MENDIDIK dan menggalakkan anak berpuasa sangat penting sebagai pendidikan awal kepada mereka tentang kepentingan ibadah puasa. Lebih-lebih lagi bagi yang baharu hendak mula berpuasa. Seperti kata peribahasa, 'melentur buluh biarlah daripada rebungnya' yang membawa maksud untuk mendidik dan mengajar anak biarlah sejak dari awal lagi atau dari kecil.
Sebagai ibu bapa, pendidikan mentaati Allah SWT dan rasul-Nya mestilah bermula dengan pendidikan iman, akhlak dan adab. Anak-anak dalam lingkungan empat atau tujuh tahun yang pertama kali menunaikan ibadah puasa hendaklah diberikan rangsangan dan motivasi bahawa pahala berpuasa sangat besar ganjarannya.
Justeru, jelaskan kepada anak-anak berkaitan firman Allah SWT yang bermaksud:Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Al-Baqarah: 183)
Ibu bapa juga boleh menjelaskan kepada anak-anak yang baharu pertama kali berpuasa. Nabi SAW pernah bersabda: "Barang siapa berpuasa dalam bulan Ramadan dan mengetahui segala batas-batasnya serta memelihara diri daripada segala yang baik, nescaya dipelihara diri daripadanya, nescaya dosa itu menutup segala dosa yang lalu." (Riwayat Ahmad dan Baihaqi).
Pendidikan keimanan itu mestilah tersemat di hati dan dibuktikan dengan amal serta yakin dengan ajaran-Nya. Iman dan amal merupakan dua perkara yang beriringan dan tidak terpisah walaupun berbeza dari segi takrif. Ini kerana amal itu adalah hasil iman dan iman pula tidak sempurna tanpa amal.
Teknik Rasulullah
Kaedah dan teknik pendidikan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sangat berkesan boleh dijadikan contoh dan panduan iaitu menjelaskan kepada mereka bahawa ibadah puasa dijanjikan syurga oleh Allah SWT dan akan mendapat balasan pahala di sisi-Nya.
Sebagai ibu bapa kaedah dan teknik pendidikan secara berhikmah, lemah-lembut, penuh rasa kasih sayang menyatakan semua oran Islam diwajibkan berpuasa dan mereka akan beroleh ganjaran pahala yang besar.
Jelaskan juga kepada anak-anak yang baru pertama kali hendak memulakan ibadah puasa akan keseronokan berpuasa iaitu orang yang berpuasa akan menikmati ibadah berbuka serta terangkan ibadah puasa dapat menghapuskan segala dosa yang lalu serta dijauhkan daripada neraka selama 70 tahun. Selain itu orang yang berpuasa juga diberikan hadiah syurga melalui pintu Ar-Rayyan daripada Allah SWT.
Beritahu anak-anak yang baharu hendak mula berpuasa. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: Daripada Abu Umamah katanya: "Ya, Rasulullah tunjukkanlah kepadaku amal yang dengannya aku boleh masuk syurga." Rasulullah SAW menjawab: "Berpuasalah kerana tiada (ibadah) yang menandinginya." (Riwayat Ibnu Majah)
Memotivasi anak-anak
Sebagai ibu bapa mestilah memahami kemampuan anak-anaknya untuk berpuasa. Bagi anak yang pertama kali hendak berpuasa boleh digalakkan berpuasa sebagai permulaan separuh hari. Kemudian diikuti dengan satu hari. Jika mereka masih bertahan, maka bolehlah diteruskan puasa tersebut.
Di samping itu, adalah lebih berhikmah sekira diberikan kata pujian kerana dengan cara itu semacam memberi rangsangan buat mereka.
Kajian psikologi Islam menyatakan, rangsangan kepada kanak-kanak yang berusia empat atau tujh tahun adalah melalui contoh teladan daripada kawan-kawannya yang berpuasa.
Mereka juga boleh digalakkan melalui pemberian hadiah sebagai permulaan. Biasanya hadiah yang menarik itu adalah apa yang mereka mahu yang berpatutan dan mampu dilakukan oleh ibu bapa sebagai motivasi anak-anak berpuasa.
Kanak-kanak lebih terpengaruh dengan kawan sebaya. Ada ibu bapa yang menggalakkan anak-anak berpuasa dan jika berpuasa mereka akan dibawa ke masjid untuk solat terawih bersama kawan-kawannya.
Berkaitan dengan iman, Imam al-Ghazali menghuraikan pengertian iman dengan katanya: "Pengakuan dengan lidah, membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun (anggota-anggota)."
Hal ini harus difahami oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak berpuasa. Justeru, ibu bapa juga boleh menjelaskan kepada anak-anak kepentingan bersahur supaya anak-anak tidak berasa letih dan lapar semasa berpuasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bersahur itu berkat, sebab itu janganlah kamu tinggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, kerana Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk orang yang bersahur." (Riwayat Ahmad)
kredit: AMINUDIN MANSOR
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan