Bacaan Popular

Jumaat, 17 Ogos 2012

Amaran Dan Celaan Ke Atas Mereka Yang Meninggalkan Solah Bhg 2

HADITH 4


Diriwayatkan daripada Hazrat Naufal bin Muawiyah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Seseorang yang terluput satu solah adalah seumpama seorang yang telah kehilangan keluarga dan harta bendanya."
(Hadith riwayat Imam Ibnu Hibban bin Ahmad)

Keterangan:

Biasanya solah terluput kerana seseorang itu sibuk melayani kaum keluarga atau sibuk mengejar kekayaan. Baginda s.a.w. menyatakan bahawa seseorang yang meninggalkan solah adalah seumpama seseorang yang kehilangan seluruh kaum keluarganya, harta benda dan tinggallah dia sehelai sepinggang. Yakni sebanyak mana kerugian yang ditanggungnya akibat kehilangan segala-galanya begitulah juga kerugian yang akan dialaminya jika meninggalkan solah. Oleh yang demikian seseorang itu sepatutnya berdukacita akibat jika terluput satu solah seumpama seorang yang berdukacita kehilangan seluruh kaum keluarga dan harta benda. Sekiranya seseorang itu mendengar berita daripada seseorang yang boleh dipercayainya bahawa rompakan selalu berlaku di sebatang jalan pada waktu malam dan sesiapa yang melalui jalan itu akan dirompak dan dibunuh maka beranikah dia melalui jalan tersebut pada waktu malam ? Bukan setakat malam hari, bahkan pada siang hari pun orang tidak akan melalui jalan itu. Kita semua percaya Baginda s.a.w. adalah pesuruh Allah s.n.t. telah berkali-kali memberi amaran kepada kita, namun kita tidak menghiraukan amaran-amaran Baginda s.a.w. dan masih meninggalkan solah demi solah.

HADITH 5


Diriwayatkan daripada Hazrat 'Abdullah bin 'Abbas r.a.huma katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang mengumpulkan dua solah tanpa sebarang keuzuran, sesungguhnya dia telah tiba ke salah satu pintu dosa besar."
(Hadith riwayat Imam Hakim)

Keterangan:

Hazrat 'Ali r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Jangan melambat-lambatkan dalam tiga perkara. Pertama, solah, apabila telah masuk waktunya. Kedua, pengkebumian mayat, apabila jenazah sudah disiapkan. Ketiga, mengahwinkan seorang wanita, apabila jodoh yang sesuai sudah didapati." Ramai orang yang menganggap diri mereka soleh dan mereka juga dianggap seorang yang mengambil berat tentang solah. Namun, disebabkan alasan yang kecil seperti safar (perjalanan), mengurus kedai atau apa-apa pekerjaan maka banyak solah ditinggalkan. Setelah pulang kerumah barulah mereka mengqadakan solah-solah yang ditinggalkan itu. Tidak mengerjakan solah pada waktunya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit dan seumpamanya adalah satu dosa besar. Walaupun dosa menangguhkan solah tidaklah sebesar meninggalkan solah, namun dosa tidak mengerjakan solah pada waktunya amat berat dan masih tidak mencukupi hanya dengan mengqadakan solah (kecuali dengan bertaubat).

bersanbung esok pagi 29 Ramadhan selepas waktu suboh...

kredit: fadhilat amal


Salam Ukhuwah..~ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan