Bacaan Popular

Isnin, 29 Julai 2013

Puasa Bukan Bebanan




Kelebihan puasa Ramadan tidak dapat disangkal, maka pendidikan mengenai kewajipan melaksanakan ibadah ini perlu ditekankan seawal usia anak-anak.


SEBAGAIMANA ibadat-ibadat lain, kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan yang merupakan rukun Islam yang ketiga ada tujuan dan matlamatnya.


Antaranya, ibadat puasa adalah bagi pembinaan takwa sebagaimana penegasan Allah dalam dalam al-Quran yang bermaksud: 


Hai orang-orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar bertakwa. (Al-Baqarah: 183)


Pun begitu sebagaimana ibadat-ibadat lain dalam Islam yang tidak membebankan penganutnya, demikian halnya dengan ibadat puasa, dalam beberapa keadaan, kecuali berpuasa pada bulan Ramadan.


Bagaimanapun pengecualian sama ada kepada golongan wanita dalam keadaan haid atau bagi menyusukan bayi, orang yang dalam musafir dan yang uzur syari'e, mereka kena menggantikan (qada) puasa wajib bulan Ramadan pada bulan yang lain.


Tidak seperti sembahyang, kaum wanita yang meninggalkan kerana haid atau nifas tidak diwajibkan qada bagi sembahyang-sembahyang waktu yang ditinggalkan.


Pengecualian daripada kewajipan berpuasa dan tuntutan mengqadanya, kalau tidak mampu qada kena dibayar fidyah sebagaimana terkandung dalam firman-Nya yang bermaksud: 

(Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam musafir (lalu ia berbuka), (maka wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ia yang tinggalkan itu berbuka) pada hari-hari yang lain. Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Barang siapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Al-Baqarah: 184)


Jika dibandingkan dengan sembahyang yang diwajibkan melakukannya lima waktu sehari semalam sepanjang tahun, puasa hanya diwajibkan sebulan dalam setahun.


Maka munasabahlah kalau terpaksa ditinggalkan, ia diwajibkan qada. Ini kerana puasa bulan Ramadan sangat tinggi nilainya iaitu setiap amalan yang dilakukan diberikan pahala berganda.



Malah ada satu malamnya bila dilakukan sesuatu amalan pahalanya sama nilainya dengan melakukan amalan selama 1,000 bulan.


Sedangkan umat Nabi Muhammad s.a.w. hampir tidak ramai yang hidupnya sampai 1,000 bulan.


Demikianlah betapa Allah dalam ketegasan memerintahkan hamba-hamba-Nya melaksanakan titah perintah-Nya, masih juga diberi kelonggaran supaya hamba-hamba-Nya tidak merasa terbeban dengan apa yang tidak mampu mereka lakukan. Namun ini bukan bermakna diberi kesempatan untuk tidak dilaksanakan terus.


Oleh itu, adalah amat wajar diberi seksaan yang amat pedih bagi hamba-hamba Allah s.w.t. yang masih liat menunaikan titah perintah-Nya dan memilih menyertai syaitan dan iblis laknatullah melakukan apa yang dilarang-Nya.


Apatah lagi dari masa sepanjang 24 jam sehari semalam, hanya kira-kira separuh darinya sahaja yang ditegah daripada makan dan minum serta diharamkan berbuat apa yang dihalalkan pada bulan biasa.

kredit:  RAMLI ABDUL HALIM 


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan