Gambar sekedar hiasan sahaja.
Sebenarnya cemburu tidak sekadar berlaku di antara isteri-isteri yang hidup di alam poligami. Ada isteri yang cemburu apabila suaminya berbuat baik kepada ibu atau adik perempuannya. Ada suami yang cemburu apabila isterinya melayan tetamu minum petang terlebih baik daripada melayan dirinya. Ada abang yang cemburu apabila adiknya menerima hadiah daripada ibubapanya. Justeru cemburu adalah sesuatu yang lazim berlaku. Hanya ia lebih sensasi jika berlaku di kalangan mereka yang hidup di alam poligami.
Maksud Cemburu.
Secara mudah, cemburu bererti reaksi seseorang apabila sesuatu yang memiliki kepentingan bagi dirinya disaingi atau dicabar. Reaksi tersebut boleh jadi perasaan yang benci dan marah, boleh juga diterjemahkan kepada perbuatan fizikal seperti memecahkan atau membaling barang.
Cemburu ada yang terpuji, iaitu benci dan marah kepada orang yang menyembah tuhan selain Allah, mengamalkan cara hidup selain dari apa yang Islam gariskan dan menukar-nukar ajaran Islam dengan tafsiran tersendiri. Perasaan cemburu seperti ini lahir kerana Allah dan Islam berada dalam posisi yang penting dalam diri seseorang. Apabila ia disaingi atau dicabar, maka lahirlah rasa cemburu.
Reaksi cemburu ini seterusnya diterjemahkan kepada perbuatan mengajak orang kepada menyembah Allah (dakwah), mencegah kemungkaran yang sedang berlaku (nahi mungkar) dan membela ajaran Islam yang tulen agar masyarakat tidak terpengaruh dengan ajaran sesat.
Termasuk sifat cemburu yang terpuji ialah apabila seorang suami memantau pakaian dan pergaulan isterinya agar sentiasa menepati tunjuk ajar Islam. Suami yang membiarkan isterinya tanpa menutup aurat, bergaul bebas dengan lelaki asing, tidak mendirikan solat dan sebagainya dicela oleh Rasulullah s.a.w. sebagai lelaki dayus. Baginda s.a.w. menegaskan:
“Tiga (jenis orang) yang Allah Tabaraka waTa’ala haramkan syurga ke atasnya: orang yang ketagih arak, orang yang menderhaka kepada ibubapanya dan orang yang dayus – iaitu orang yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya.”
[Musnad Ahmad, no: 6113 dan dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth]
Berdasarkan hadis ini, jika seorang isteri itu memiliki suami yang prihatin memantau aktivitinya, maka ia adalah sesuatu yang terpuji. Janganlah pula merungut kerana suami demikian melaksanakan tanggungjawabnya, berbeza dengan suami yang dayus.
Cemburu Yang Tercela.
Di sebalik cemburu yang terpuji, ada cemburu yang tercela. Ia merujuk kepada reaksi benci dan marah yang timbul atas sebab-sebab duniawi. Satu contoh cemburu yang tercela ialah seorang isteri yang cemburu apabila suaminya membelikan hadiah tas tangan kepada ibunya. Berbuat baik kepada ibubapa dituntut oleh Islam dan reaksi cemburu yang lahir dalam hati isteri adalah kerana sebab duniawi, iaitu dia merasakan dirinya dinombor duakan, di bawah ibu suaminya semata-mata kerana pemberian hadiah tersebut.
Cemburu yang tercela tidak sahaja dikaitkan dengan para wanita atau isteri. Ia juga boleh dimiliki oleh para lelaki dan suami. Saya teringat seorang rakan lelaki yang sangat pencemburu sehingga dia melarang isterinya menghadiri kuliah agama atau bertanya soalan agama kepada para ustaz. Akhirnya minat isterinya ke arah agama terhalang oleh suaminya yang pencemburu. Ini tentu saja satu sifat cemburu yang amat tercela.
Mengubati Penyakit Cemburu.
Hati yang dijangkiti penyakit cemburu yang tercela boleh diubati dengan beberapa tips berikut. Pertama, hendaklah disedari bahawa apa yang diperolehi oleh seseorang, maka Allah jua yang memberikannya. Jika suami memberikan tas tangan kepada ibunya, maka Allah yang sebenarnya memberi sementara suami hanya berperanan sebagai perantara yang menyampaikannya. Maka cemburu sehingga benci dan marah bererti membenci dan memarahi Allah.
Oleh kerana itulah Allah mengingatkan kita:
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Karena) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
[al-Nisa’ 4:32]
Kedua, kita sesama umat Islam, sesama mukminin dan mukminat hendaklah tumpang gembira apabila saudara kita memperolehi sesuatu. Kita bergembira untuknya seolah-olah kita sendiri yang mendapat kelebihan tersebut. “I am happy for you” bukan sekadar slogan masyarakat Barat tetapi juga sesama umat Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tidaklah (sempurna) iman seseorang kalian sehinggalah dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya.”
[Shahih al-Bukhari, no: 13]
Justeru ciri seseorang yang beriman ialah dia tidak cemburu atas kelebihan yang diperolehi oleh saudara seIslamnya, tetapi dia turut bergembira. Berdasarkan hadis ini mungkin ada yang berkata: “Imanku belum cukup sempurna untuk aku mencintai bagi saudaraku apa yang aku cintai untuk diriku.” Maka alasan ini diperbetulkan dengan nasihat: “Cintailah untuk saudaramu apa yang kamu cintai bagi dirimu, nescaya kamu akan merasai kemanisan dan pertambahan iman di dalam dirimu.”
Ketiga, syaitan suka menghasut manusia ke arah sifat yang tercela, termasuklah sifat cemburu yang tercela. Dengan hasutan tersebut, syaitan dapat menjadikan kita lupa kepada peranan Allah yang sebenarnya memberi serta bermusuhan sesama umat Islam. Oleh itu apabila sahaja terlintas bisikan cemburu yang tercela di dalam hati, segeralah menolaknya dengan membaca A’uzubillahi minash syaitan nirrajim.
Hadis berikut menjadi rujukan: A’isyah menerangkan pada satu malam Baginda s.a.w. keluar dari rumahnya dan ini menyebabkan dia merasa cemburu. Kemudian Rasulullah s.a.w. kembali ke rumah dan mendapati dia sedang dalam keadaan yang cemburu. Lalu Baginda s.a.w. bertanya:
“Apa jadi kepada kamu wahai A’isyah? Adakah kamu cemburu?”
“Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang sepertimu?”
Kemudian Rasulullah s.a.w. melanjutkan:
“Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?”
“Wahai Rasulullah! Apakah bersama aku ada syaitan?”
“Ya.”
“Dan (apakah syaitan itu ada) pada setiap manusia?”
“Ya.”
(Apakah syaitan juga) bersama kamu wahai Rasulullah?”
“Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku darinya sehingga aku selamat dari gangguannya.”
[Shahih Muslim, no: 5035]
kredit: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan