Bacaan Popular

Selasa, 8 Oktober 2013

5 Sifat Manusia Menghadapi Susah Senang




Musibah dan kenikmatan kedua-duanya adalah cubaan dari Allah s.w.t. agar manusia sedar dan kembali mengingati kekuasaan Allah. Manusia mempunyai sifat yang berbeza terutama dalam menghadapi kesusahan musibah, malapetaka, kesenangan dan kenikmatan.

1.Ada golongan manusia yang ingkar bahawa kenikmatan dan malapetaka itu datang-nya dari Allah sebagai ujian. Mereka berkata gempa bumi, banjir, hama, kebakaran, angin taufan, semua itu adalah bencana alam, alamiah dan bukan dari Tuhan.  Apabila kesulitan yang menimpa diri mereka telah pulih kembali dan berakhir seperti sakit sekian lama kemudian sembuh, miskin kemudian menjadi kaya dan berakhir seperti itu juga. Namun mereka tetap kufur terhadap pemberi kenikmatan dan rahmat dari Allah s.w.t. 


Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman) sama sahaja kepada mereka, sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka) Allah meteraikan atas hati mereka serta pendengaran mereka ada penutupnya, dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar." (Al-Baqarah 2:6-7)

2. Golongan kedua ialah orang-orang yang kurang yakin dalam keimanannya. Ketika dia memperolehi nikmat daripada Allah s.w.t. kerana apabila mereka mendapat cubaan yang berbentuk musibah dan malapetaka, mereka ingkar kepada Allah. Sembahyang dan puasa ditinggalkan. 

Firman Allah SWT: "Dan diantara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu dan kalau pula ia ditimpa kesusahan berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya) (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata. Ia menyeru dan menyembah makhluk-makhluk yang lain dari Allah, yang tidak dapat membahayakannya dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya, itulah kesesatan yang jauh terpesong." (AlHajj 22:11-12) 

Orang yang demikian apabila memperolehi kekayaan, dia akan berasa sombong, kedudukan yang ada digunakan untuk kepentingan sendiri dan apabila memperolehi ilmu pengetahuan digunakan untuk merugikan orang lain. Hal itu akan terjadi sekiranya semua yang diperolehinya dengan jalan yang tidak wajar. 

Firman Allah: "Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka jadilah ia seorang yang sangat berputus asa lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah)." (Surah Fussilat 41-49) 

"Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, kedapatan dia sangat-sangat berputus asa, lagi sangat-sangat tidak bersyukur." (SuraH Hud 11:9)

3.Golongan ketiga ialah orang-orang yang apabila mendapat kesulitan, musibah, mala petaka, kemiskinan mereka mengingat Allah s.w.t. Tetapi setelah memperolehi kenikmatan mereka lupa kepada-Nya. 

Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan) samaada ia sedang berbaring, duduk atau berdiri dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpa." (Yunus 10:12)

4. Golongan yang keempat ialah orang-orang yang apabila memperolehi kenikmatan lupa kepada Allah, tetapi apabila ditimpa musibah ingat Allah. "Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila ia ditimpa kesusahan maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar." (Fussilat 41-51) 

Dia tidak mengenal Allah dan tidak memerlukan Allah tetapi apabila ditimpa kematian ketua keluarga secara mengejut, mereka sibuk memanggil orang-orang untuk membaca Al-Quran dirumahnya. Sebelum itu tidak pernah ada orang yang mengaji Al-Quran dirumahnya.

5. Golongan yang kelima ialah orang yang beriman dengan penuh keyakinan. Apabila memperolehi kenikmatan dia bersyukur dengan ucapan dan perbuatannya. Apabila ditimpa malapeta atau kesusahan dia tetap bersabar. Imannya, ibadahnya dan akhlaknya tidak mudah terpengaruh baik senang ataupun susah. 

Demikianlah lima sifat golongan manusia dalam menghadapi ujian dari Allah. Kebanyakan mereka mengelabah dan akhirnya tewas dalam ujian dari Allah. Bahkan kebanyakan merasakan bahawa apa yang berlaku pada dirinya bukan dari Allah, dan dengan itu mereka lupa memohon pertolongan Allah, berlindung dengan-Nya. Bahkan mereka menyingsing lengan, mengerah tenaga dan hawa nafsu untuk menghadapi ujian tersebut.


EMPAT GOLONGAN MANUSIA
 

Sedarkah kita bahawa jika direnungkan ada empat golongan manusia dalam hubungan dengan masyarakatnya: 

1.Orang yang baik, tetapi kebaikan itu hanya untuk dirinya sendiri sahaja. 

2.Orang yang jahat, tetapi kejahatannya merosakkan dirinya sahaja. 

3.Orang yang baik dan berusaha agar orang lain juga baik. 

4.Orang yang jahat dan selalu berusaha merosakkan orang lain dalam masyarakat.
Kata pepatah, jika kita tak boleh menjadi garam yang boleh menyelamatkan ikan dari busuk, maka janganlah menjadi lalat yang merosakkan ikan. Kita digolongan mana? Jika kita tak boleh berbuat baik dalam masyarakat, janganlah rosakkan orang lain yang berbuat baik pada masyarakat.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan