Bacaan Popular

Rabu, 15 Ogos 2012

Anda Beroleh 5 Kelebihan Bila Mambaca Al Quran


Al-Quran yang padat dengan wahyu Ilahi seumpama sinaran cahaya menerangi kehidupan manusia sejagat ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan juga kebahagiaan di akhirat.

Ibnu Taimiyyah pernah menegaskan, sesiapa yang tidak membaca al-Quran bermakna dia telah meninggalkannya (menjauhkannya); begitu juga sesiapa yang membaca al-Quran tetapi tidak pula memahami maknanya, dia juga telah meninggalkan al-Quran; dan sesiapa yang membaca al-Quran dan telah memahami maknanya, tetapi tidak mengamalkannya pula, dia tetap juga telah meninggalkan al-Quran. 

Sehubungan itu, kehadiran Ramadan al Mubarak sewajarnya dijadikan momentum terbaik dan peluang keemasan Muslim untuk bermuhasabah mengenai kepentingan kitab suci al-Quran dalam kehidupan Muslim serta pelbagai hikmah diperoleh. 


Pertama, mendapat ganjaran pahala yang banyak, yang mana satu huruf diberi balasan sepuluh kebajikan seperti diriwayatkan Iman al-Tirmizi dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran (membaca dan memahami maknanya) dan mengajarkannya."
(Hadis riwayat Bukhari)

Perlu ditegaskan, membaca al-Quran bukan saja sangat digalakkan pada Ramadan, bahkan juga dianjurkan dalam bulan lain sepanjang tahun seumur hidup dalam kehidupan Muslim.

Walaupun begitu, Muslim digalakkan meningkatkan kuantiti dan kualiti pembacaan al-Quran pada Ramadan kerana Allah s.n.t. menyediakan ganjaran berlipat ganda kepada orang yang melakukan amalan soleh dalam bulan mulia ini. 

Di samping itu, adab dan peraturan membaca al-Quran perlu dipelihara di samping setiap Muslim dituntut memperelokkan bacaannya supaya termasuk dalam koleksi amalan soleh. Rasulullah s.a.w. sering bertadarus al-Quran bersama Jibril a.s. sepanjang malam di bulan Ramadan. 


Kedua, Allah s.n.t.  akan mengangkat darjat orang yang selalu membaca al-Quran, mempelajari isi kandungannya dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w.:" Sesungguhnya Allah s.n.t. mengangkat darjat sesuatu kaum dengan Kitab al-Quran dan Allah merendahkan kaum yang lainnya (yang tidak mahu membaca, mempelajari dan mengamalkan al-Quran)." 
(Riwayat Bukhari)

Orang yang membaca al-Quran selalu dekat dengan Allah s.n.t., bahkan membaca al-Quran adalah bermunajat secara langsung kepada Allah s.n.t.


Ketiga, mendapat ketenangan jiwa atau hati yang sangat luar biasa, di mana setiap ayat al-Quran yang dibaca akan menghasilkan ketenteraman.

Firman Allah s.n.t.:" Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian juga." 
(Surah Al-Isra, ayat 82)


Keempat, mendapat syafa'at dan perlindungan Ilahi pada hari Kiamat. Hal ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan Imam Muslim: "Bacalah al-Quran oleh kamu sekalian, kerana bacaan al-Quran yang dibaca ketika hidup di dunia ini, akan menjadi syafa'at dan penolong bagi para pembacanya di hari Kiamat nanti." 

Justeru, perbanyakkan membaca al-Quran kerana bacaan al-Quran akan menjadi syafa'at dan penolong pada hari Kiamat nanti, sedangkan manusia pada masa itu ramai yang sengsara dan menderita dengan kepayahan di hari perhimpunan agung di hadapan Allah s.n.t.


Kelima, orang yang rajin membaca al-Quran akan bebas daripada aduan Rasulullah s.a.w. pada hari Kiamat nanti, di mana ada beberapa manusia diadukan Rasulullah s.a.w. pada hari Kiamat di hadapan Allah s.n.t.

Munafa'atkan sisa-sisa kehidupan berbaki yang Allah s.n.t. berikan untuk menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran. Janganlah disia-siakan kesempatan yang tiada ternilai ini, kerana al-Quran akan menjadi teman setia Muslim ketika sakaratul maut dan kelak di dalam kubur.

Demikian lima keutamaan membaca al-Quran yang sewajarnya direbut setiap Muslim yang bertakwa, lebih-lebih lagi ketika berada di bawah naungan Ramadan al Mubarak yang penuh dengan keberkatan. Bersegeralah melakukan amalan kebaikan sepanjang Ramadan untuk meraih kedudukan terbaik di sisi Allah s.n.t.

Sesiapa berpegang teguh dengan segala ajaran terkandung di dalamnya, maka dia akan berbahagia, sebaliknya sesiapa yang menolak atau meninggalkan ajaran al-Quran, maka dia termasuk dalam kalangan manusia tersesat.

kredit: Naim Qlate


Salam Ukhuwah..~

2 ulasan:

  1. Salam Ukhuwah. Terima kasih berkongsi akhi. Membaca Al Quran sangat penting diikuti dengan pemahaman dan penghayatan.


    Kelebihan Al Quran

    BalasPadam
  2. Beruntunglah mereka yang pelajari Al-Quran, sesungguhnya Al-Quran akan menjadi syafaat dan teman mereka di akhirat nanti.

    BalasPadam