATI

Salam sahabat-sahabat,

Dalam beberapa hari ini, saya akan memuatkan beberapa persoalan yang sering ditanya berhubung dengan Ibadat Korban. Bacalah jawapan yang dikemukakan/posting oleh USTAZ AHMAD ADNAN BIN FADZIL. Sangat menarik, baca jangan tak baca.

Soalan; adakah harus kita melakukan korban untuk orang lain khususnya yang telah mati?

Adakah sampai pahala kepadanya?


Jawapan:

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين،



Dalam masalah ini, para ulama’ Syafi’ie sendiri berbeza pandangan.

[1] Menurut Imam Hasan al-‘Ubadi; harus membuat korban bagi pihak orang yang telah mati kerana korban tergolong dalam jenis sedekah dan ijmak para ulama' bahawa sedekah bagi pihak si mati adalah memberi manfaat dan sampai kepadanya.

[2] Imam Abu Daud, Tirmizi dan al-Baihaqi meriwayatkan hadis yang menceritakan tentang Saidina Ali bin Abi Talib;

أنه يضحي بكبشين عن النبي(صلى) و كبشين عن نفسه و قال : إن رسول الله(صلى) أمرني أن أضحي عنه أبدا فأنا أضحي عنه أبدا


“Bahawa ia (yakni Ali r.a.) menyembelih korban dengan dua ekor biri-biri bagi pihak Nabi saw dan dua ekor bagi pihak dirinya sendiri dan ia berkata; ‘Sesungguhnya Rasulullah saw menyuruhku agar menyembelih korban untuknya selama-lamanya, maka akupun menyembelih korban bagi pihaknya selama-lamanya (yakni selagi aku hidup)”. Kata Imam al-Baihaqi; jika sabit hadis ini maka ia menjadi dalil sahnya menyembelih korban bagi pihak orang yang telah mati.

[3]Imam al-Baghawi, Sahibul-‘Uddah dan Imam ar-Rafi’ie pula berpandangan; tidak sah berkorban bagi pihak orang mati kecuali dengan wasiat darinya. Jika ia mewasiatkannya, haruslah berkorban bagi pihaknya.

[4] Pendapat kedua inilah yang ditegaskan dalam kitab-kitab mazhab Syafi’ie mutakhir yang masyhur seperti al-Iqna’[5], Mughni al-Muhtaj[6], Kifayatul-Akhyar[7], Sabilal-Muhtadin dan sebagainya, malah Imam Nawawi sendiri dalam matan Minhajnya menyebutkan pendapat ini.[8]

Dalil pandangan ini ialah firman Allah

;وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى


“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”. (an-Najm: 39)

Dalam pada itu, jika seseorang itu telah bernazar dengan menentukan binatang yang akan disembelihnya sebagai korban, lalu ia mati sebelum sempat menyembelih korbannya itu, maka dalam keadaan ini harus seseorang menyembelih bagi pihaknya sekalipun tanpa wasiat darinya.[9]

Selain itu, jika seseorang menyembelih korban untuk dirinya dan mensyaratkan pahala korban itu untuk orang lain (yakni memasukkan orang lain dalam pahalanya), maka ini adalah harus.[10]

Inilah yang dapat difahami dari hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. tadi yang menceritakan bahawa Nabi saw menyembelih binatang korban dan mendoakan korban itu untuk dirinya, ahli keluarganya dan umatnya di mana Baginda saw berkata tatkala menyembelih binatang korban itu;

;بِاسْمِ اللهِ، اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ


“Dengan nama Allah. Ya Allah, terimalah ini dari Muhammad dan ahli keluarga Muhammad serta dari umat Muhammad”.(Riwayat Imam Muslim)

Adapun menyembelih korban bagi pihak orang lain yang masih hidup, maka tidak harus (atau tidak terhasil) melainkan dengan izinnya tanpa khilaf di kalangan ulama’ mazhab Syafi’ie. Jika tanpa izinnya, tidak terhasil korban itu untuknya.[11] Korban tersebut, jika merupakan yang ditentukan dengan suatu nazar, ia terhasil untuk orang yang melakukan korban. Jika bukan yang ditentukan dengan suatu nazar, maka tidak terhasil untuknya. Namun Syeikh Ibrahim al-Marwaruzi berpendapat; korban yang dilakukan untuk orang lain tanpa izinnya terhasil secara mutlak (yakni secara keseluruhan) untuk orang yang melakukan korban (sama ada korban itu korban nazar atau bukan).[12]

Namun ketidakharusan (atau ketidakhasilan) korban bagi pihak orang hidup tanpa izin itu dikecualikan bagi keadaan-keadaan berikut;

1. Seorang yang berkorban bagi pihak ahli keluarganya, maka terhasil dengannya sunat kifayah untuk mereka sekalipun tanda ada keizinan dari mereka –atau dari sebahagian mereka- terlebih dahulu. Begitu juga dengan seorang yang menyembelih korban untuk dirinya dan memasukkan orang lain dalam pahala korbannya.

2. Seekor binatang yang ditentukan dengan nazar, jika disembelih oleh orang lain (yakni bukan oleh orang yang bernazar) pada waktu korban, maka ianya sah kerana binatang korban yang telah ditentukan dalam nazar tidak perlu lagi kepada niat tatkala menyembelihnya, maka jika ia dilakukan oleh orang lain adalah dikira (yakni dianggap sah korban itu).

3. Imam/Pemimpin melakukan korban bagi pihak kaum muslimin dengan wang dari Baitul-Mal –ketika kewangan Baitul-Mal mengizinkan-, maka ia harus.

4. Wali melakukan korban dengan hartanya sendiri bagi pihak orang-orang dibawah jagaannya yang ditegah menggunakan harta (seperti kanak-kanak, orang gila, bodoh dan al-mahjur), hukumnya adalah harus. Adapun jika ia ingin menggunakan harta/wang dari milik mereka, maka tidak harus.[13] Tidak sah dilakukan korban bagi janin yang berada dalam kandungan sebagaimana tidak dikeluarkan zakat fitrah baginya.[14] Wallahu A'lam.

Oleh :USTAZ AHMAD ADNAN BIN FADZIL

Nota:[1] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 299. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368.

[2] Syeikh Muhammad bin Ishaq as-Siraj an-Naisaburi salah seorang syeikh Imam Bukhari, beliau mengkhatam al-Quran untuk Nabi s.a.w. lebih dari 10 ribu kali dan ia menyembelih korban bagi pihak baginda seumpama itu juga. (Rujuk; Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368)

[3] Al-Majmu’, hlm. 300.

[4] Al-Majmu’, hlm. 300.

[5] Lihat jil. 2, hlm. 825.

[6] Jil. 4, hlm. 378

.[7] Hlm. 528.

[8] Rujuk matan tersebut dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368.

[9] Kifayatul-Akhyar, hlm. 528.

[10] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 299. Raudhah, jil. 2, hlm. 469.

[11] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 299. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368.

[12] Raudhah, jil. 2, hlm. 469. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368. Berkata Imam Khatib Syirbini;
وحيث امتنعت، فإن كانت الشاة معينة وقعت عن المضحي و إلا فلا(Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368)

[13] Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368.

[14] Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 368.

[15] Maksudnya menurut Imam al-Minawi; “binatang korban itu berada di tempat penerimaan yang tinggi iaitu ia diterima oleh Allah sejak mula diniatkan untuk dikorbankan sebelum ia disaksikan oleh orang-orang yang hadir ketika ia disembelih”. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 7949)

[16] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 816. Kifayatul-Akhyar, hlm. 528. al-Fiqhul-Manhaji, jil. 1, hlm. 233.

[17] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 276.

[18] Lihat; Soheh al-Bukhari, kitab al-Adhahi.

[19] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 817. Lihat juga; Fiqh Sunnah, Saiyyid Sabiq.


Posted by Yusof Embong

=========================================


KORBAN UNTUK ORANG YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SAYA ingin tahu sama ada nama orang yang meninggal dunia boleh disenaraikan sebagai penama ibadat korban ketika Hari Raya Qurban. Mohon penjelasan daripada Datuk.

Jawapan:

Korban ialah satu ibadat yang dilaksanakan ketika Aidiladha sebagai tanda kemewahan yang dikecapi dan taqarub atau mendekatkan diri pada Allah.

Ia disyariatkan sebagai tanda bersyukur pada Allah atas nikmat yang diberi, antaranya nikmat panjang umur dari setahun ke setahun serta kaffarah atas dosa yang dilakukan.

Syariat ini kepada mereka yang mampu melakukan untuk dirinya atau mereka yang di bawah tanggungannya. Syarat mereka yang hendak melakukan korban ialah muslim, berakal, baligh, bermukim dan mampu.

Atas dasar yang dijelaskan tadi, Imam Shafie berpendapat, tidak boleh membuat korban untuk orang lain kecuali jika dia izinkan. Justeru, tidak boleh berkorban untuk orang yang sudah mati, kecuali jika si mati ada wasiat berbuat demikian.

Bagi orang yang sudah mati, ada ibadat lain yang disyariatkan iaitu sedekah jariah dan bukan korban.

============================================================

elzuddin

Amalan korban (udhiyah) menurut jumhur ulama’ adalah sunnah mu’akkadah yang dilakukan mereka yang masih hidup. Ulama’ mengatakan, satu binatang adalah mencukupi untuk satu keluarga sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi saw.

Ada beberapa keadaan yang dilakukan korban bagi pihak si-mati :-

a. Jika si-mati telah meninggalkan wasiat agar wang yang ditinggalkan itu digunakan untuk amalan korban, mereka hendaklah mereka yang hidup melakukan bagi pihak si-mati.

b. Ketua rumah juga boleh melakukan korban bagi pihak dirinya dan keluarga, termasuklah keluarganya yang masih hidup dan yang telah mati. Amalan ini pernah dilakukan oleh Nabi saw.

c. Melakukan korban secara suka rela dan berasingan kepada si-mati diperbolehkan berdasarkan umum maksud hadith :

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية ، أو علم ينتفع به ، أو ولد صالح يدعو له


maksudnya: “Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan 3 perkara ; Sedekah Jariah, atau Ilmu yang memunafaatkannya, atau Anak soleh yang mendo’akan keatasnya” [Hadith diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmudzi, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari].

al-Lajnah al-Daaimah mengatakan bahawa korban ini juga merupakan amalan sedekah yang ganjarannya boleh memberi kesan kepada si-mati.

Sebagai cucu saudara kepada si-mati tersebut, anda juga boleh melakukan korban bagi pihak beliau. Sebaik-baiknya hendaklah anda melakukan korban untuk diri dan keluarga anda, dan juga datuk saudara anda.

Disini, ada satu komentar menarik yang diutarakan oleh Syiekh Ibn Utsaimin rh didalam membicarakan bab korban kepada si-mati. Selain dari 3 keadaan yang dinyatakan diatas, beliau tidak nampak wujudnya sunnah amalan melakukan korban khas kepada si-mati, walaupun atas dasar mereka yang disayangi.

Nabi saw tidak pula melakukan korban bagi pihak isterinya, Khadijah ra. yang telah meninggal, atau pun melakukan korban bagi pihak bapa saudaranya Hamzah ra [Risaalat Ahkaam al-Udhiyah wa al-Dhakaah]. Ini menjelaskan bahawa amalan korban ini merupakan amalan yang berkait rapat dengan orang hidup. WA.

Ummi Munaliza:


HUKUM KORBAN

* Menurut mazhab Syafie, hukumnya sunat muakkad.

* Imam Abu Hanifah berpendapat korban hukumnya wajib tetapi tidak fardu.

* Dilakukan pada hari-hari Tasyrik sahaja, iaitu sesudah selesai solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari di akhir hari Tasyrik (13 Zulhijjah).

* Jumhur ulama berpendapat korban hanya sunat.

* Fatwa Syeikh Hasanain Makhluf (Rektor Universiti al-Azhar- dikeluarkan pada 22 Oktober 1974):- Tidak harus ditukar korban dengan harganya bagi menampung keperluan fakir miskin yang memerlukan bantuan, kerana tujuan utama ibadat ini ialah menumpahkan darah haiwan. (Amalan ini adalah syiar Islam yang tersirat di sebalik pengorbanan Nabi Ibrahim a.s ketika melaksanakan perintah Allah menyembelih anaknya Ismail a.s.)

* Wajib melakukan korban ke atas orang mengerjakan haji cara tamattuk, qiran, bernazar (dilakukan di Mekah semasa berhaji).(disebut dam)

* Korban nazar, wajib segera diagihkan daging segar kepada fakir miskin. Jika daging telah busuk wajib (bagi orang bernazar korban) beli daging baru sebagai ganti untuk diagihkan kepada fakir miskin.

* Daging sembelihan korban termasuk kulit dan tanduk tidak boleh dijual atau dijadikan upah kepada tukang sembelih mahupun tukang lapah meskipun korban sunat.

* Daging korban tidak boleh dijadikan jamuan kenduri kahwin.

* Daging korban hanya boleh dimakan atau diagihkan kepada orang Islam sahaja.

* Korban dan akikah ada persamaan dalam hukum tetapi berlainan dalam hikmah dan tujuannya. Oleh itu orang belum akikah boleh buat korban dan sebaliknya.

SUNAT-SUNAT KORBAN

Perkara sunat bagi orang yang melakukan korban:

* Menyembelih sendiri binatang sembelihan korban atau mewakilkan kepada orang lain jika ada halangan atau tidak berdaya melakukannya sendiri.

* Menyembelih ternakan korban di musalla (tanah lapang) bagi memperlihatkan syiar Islam (sabda Rasulullah saw: Bahawasanya baginda menyembelih dan berkorban di musalla. (riwayat Bukhari)

* Hendaklah menyembelih dengan pisau yang tajam.

* Ketika hendak menyembelih ucapkanlah: Bismillahi wallahu Akbar.
 

* Baringkan binatang korban pada sebelah sisi kirinya dan memegang pisau dengan tangan kanan dan pegang atau tahan lehernya dengan tangan kiri (sabda Rasulullah saw: Dari Anas radiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi saw menyembelih dua ekor kibas yang bagus dan bertanduk. Baginda mengucapkan basmalah dan bertakbir serta meletakkan kakinya di samping lehernya” (riwayat Bukhari & Muslim)

* Binatang korban yang gemuk, sihat dan tidak cacat pada anggota tubuh badannya serta cukup umur.

* Menyaksi sendiri upacara penyembelihan binatang yang dikorbankan.

* Sembelih ternakan korban sesudah selesai solat dan dua khutbah Hari Raya.

* Elakkan ternakan korban melihat pisau diasah untuk sembelihan.

* Orang yang menyembelih menghadap kiblat.

* Cari tempat yang lembut ketika melakukan penyembelihan.

* Orang yang berkorban berdoa ketika sembelihan dilakukan.

* Tidak menggunting rambut dan memotong kukunya setelah masuk 1 Zulhijjah hingga ke hari dia berkorban. Sabda Rasulullah: Barang siapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih, maka apabila masuk bulan Zulhijjah, maka janganlah sekali-kali memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban. (riwayat Muslim)

* Makan daging sembelihannya, bersedekah dan menyimpan dagingnya yang lebih. Firman Allah s.w.t: Makanlah sebahagian daripadanya, dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir. (Al-Hajj: 28)

Ummi Munaliza


kredit: rakangroup




Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan