Jika kita tidak cenderung dan tidak bersedia untuk belajar dan memperkemas-tingkatkan mutu solat, secara zahir mahu pun batin, maka sudah tentulah kita akan terjebak dengan ancaman berikut :
Telah berkata Wahib (Wuhaib) bin Al-Ward roh.a. :
Mafhumnya: "Janganlah sampai kerisauan salah seorang kamu itu (hanya semata-mata) untuk memperbanyakkan `amalan sahaja. Tetapi hendaklah kerisauannya itu dalam menyempurnakan `amalan itu (iaitu supaya ada kesempurnaan / IHKAAM / IKMAAL / ITMAAM di dalam `amalan itu) DAN hendaklah kerisauannya itu dalam memperelokkan / mentahsinkan mutu `amalan itu (iaitu supaya ada keperelokan / tahsiin dalam `amalan itu). MAKA SESUNGGUHNYA SEORANG HAMBA ITU KADANGKALA APABILA DIA SEDANG BERSOLAT, DIA (SEBENARNYA) SEDANG MENDERHAKAI (MELAKUKAN MA'SIYAT) TERHADAP ALLAH SWT DI DALAM SOLATNYA. Dan adakalanya apabila dia berpuasa, dia (sebenarnya) sedang melakukan ma'siyat terhadap Allah s.w.t". [Sifatus-Sofwah, mujallad 2, halaman 226].
Jadi, ancaman tersebut (iaitu SAMBIL BERSOLAT SAMBIL MELAKUKAN PENDERHAKAAN ATAU MA'SIYAT TERHADAP ALLAH SWT) akan terjebak buat mereka yang tidak mahu mendasarkan `amalan solat mereka di atas (kepada) `ilmu. Walau pun kita begitu ghairah sekali untuk ber'amal (bersolat), tetapi jika tidak didasarkan kepada `ilmu serta penghayatan, maka segala `amalan (solat) kita itu akan hancur hangus berkecai menjadi debu.
Dari sini jelaslah kepada kita akan betapa pentingnya usaha mempertingkatkan mutu solat kita secara zohir dan batin, iaitu dengan benar-benar memahami akan `ilmu masail serta (`ilmu-ilmu yang berkaitan) dengan penghayatan solat (zohir dan batin). Kerana tanpa memahami ini semua bagaimana boleh kita mengetahui bahawa sesuatu solat itu sama ada sah atau batal dsbnya. Sering, lantaran kejahilan dan kedegilan kita untuk belajar, kita terus bergelumang dengan solat yang batal……..Bukankah ini antara lain berma'na menderhakai (melakukan ma'siyat) terhadap Allah s.w.t. di dalam solat ??
Contoh yang lain adalah, kita sering mengabaikan syarat-syarat sahnya sesuatu rukun di dalam solat, kita terus bersolat dan bersolat walau pun syarat-syarat itu tidak disempurnakan…. Bukankah ini antara lain bermakna bahawa kita menderhakai (melakukan ma'siyat) terhadap Allah s.w.t. di dalam solat kita ??
Contoh yang lain adalah, kita mengabaikan syurutul-qudwah (syarat-syarat menjadi imam / mengikut imam) bila solat berjama'ah, kita terus berdegil untuk melanggari syarat-syarat tersebut…. Bukankah ini juga antara lain termasuk menderhakai (melakukan ma'siyat) terhadap Allah s.w.t. di dalam solat ??
Dan sudah tentulah banyak lagi contoh-contoh yang lain….
Bagaimana Pula Penderhakaan (Melakukan Ma'siyat) Terhadap Allah SWT Di Dalam Solat Secara Batin ?
Perhatikan akan ayat Al-Quran berikut :
Mafhumnya : "Dan dirikan olehmu akan solat itu kerana ingat / dzikir akan Daku (ya'nii akan Allah s.w.t.)." [20 : 14].
Kata Imam Al-Ghozali roh.a. (mafhumnya) : Maka zahir suruhan di dalam ayat di atas adalah SURUHAN WAJIB, ya'nii WAJIB atas seorang yang bersolat itu ingat hatinya di dalam solat itu akan Allah s.w.t. Maka barangsiapa bersolat padahal hatinya LUPA akan Allah s.w.t. maka iaitu TIADA dinamakan MENDIRIKAN SOLAT, kerana itulah sayogianya bahawa HADHIR HATI PADA TIAP-TIAP RUKUN daripada segala rukun sembahyang itu.
Juga Firman Allah s.w.t. :
Mafhumnya : Dan janganlah engkau jadikan dirimu (di dalam solat dan lainnya itu) daripada orang yang lalai (para ghofilin) akan Allah s.w.t." [7 : 205].
Kata Imam Al-Ghozali roh.a. (mafhumnya) : Dan TEGAHAN di dalam ayat di atas iaitu TEGAH HARAM, ya'nii LALAI AKAN ALLAH SWT ITU ADALAH HARAM dan HARAM ITU ADALAH DARIPADA KEJAHATAN.
Kedua-dua petikan Imam Al-Ghozali roh.a. di atas adalah daripada kitab Sairus-Salikin (halaman 66 & 67).
Jadi jelas di sini, bahawa mereka yang tidak ingat Allah s.w.t. dan lalai di dalam solat adalah termasuk melakukan kejahatan (ma'siyat) di dalam solat.
Dan inilah juga, antara lain, pengertian yang selari dengan pengertian yang telah diberikan oleh Asy-Syeikh Wahib bin Al-Ward roh.a. di atas.
Sekarang timbul suatu persoalan……. Kalau kita (termasuk saya sendirilah) asyik melakukan penderhakaan (ma'siyat / kejahatan /yang haram) di dalam solat, maka sampai bilakah kita akan merasai kelazatan ber'ibadah ( to'mul-`ibadah) ??Kerana kelazatan ber'ibadah itu akan terhalang buat mereka yang melakukan ma'siyat atau ber'azam (bercita-cita / berniat) melakukan ma'siyat.
Lihatlah keterangan Asy-Syeikh Wahib bin Al-Ward roh.a. berikut ini :
Mafhumnya : Dan daripada `Abdulloh Ibn Al-Mubarok roh.a., katanya :
Wahib bin Al-Ward roh.a. telah ditanya : Adakah seseorang yang melakukan ma'siyat (penderhakaan) terhadap Allah s.w.t. itu dapat merasai lazatnya `ibadah (to'mul-`ibadah) ?
Jawab Wahiib : Tidak . Dan (bahkan) orang yang berniat (bercita-cita / ber'azam) untuk melakukan ma'siyat sekali pun tidak dapat merasai lazatnya `ibadah !!!
[Sifatus-Sofwah, mujallad 2, halaman 222].
Orang yang bercita-cita (berniat) untuk melakukan ma'siyat di LUAR SOLAT pun tidak dapat memperolehi lazatnya `ibadah, apatah lagi jika dia melakukan ma'siyat di DALAM SOLAT.
Mungkin ada yang berkata / bertanya : Mana boleh untuk tidak berma'siyat, semua orang melakukan ma'siyat…….lantaran itu mana dapat memperolehi kelazatan `ibadah ?
Ya, memang benar, semua orang tidak terlepas daripada melakukan ma'siyat (kecil besarnya mengikut darjah masing-masing). Dan sudah tentulah penyelesaian dalam hal ini adalah bertaubat.
Dan sebenarnya kita memang belum bertaubat lagi, kerana dosa kita yang mula-mula sekali adalah tidak mahu belajar, ego kita untuk tidak mahu belajar adalah tersangat tinggi sekali, dan ini merupakan hijab yang tersangat besar yang menghalang untuk memperolehi permata-permata yang seterusnya….. Ego kita untuk tidak mahu belajar solat (kesempurnaannya zohir dan batin) tersangat tinggi…….. sampai2 kita (termasuk saya sendiri)masih celaru dan keliru lagi untuk membedakan walau pun yang zohir-zahir, mithalnya : yang mana satu berdiri yang wajib, yang mana satu berdiri yang sunat ? yang mana satu niat yang wajib, yang mana satu niat yang sunat ? yang mana satu Al-Fatihah yg wajib, yang mana satu Al-Fatihah yang sunat ? dsbnya…..Apakah berdehem itu boleh membatalkan solat ? Kalau imam berdehem apakah tindakan kita sebagai ma'mum ? Bagaimanakah seringkas-ringkas i'tidaal dan bagaimanakah pula sesempurna-sempurnanya ? Sahkah solat seseorang itu bila meninggalkan satu sabdu (tasydid) di dalam Al-Fatihah ? Apakah yang dimaksudkan dengan perut-perut jari kaki ? ….. Bilakah tidak disunatkan untuk duduk istirahat ? Apakah yang dimaksudkan dgn irtibat dalam solat ?……dsbnya.
Itu baru ditinjau dari sudut yang zahir-zahir. Dan sudah tentulah lebih mendahsyatkan lagi jika ditinjau dari sudut batin, seperti dari sudut hadhir hati dan kekhusyukan di dalam solat. Kalau dari sudut yang zahir-zahir pun kita tidak bersedia (malah merasa ego) untuk memperbaikinya, janganlah diharapkan untuk terus maju dalam mencapai tahap-tahap ketinggian batiniyyah (dari sudut keruhanian / hadhir hati / khusyuk / dsbnya) di dalam solat kita.
Sebelum di tutup mudzakarah ini, mari kita suburkan kembali pesan Imam Malik roh.a. :
Mafhumnya : "Barangsiapa menjadi seorang sufi (mempelajari dan mengambil jalan sufi) tetapi tidak menjadi seorang faqih (tidak mempelajari ilmu fiqih), maka sesungguhnya dia telah menjadi seorang ZINDIQ (orang yang pada zohirnya nampak beriman tetapi haqikatnya tidak beriman). Dan barangsiapa menjadi seorang faqih (mempelajari dan mengambil jalan ilmu fiqih) tetapi tidak menjadi seorang sufi (tidak mempelajari dan mengambil jalan sufi), maka sesungguhnya dia telah menjadi seorang yang FASIQ (seorang yang telah keluar daripada jalan haq dan daripada jalan kesolihan). Dan barangsiapa telah menghimpun di antara kedua-duanya itu (ya'ni telah mengambil kedua-dua jalan sufi dan jalan fiqih), maka sesungguhnya dia menjadi SEORANG YANG TELAH MENGAMBIL JALAN YANG HAKIKAT (JALAN YANG SEBENAR-BENARNYA)". [Petikan daripada kitab Athar Al-Jamaa'ah Al-Islaamiyyah Al-Maidaani Khilaal Al-Qorn Al-`Isyriin, `Idad Dr. Mahmud Salim `Ubaidat. Maktabah Ar-Risalah Al-Hadithah, `Amman, Jordan / Urdun. Cetakan pertama 1409H / 1989M, halaman 316].
SEMOGA PESAN IMAM MALIK ROH. A. TERSEBUT SENTIASA SUBUR DI HATI DAN INGATAN KITA BERSAMA.
Wallahu A'lam. Semoga kita sama-sama mengambil i'tibar…. Semoga kita sama-sama bertaubat daripada untuk tidak mahu belajar. Mari kita teruskan mudzaakaroh kita.
kredit: pesantrian
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan