Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Bacaan Popular
-
Sebagai seorang Muslim kita semua tahu bahawa solat itu merupakan kewajipan yang Allah s.w.t. suruh seperti mana yang terdapat di dal...
-
Hari itu, saya balik selepas didenda berdiri di luar kelas selama sejam selepas waktu sekolah oleh Ustaz Ismail kerana terlupa menyiapk...
-
Ini adalah beberapa PETUA (Perubatan Orang Tua-tua Dulu-kala) untuk kita ingati dan amalkan dalam kehidupan kita. Memang dulu-dulu jarak kli...
-
Zaman sudah berubah..isteri sekarang semakin berani berlaku curang!” Kadar gejala seks bebas kian meningkat dalam masyarakat hari ini. Lebih...
-
DOA INI AFDALNYA DIBACA 11 KALI KETIKA SUJUD SEBAIK SELESAI SALAM SEMBAHYANG FARDHU. KEMUDIAN MOHON DOA KEPADA ALLAH. INSYA'ALLAH. TAWAK...
-
Minggu lepas Tok Wan ke Telok Intan, distinasi tepatnya ialah Kampung Sungai Jejawi Telok Intan, Perak. Tok pergi dengan sepupu yang...
Isnin, 13 Jun 2011
Khutbah Jumaat 10 Jun 2011
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi supaya sentiasa istiqamah bersama Islam. Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa.
Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Hujrat ayat 13:
"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Minbar hari ini merasa amat terpanggil untuk menjelaskan maksud dan kesan fitnah yang wajib difahami, jika kita benar-benar inginkan kesejahteraan dan keredhaan Allah SWT di dunia, apatah lagi di akhirat kelak. Perhatian ini wujud kerana ada kecenderungan sebahagian umat Islam membuat kenyataan berbentuk fitnah yang sangat jelas bercanggah dengan syariat Islam. Ianya dilakukan sama ada oleh individu, kumpulan, persatuan dan pihak-pihak lain.
Fitnah ialah mengadakan suatu berita palsu atau bohong terhadap seseorang yang mempunyai perasaan permusuhan dengan motif-motif yang buruk. Fitnah boleh memecah belahkan masyarakat, meruntuh perpaduan ummah, merendahkan akhlak dan menjatuhkan maruah Islam.
Fitnah pula boleh menimbulkan Qazaf. Qazaf bererti membuat sesuatu pertuduhan terhadap seorang melakukan zina atau liwat tanpa mengemukakan empat orang saksi muslim yang adil. Oleh itu orang yang menuduh telah melakukan jenayah Qazaf dan fitnah. Pembuktian dengan cara bersumpah, termasuk sumpah laknat (mubahalah) atau menggunakan bahan-bahan lain sebagai bukti adalah tidak relevan sama sekali kerana tidak menepati kehendak syariat.
Termasuk dalam kategori ini, mereka yang mendedahkan maklumat secara terbuka, dalam pelbagai bentuk dengan maksud menuduh melakukan zina juga telah melakukan jenayah Qazaf. Malah mereka yang mempercayai fitnah tersebut dan menyebarkannya sudah pasti mendapat dosa dan boleh dikenakan hukuman kerana gagal membuktikannya mengikut ketetapan syarak. Dalam hubungan ini marilah kita menghayati dan meyakini pesanan Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
"Sesiapa yang menggembar-gemburkan pada orang ramai sesuatu perkara terhadap seseorang muslim untuk menjatuhkan maruah orang tersebut di dunia pada hal ia tidak demikian, maka wajiblah Allah mencairkan pembawa fitnah tersebut pada hari qiamat dalam api neraka sehinggalah ia dapat membuktikan kebenaran apa yang telah dikatakannya".
(Riwayat At-Thabrani)
Fitnah boleh menjatuhkan maruah si tertuduh apabila disiar oleh media massa, media cetak mahupun media elektronik termasuk telefon bimbit. Lebih memburukkan keadaan, apabila si pemfitnah enggan menerima kebenaran dan tidak mahu mengakui kesilapan atau mempunyai perasaan dendam serta hasad dengki yang terhadap orang yang dituduh. Orang yang memfitnah sama ada sedar atau tidak telah melaksanakan sumpahan iblis dan syaitan yang memang ingin merosakkan iman dan aqidah umat Islam sehingga hari kiamat.
Adakalanya fitnah itu diulas, diperbesar dengan memetik kenyataan oleh pihak-pihak tertentu ke arah menggambarkan bahawa si tertuduh memang bersalah. Inilah budaya buruk sangka dan hasad dengki oleh mereka yang tidak berakhlak dengan akhlak Islam. Setiap individu yang bersama melakukan perbuatan terkutuk ini, atau mempercayai atau sama-sama menyebarkan akan menerima pembalasan dari Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anfal ayat 25:
"Dan jagalah diri kamu daripada berlakunya dosa yang membawa bala bencana yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus, tetapi akan menimpa kamu secara umum; Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaan-Nya".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sesungguhnya mereka yang melakukan jenayah qazaf telah melakukan perbuatan yang haram dan termasuk tujuh jenis dosa besar. Oleh itu, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut syariat Islam iaitu;
Pertama : Dari segi fizikalnya, boleh dikenakan lapan puluh sebatan.
Kedua : Dari segi moral dan sosialnya, akan hilang kelayakan menjadi saksi selama-lamanya dalam semua perkara termasuk saksi perkahwinan.
Ketiga : Dari segi keagamaannya akan tergolong sebagai orang yang fasiq.
Firman Allah S.W.T dalam surah An-Nur ayat 4;
"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh sebatan; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang yang fasiq".
Disamping itu, tukang fitnah atau mereka yang sengaja mengintai-intai aib orang, hendaklah mengambil pengajaran sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
"Wahai orang-orang yang beriman dengan lisan, akan tetapi belum menyerap ke dalam hati, janganlah kalian menyakiti orang lain. Jangan mengintai-intai aurat (cacat cela mereka), sesungguhnya barangsiapa yang cacat celanya diintai oleh Allah, nescaya Allah akan bukakan pekungnya walaupun dalam kenderannya sendiri, dalam riwayat lain disebutkan dalam rumahnya sendiri".
(Riwayat Abu Daud)
Fahamilah dengan sebenarnya maksud ayat yang dibacakan pada muqaddimah khutbah tadi daripada surah An-Nur ayat 12 yang bermaksud;
"Mengapa semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman lelaki dan perempuan, tidak bersangka baik sesama sendiri dan berkata; "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".
Bagi tujuan mendidik dan mengawal umat Islam daripada melakukan jenayah qazaf, yang mempunyai kaitan langsung dengan nilai, maruah dan keharmonian masyarakat, maka hendaklah diperjelas peraturan, larangan dan kesan jenayah qazaf, serta hukuman yang boleh dikenakan menurut peraturan syarak. Martabatkanlah undang-undang Islam yang memberikan pengiktirafan dan hak kepada Mahkamah Syariah mengendalikan kes-kes jenayah syariah yang melibatkan orang Islam. Dengan ini kita boleh melaksanakan sistem perundangan yang adil, diredhai dan patuh kepada hukum syarak.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah dengan membersihkan diri kita dari sifat-sifat keji yang dilarang oleh Allah S.W.T. Tingkatkanlah kefahaman kita mengenai Islam dengan menghadirkan diri dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh masjid dan surau.
Oleh itu, semua pihak, sama ada kerajaan, institusi perundangan dan masyarakat hendaklah bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk melaksanakan syariat Islam sepenuhnya kerana ruang dan peluang telah tersedia. Insya Allah kita akan mendapat pemeliharaan serta pertolongan daripada Allah S.W.T.
"Mengapa mereka tidak membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu; Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi Allah, adalah orang yang berdusta".
(An-Nur : 13)
KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
kredit: JAIS
Salam Ukhuwah..~
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan