Bacaan Popular

Khamis, 9 Jun 2011

5 Strategi Menjadikan Rumah Sebagai Madrasah Untuk Anak-anak


Jauh dalam fikiran saya selalu memikirkan tentang masa depan pendidikan anak-anak kami. Sekolah jenis apa yang harus saya pilih untuk dia. Bidang apakah yang sesuai untuk dia. Dan selepas berfikir sedalam-dalamnya, saya telah mendapat satu prinsip bahawa, walau ke sekolah mana pun saya hantar anak-anak saya, rumah saya tetap akan menjadi madrasah untuk mereka.

Hari ini, ramai ibubapa telah mengasingkan fungsi sekolah dan rumah. Di mana, sekolah adalah tempat belajar, dan rumah adalah tempat anak-anak bebas melakukan apa sahaja. Mereka boleh menonton tv pada bila-bila masa, boleh menonton apa sahaja rancangan yang mereka suka, boleh bangun tidur pada bila-bila masa, dan boleh bermain permainan komputer sepanjang hari.

Hakikatnya, rumah adalah madrasah sebenar untuk anak-anak. Hampir semua sifat, akhlak dan jati diri anak-anak terbentuk daripada rumah. Sekiranya di rumah hidup suasana agama, maka insyaAllah, anak-anak yang lahir dari rumah itu juga akan menjadi orang yang beriman, berilmu dan beramal. Tetapi, seandainya rumah menjadi pusat hiburan, maka anak-anak yang lahir daripada rumah itu mungkin akan menjadi sesuatu yang tidak ingin saya sebutkan di sini. Nauzubillahiminzaalik…


Kalau begitu, apa pula fungsi sekolah dan guru?

Sekolah dan guru hanyalah sebagai pembantu ibubapa sahaja. Kita hantar anak-anak kita ke sekolah kerana kita mahu mereka menuntut ilmu “direct” dengan orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu. Namun, sekolah dan guru tidak mampu untuk mendidik akhlak dan sahsiah setiap orang pelajar secara khusus.

Tidak adil jika ibubapa menyalahkan guru kerana tidak pandai mendidik anak-anak mereka. Seorang guru perlu menjaga pelajar yang berjumlah 30 hingga 40 orang. Daripada jumlah ini pun, kita sudah boleh agak, bagaimana susahnya seorang guru dapat memberikan perhatian untuk setiap orang pelajarnya. Tetapi bagi setiap pasangan ibubapa, insyaAllah, boleh dan mampu untuk mengawal dan mendidik anak-anak mereka yang hanya berjumlah 3 hingga 4 orang sahaja.

Melepaskan tanggungjawab mengajar dan mendidik 100% kepada pihak sekolah adalah satu tindakan yang kurang bijak. Dan maaf jika ia dikatakan sebagai tindakan yang kurang bertanggung jawab. Selagi kita masih menyalahkan pihak sekolah kerana kelemahan dan kegagalan anak kita, maka selagi itulah anak-anak kita tidak akan berubah.


Jadi, siapakah yang sepatutnya mendidik anak-anak?

Ya, jawapannya adalah KITA.. Anak-anak adalah amanah yang Allah swt berikan kepada kita. Mereka adalah anak KITA Bukan anak cikgu atau anak sekolah. Amanah inilah yang akan ditanya apabila kita sampai di akhirat nanti. Apabila berada di hadapan Allah swt, tiada siapa lagi yang boleh kita salahkan melainkan diri kita sendiri.


Persoalannya, bagaimana caranya untuk menjadikan rumah kita sebagai madrasah?

Saya boleh katakan, ini adalah strategi kita. Kita hanya berusaha dan merancang, Allah swt sahaja yang dapat memberikan hasilnya.


Strategi #1: Setiap rumah perlu ada jadual waktu.

Jadual yang baik, adalah jadual yang seimbang dan memenuhi segala keperluan anak-anak. Ada masa untuk belajar, ada masa untuk bermain, ada masa untuk membaca, ada masa untuk khidmat diri dan ibubapa, ada masa menonton (rancangan yang telah ditapis oleh ibubapa), ada masa ibadah, ada masa untuk majlis taklim, ada masa untuk zikir dan ada masa untuk al-Quran.

Jadual ini perlu di-mesyuaratkan bersama-sama dengan pasangan, supaya ibubapa mempunyai kesatuan hati dan kesatuan fikir dalam mendidik anak-anak. InsyaAllah, barulah matlamat untuk melahirkan anak soleh akan mudah untuk dicapai.


Strategi #2: Dapatkan bahan bantu pembelajaran

Sekiranya anda merasakan yang anda tidak mampu untuk melakukannya seorang diri, dapatkan bahan bantu pembelajaran. Cari buku-buku cerita, games pendidikan, CD / DVD, board games yang dapat dijadikan aktiviti yang bermanafaat untuk anak-anak.

Ensiklopedia yang terbaik untuk anak-anak, sudah tentu ialah al-Quran. Lakukanlah apa sahaja cara untuk menambahkan kecintaan anak kepada Al Quran. Ibubapa yang mengajarkan anaknya al-Quran, di akhirat kelak, dia akan dipakaikan dengan mahkota yang cahayanya berganda-ganda lebih terang daripada cahaya matahari. Terus terang saya katakan, membaca dan menghafaz Al Quran adalah aktiviti yang menyeronokkan!

Teruskan menuntut ilmu untuk menjadi ibubapa yang cemerlang. Banyakkan membaca. Kini, segala ilmu keibubapaan berada di hujung jari sahaja. InsyaAllah, rajin-rajinkan diri untuk mendapatkan ilmu ini ye… Anak-anak adalah saham akhirat kita. Tidak rugi jika kita bersusah payah untuk mendidik mereka


Strategi #3: Jadikan suasana pembelajaran sentiasa menyeronokkan.

Realitinya, belajar adalah sesuatu yang menyeronokkan. Ya, benar..memang menyeronokkan. Belajar itu lebih seronok apabila tiada peperiksaan..Betul kan? hehe..

Cuba jadikan sesi pembelajaran di rumah 100% tidak sama seperti cara di sekolah. Belajar sambil bermain, belajar semasa memasak, belajar semasa menonton CD, belajar semasa membaca bersama ibubapa. Anak-anak lebih cepat dan mudah belajar apabila mereka gembira. Apabila anda nampak, anak anda mula menunjukkan ke-jemu-an, cepat-cepatlah anda menukarkannya kepada aktiviti yang lain sebagai ‘refreshment’.


Strategi #4: Mantapkan iman anak-anak

Ini adalah strategi yang paling mantap di antara semua strategi. Mantapkan IMAN anak-anak. Yakinlah bahawa, apabila anak-anak kita dimantapkan dengan iman daripada rumahnya, walau ke benua mana pun dia dihantar untuk belajar, dia tetap akan mentaati perintah Allah dan dia pasti akan berjaya.

Seperti yang selalu saya sebutkan dalam post-post sebelum ini, banyakkan bercerita tentang kebesaran Allah swt pada anak. Kemudian, galakkan anak-anak juga untuk bercerita tentang kebesaran Allah swt kepada kita. Anak-anak yang ada iman di dalam hatinya, bukan sahaja menjadi anak yang soleh. Malah dia akan cemerlang di dunia, dan dia juga akan cemerlang di akhirat sana.

Bayangkan, rumah yang penuh dengan suasana mengingati dan menyebut nama Allah swt… Subhanallah!! Nama-nama ahli rumah itu akan selalu disebut-sebut di hadapan Allah dan di dalam majlis para malaikat. Tentu seronok bila nama kita disebutkan berulang-ulang kali di hadapan Allah swt kan? Sudah tentu rahmat dan perlindungan Allah swt sentiasa memayungi rumah kita… InsyaAllah..Aaamin


Strategi #5: Mantapkan amal anak-anak

Daripada rumah kita lah perlunya bermula pendidikan amal. Cara amal yang dikehendaki oleh Allah swt, tidak lain tidak bukan adalah seperti cara Rasulullah saw. Sebagaimana mafhum firman Allah:

“Katakanlah (wahai muhammad), sekiranya kamu mencintai Allah maka ikutlah aku (Nabi Muhammad saw). Maka kamu akan dicintai oleh Allah dan Dia akan mengampuni dosa-dosa mu.”

Didiklah anak-anak kita, makan cara Rasulullah saw, tidur cara Rasulullah saw, masuk ke tandas cara Rasulullah saw, bersafar cara Rasulullah saw, berpakaian cara Rasulullah saw, beribadat cara Rasulullah saw dan berdakwah cara Rasulullah saw.

Taghrib atau motivasikan anak-anak dengan menceritakan kelebihan-kelebihan amal. Ceritakan apa kelebihan solat berjemaah, apa kelebihan membaca quran, apa kelebihan mengikuti sunnah Rasulullah saw dan lain-lain. InsyaAllah, anak-anak akan bertambah yakin dengan janji Allah swt dan seronok menghidupkan suasana agama dalam dirinya.

Apabila setiap amal anak menuruti cara Rasulullah saw, maka cinta kepada Baginda saw akan bertambah. Dan sedikit demi sedikit akhlak baginda saw akan menyerap ke dalam peribadi anak-anak kita. Apabila anak mempunyai keperibadian mirip-mirip seperti Rasulullah saw, maka semakin mudahlah kerja ibubapa untuk mendidik mereka.

Akhir kata, rumahku syurgaku adalah nikmat yang Allah swt ‘awal’kan kepada manusia. Apabila rumah menjadi madrasah, maka insyaAllah, Allah swt akan jadikan rumah kita sebagai bayangan syurga.

Kerana segala usaha yang kita curahkan untuk mendidik anak-anak bukanlah dilakukan untuk mendapat pujian manusia. Bahkan ia adalah semata-mata untuk mengharapkan keredhaan Allah swt. Mudah-mudahan kita terus istiqamah dalam mendidik anak-anak mengikut kehendak Allah swt.

kredit: Ummu Solihin


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan