Bacaan Popular

Khamis, 28 Februari 2013

Kesah Ashab Al Kahfi



SEGALA puji bagi Allah s.w.t., atas segala kurniaan dan nikmatnya yang tidak terhingga. Firman Allah s.w.t.: 

Adakah engkau menyangka (hai Muhammad), bahawa kisah 'Ashabul Kahfi' dan 'Al-Raqim' itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? 
(al-Kahfi: 9)

Ibnu Kathir berkata: Yang demikian itu merupakan pemberitahuan daripada Allah s.w.t. mengenai kisah Ashab al-Kahfi secara global dan ringkas.

Ibnu Juraij menceritakan daripada Mujahid mengatakan: 

"Di antara tanda-tanda Kami (Allah s.w.t.) terdapat apa yang lebih aneh daripada hal tersebut."

Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam berpendapat: "Al-Raqim bererti Kitab."

Al-Maraghi berkata: Janganlah kamu menyangka kisah penghuni gua dan pemilik batu bertulis seperti yang disebut dalam kitab lama, ketika mereka hidup dalam waktu yang lama, adalah suatu keajaiban jika hendak dibandingkan dengan perhiasan yang Kami jadikan di muka bumi.

Ini disebabkan kisah tersebut bukan sahaja mengagumkan antara tanda-tanda kekuasaan Kami yang lain, malah kejadian perhiasan bumi dengan segala keajaibannya adalah indah daripada kisah penghuni gua itu.

Oleh itu, para ketua agama lain pun termangu-mangu kehairanan melihat kisah serupa itu, justeru Aku mengajakmu dan umatmu untuk memandang yang lebih besar lagi daripada peristiwa itu iaitu memandang alam semesta dan segala keajaiban yang berupa penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, peredaran matahari, bulan dan bintang.

Begitu juga dengan ayat-ayat lain seumpamanya yang menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t.  menurut kehendak-Nya tanpa ada yang menghalangnya.

Namun, kisah yang berisi keanehan itu tidak cukup untuk menarik perhatian mereka melakukan kebaikan dan kebahagiaan seperti yang diingini oleh manusia untuk dijadikan sebagai cita-citanya yang luhur supaya memperoleh kebaikan dunia atau akhirat.

Oleh yang demikian, selidikilah apa yang ditulis dalam lembaran alam semesta ini, tetapi bukan hanya menyelidik apa yang tertulis di lembaran gua tersebut.

Menurut pendapat al-Zujaj, Allah s.w.t. menerangkan kisah Ashab al-Kahfi bukanlah sesuatu yang menghairankan jika dibandingkan dengan ayat-ayat lain. Ini disebabkan penciptaan langit dan bumi serta segala yang ada lebih mengagumkan lagi daripada kisah mereka.

Hamka berkata: Maksud ayat ini adalah apakah engkau menyangka atau manusia menyangka bahawa manusia yang dicipta Allah tertidur beratus tahun di dalam gua yang sunyi terpencil itu sudah sebahagian daripada kuasa Allah s.w.t.? Padahal banyak lagi takdir Allah s.w.t. di dalam alam ini yang lebih menakjubkan dan lebih ganjil.

Sungguhpun kisah penghuni gua ini belumlah suatu yang ganjil di sisi Allah s.w.t., Yang Maha Kuasa mengatur alam menurut kehendak-Nya, demi untuk memuaskan kehendak orang yang bertanya, pertanyaan tentang penghuni gua yang diterangkan Allah s.w.t. sebagai wahyu.

Firman Allah s.w.t.: 

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat daripada sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. 
(al-Kahfi: 10)

Al-Maraghi berkata: Para pemuda itu berlindung di dalam gua untuk melindungi agama mereka supaya tidak mendapat bencana daripada penyembah patung dan berhala dengan berdoa: Tuhan kami, dengan keredaan-Mu yang kami harapkan dan ketaatan kepada-Mu, berikanlah kepada kami petunjuk dalam setiap urusan untuk menuju ke jalan kebenaran bagi melakukan apa yang kami sukai kemudian anugerahkan kepada kami keampunan dan keamanan daripada musuh.

Hamka berkata: Allah s.w.t. mewahyukan bahawa ada beberapa pemuda yang sedang ditimpa kesusahan, lalu meninggalkan kampung halaman mereka dan bersembunyi ke dalam sebuah gua. Dan ketika dalam perjalanan itu, mereka tidak pernah lupa memohon rahmat perlindungan daripada Allah s.w.t., disertai pula dengan tuntutan dan pimpinan agar mereka tidak tersesat dari jalan yang benar.

Firman Allah s.w.t.:
 

Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. 
(al-Kahfi: 11)

Al-Maraghi berkata: Kami tutup telinga mereka dengan penghalang yang mereka tidak mendengar dan Kami juga menjadikan mereka tidur lelap tidak bangun-bangun lagi walaupun di dalam gua itu bising dengan pelbagai suara sehingga bertahun-tahun lamanya yang tidak dapat dihitung.

Hamka berkata: Ditakdirkan oleh Allah s.w.t. bahawa mereka tertidur, sehingga tidak suatu pun yang didengar mereka dalam tempoh bertahun-tahun. Dan tiada pula orang lain yang tahu kerana gua tersebut terletak jauh dari tempat kediaman manusia.

kredit: DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI



Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan