Bacaan Popular

Rabu, 22 Ogos 2012

15 Seksaan Bagi Yang Meninggalkan Solah



Alhamdulillah...

Pagi raya keempat tok ada banyak masa untuk menulis dalam entry ini. Tapi jangan marah kerana giliran kali ini adalah agak panjang. Panjang kerana nak menceritakan tentang 15 azab seksaan bagi mereka yang meninggalkan solah. Cerita ini berdasarkan hadith soheh serta ayat yang terkandung dalam al Quran.

Terdapat banyak sekali hadith yang dapat dikutib dari berbagai macam kitab yang menceritakan azab yang akan dikenakan keatas mereka-mereka yang meninggalkan solah. Meskipun setelah seseorang diputuskan akan diazab dan tertulis dalam senarai orang yang bersalah, namun ada peluang keampunan untuknya, kerana Allah s.w.t. berfirman:



"Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua). Dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya."
Surah an Nisa' ayat 48

Berdasarkan ayat yang disebutkan diatas dan ayat-ayat lain yang seumpama dengan ayat-ayat diatas dan juga hadith-hadith, sekiranya Allah s.w.t. mengampunkan seseorang maka dia adalah seorang yang sangat bertuah. Disebutkan didalam sebuah hadith bahawa pada hari kiamat kelak terdapat tiga mahkamah pengadilan. 

Pertama, (mahkamah yang akan) mengadili mengenai kufur dan Islam. dalam mahkamah ini tidak ada sebarang pengampunan. 

Kedua,  mahkamah yang akan mengadili hak sesama manusia. Dalam mahkamah ini, hak orang yang dizalimi pasti akan dikembalikan, sama ada hak itu diambil daripada orang yang melakukan kezaliman atau sekiranya Allah s.w.t. ingin mengampuni orang yang melakukan kezaliman itu maka hak yang dituntut itu akan dikurniakan oleh Allah s.w.t. daripada sisiNya.

Ketiga,  mahkamah yang akan mengadili kewajipan terhadap Allah s.w.t.  Disini pintu-pintu keampunan Allah s.w.t. akan terbuka luas. Perlu difahami bahawa sesungguhnya balasan terhadap perbuatan kita adalah azab-azab sebagaimana yang disebutkan dalam hadith. Namun, sifat keRahiman dan Keampunan Allah s.w.t. mengatasi segala-galanya.

Berikut tok lampirkan sebuah hadith yang agak panjang yang berkaitan dengan solah;



Sesetengah ulama berkata bahawa terdapat dalam hadith, bahawa sesiapa yang menjaga solahnya maka Allah s.w.t. akan mengurniakan lima keistimewaan.

Pertama, akan diangkat kesempitan hidup didunia daripadanya.

Kedua, akan dihindarkan daripada azab kubur.

Ketiga, dia akan menerima buku catatan amalnya melalui tangan kanan.

Keempat, akan melintasi titian sirat sepaantas kilat dan,

Kelima, akan memasuki syurga tanpa hisab.

Sesiapa meringan-ringankan solah, Allah s.w.t. akan menyeksanya dengan lima belas seksaan. Lima seksaan didunia ini, tiga seksaan ketika meninggal dunia, tiga seksaaan didalam kubur dan tiga seksaan semasa dibangkitkan dari kubur.


Seksaan semasa didunia ialah;


Pertama, dicabut keberkatan umurnya.

Kedua, dihapuskan tanda-tanda orang soleh daripada wajahnya.

Ketiga, Allah s.w.t. tidak mengganjari setiap amalan yang dilakukan olehnya.

Keempat, doanya tidak akan diangkat ke langit (doanya tidak akan diterima).

Kelima, dia tidak akan mendapat bahagian dalam doa orang soleh.


Seksaan yang menimpanya ketika mati ialah;

Pertama, dia akan mati dalam keadaan hina.

Kedua, dia akan mati dalam keadaan lapar.

Ketiga, dia akan mati dalam keadaan dahaga, sehingga jika dia diberi minum air sebanyak lautan didunia pun tidak dapat menghilangkan hausnya.


Seksaan yang akan menimpanya didalam kubur ialah;

Pertama, kubur akan menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuknya berceragah antara satu sama lain.

Kedua, api akan dinyalakan didalam kuburnya dan dia akan dibalik-balikkan diatas bara api siang dan malam.

Ketiga, seekor ular yang besar bernama "Ashyuja'ul-Aqra'" akan dilepaskan atasnya. Kedua-dua mata ular itu dibuat daripada api dan kuku ular itu dibuat daripada besi. Panjang setiap kuku ular itu sejauh satu hari perjalanaan. Ular tersebut akan berkata dengan suara yang gemuruh seumpama petir, "Aku Ashhyuja'ul-Aqra'. Aku diperintahkan oleh Tuhanku supaya memukul kamu;

Kerana kamu meninggalkan solah Suboh sehingga naik matahari.

Kerana meninggalkan solah Zohor hingga 'Asar.

Kerana meninggalkan solah 'Asar sehingga Maghrib.

Kerana meninggalkan solah Maghrib sehingga Isyak.

Kerana meninggalkan solah Isyak sehingga Suboh".


Setiap kali ular itu memukulnya dia akan terbenam ke dalam bumi sejauh tujuh puluh hasta. Dia akan diazab berterusan di dalam kubur sehingga hari kiamat.

Manakala seksaan yang akan menimpanya ketika dibangkitkan dari kubur pada hari kiamat di  padang masyra ialah;

Pertama, penghisabannya amat berat.

Kedua, dia dimurkai Allah s.w.t.

Ketiga, dia akan dimasukkan kedalam neraka.

(dalam hadith ini hanya disebut empat belas seksaan, tidak mencukupi bilangan lima belas, mungkin perawi terlupa).

Dalam satu riwayat yang lain disebutkan bahawa mereka yang melalaikan solah. pada hari kiamat akan datang dalam keadaan pada muka mereka tertulis tiga baris tulisan.

Pertama, wahai orang yang mensis-siakan hak Allah s.w.t.

Kedua, wahai orang yang pasti mendapat kemurkaan Allah s.w.t.

Ketiga, sebagaimana kamu di dunia mensia-siakan hak Allah s.w.t. kini putuslah harapan kamu daripada Rahmat Allah s.w.t.

Disebutkan dalam satu hadith dalam kitab Bukhari bahawa adalah menjadi kebiasaan Rasulullah s.a.w. selepas solah Suboh, Baginda s.a.w. akan bertanya kepada para sahabat, "Adakah sesiapa yang bermimpi malam tadi>" Jika ada di kalangan mereka yang bermimpi maka mereka akan menceritakan mimpi itu kepada Baginda s.a.w. dan Baginda s.a.w. akan mentafsirkan mimpi itu.

Pada suatu pagi, seperti biasa Baginda s.a.w. bertanya kepada para sahabat. Kemudia Baginda s.a.w. sendiri bersabda;

"Semalam saya bermimpi dua orang datang lalu membawa saya pergi bersama mereka." Kemudian Baginda s.a.w. menceritakan satu mimpi yang panjang. Antara yang dilihat oleh Baginda s.a.w. ialah syurga, neraka dan manusia yang sedang diazab dengan berbagai-bagai jenis seksaan dalam neraka.

Daripada keseluruhan azab yang dilihat, antaranya ialah seorang yang dihancurkan kepalanya dengan batu dan dihentak dengan begitu kuat sehingga batu tersebut terpelanting jauh. Semasa batu itu diambil semula, kepala itu kembali menjadi seperti sedia kala dan sekali lagi dia dipukul dengan kuat dan demikianlah penyeksaan itu berterusan.

Baginda s.a.w. bertanya kepada kedua-dua temannya (dua malaikat), "Siapakah orang ini?" Mereka menjawab, "Orang ini pernah belajar al Quran dan dia tidak mengamalkannya dan dia tidur tanpa mengerjakan solah fardhu". Diberitakan dalam sebuah hadith yang hampir serupa bahawa Rasulullah s.a.w. telah bermimpi melihat segolongan manusia yang diseksa dengan cara yang sama sebagaimana yang disebutkan ini.

Selepas ditanya oleh Baginda s.a.w., Jibril a.s. memberitahu bahawa mereka itu ialah yang melengah-lengahkan solah (at-Targhib). Hazrat Mujahid rah. berkata, "Sesiapa mengambil berat untuk mengetahui waktu solah maka mereka akan mendapat keberkatan sepertimana keberkatan yang dilimpahkan keatas Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya (Dur rul-Mansthur).

Diriwayatkan daripada Hazrat Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Sesiapa meninggal dunia dalam keadaan beriman dengan ikhlas, melakukan amal ibadat, menunaikan solah, membayar zakat maka dia akan meninggal dunia dalam keadaan dia di Redhai oleh Allah s.w.t. Diriwayatkan daripada Hazrat Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. berfirman, "Aku akan menangguhkan azab yang Aku ingin turunkan keatas sesuatu tempat apabila Aku mendapati di tempat itu ada orang yang memakmurkan masjid-masjid, berkasih sayang antara satu sama lain semata-mata kerana Aku dan memohon keampunan pada bahagian akhir malam."

Hazrat Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila mayat diletakkan di dalam kubur, sebelum sempat mereka yang mengiringi jenazah itu pulang, malaikat akan datang untuk menyoalnya. Jika seeorang itu beriman maka solah akan berada hampir di kepalanya, zakat di kanannya, puasa di kirinya dan amalan-amalan kebaikan yang lain yang telah dilakukannya berada di bahagian kakinya.
Dia dikelilingi dengan amalan-amalan baiknya dari semua arah sehingga tiada sesuatu pun yang boleh menghampirinya. Malaikat hanya akan menyoalnya dari jarak yang jauh."


Salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. menceritakan bahawa apabila keluarga Baginda s.a.w. mengalami kesempitan dalam perbelanjaan, Baginda s.a.w. akan menyuruh mereka mendirikan solah dan Baginda s.a.w. akan membaca ayat berikut;



"Perintahkanlah keluargamu bersolah dan bersabarlah dalam mengerjakan solah. Kami tidak meminta rezeki daripada kamu. Sesungguhnya Kami yang memberi rezeki kepada kamu. Dan balasan baik bagi orang yang bertakwa."

Surah Taha ayat 123


Hazrat Ubai r.a. berkata, "Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Berilah berita gembira kepada umatku bahawa mereka akan memperoleh ketinggian dan kemuliaan serta agama mereka akan maju dan berkembang, tetapi sesiapa yang menjalankan apa-apa jua kerja agama untuk tujuan keduniaannya maka dia tidak akan mendapat sebarang bahagian di akhirat (al Targhib).

Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku bermimpi menemui Tuhanku dalam suasana yang begitu indah. Allah s.w.t. bertanya kepadaku, "Ya Muhammad, tahukah kamu apakah yang menyebabkan mereka di Malail a'la yakni para Malaikat bertelingkah?" Saya menjawab, "Tidak tahu." Kemudian Allah s.w.t. meletakkan tanganNya yang mulia keatas dadaku sehingga kedinginan terasa sampai ke dalam dadaku. Dengan keberkatanNya maka tersingkaplah seluruh alam kepadaku. Lantas Allah s.w.t. bertanya, "Ya Muhammad, sekarang beritahulah apa yang menyebabkan para Malaikat bertelingkah?" Saya menjawab, "Para Malaikat bertelingkah tentang amalan yang meninggikan darjat, amalan yang menghapuskan dosa, ganjaran yang diperoleh bagi langkah seseorang yang pergi untuk menunaikan solah berjemaah, kelebihan mengambil wuduk dengan sempurna ketika cuaca sejuk dan kelebihan duduk menunggu solah selepas menunaikan satu solah. Sesiapa yang dapat memelihara semua ini, akan hidup dan meninggal dunia dalam keadaan yang baik."

Dalam sebuah hadith yang masyur ada diterangkan bahawa pada hari kiamat nanti, tangan, kaki dan wajah umatku akan bercahaya akibat kesan wuduk dan sujud mereka. Daripada tanda-tanda tersebutlah umat ini akan mudah dikenali daripada umat-umat yang lain. Disebutkan dalam sebuah hadith bahawa apabila sesuatu bala bencana hendak diturunkan maka orang yang memakmurkan masjid akan dihindarkan daripada azab tersebut (Jami ul Saghir). Disebut dalam banyak hadith bahawa Allah s.w.t. akan mengharamkan api neraka daripada membakar kesan-kesan sujud (maksudnya, jika disebabkan amalan buruk, seseorang itu dimasukkan ke dalam neraka pun, anggota yang pernah sujud tidak dapat dibakar oleh api neraka.) Disebutkan dalam sebuah hadith bahawa solah akan menghitamkan muka syaitan dan sedekah akan mematahkan tulang belakangnya (Jami ul Saghir). 

Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa solah adalah penawar. Sebuah kisah yang diriwayatkan dalam sebuah hadith yang lain bahawa suatu ketika Hazrat Abu Hurairah r.a. meniarap. Rasulullah s.a.w. bertanya, "Adakah kamu sakit perut?" Beliau m,enjawab "Ya". Baginda s.a.w. bersabda, "Bangunlah dan kerjakan solah, kerana dalam solah ada penawar." (Jami ul Saghir).

Dinyatakan dalam sebuah hadith bahawa pernah sekali para sahabat bertanya. "Adakah kami akan dibinasakan sedangkan masih ada di kalangan kami orang yang soleh?" Jawab Baginda s.a.w.. "Ya, apabila perbuatan maksiat mengatasi amalan kebaikan." Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua orang untuk mencegah perbuatan yang buruk dan mengajak manusia melakukan kebaikan mengikut kemampuan masing-masing.

kredit: fadhilat amal


Salam Ukhuwah..~


Tiada ulasan:

Catat Ulasan