Bacaan Popular

Ahad, 10 Februari 2013

Hukum Kahwin



Hukum orang Islam lelaki yang tidak berkahwin, hendaklah kita melihat kepada keadaannya. Para ulama telah menjelaskan bahawa hukum berkahwin itu terbahagi kepada tiga keadaan.

Keadaan pertama, dia tidak mempunyai syahwat terhadap wanita, maka hukumnya mubah iaitu dibenarkan.

Keadaan kedua, dia mempunyai syahwat terhadap wanita tetapi masih dapat mengawal dirinya daripada berzina jika tidak berkahwin, maka hukum berkahwin baginya adalah sunat.

Keadaan ketiga, dia mempunyai syahwat terhadap wanita dan sukar mengawalnya, bahkan boleh menyebabkan dia berzina atau beronani jika tidak berkahwin, maka hukum berkahwin baginya adalah wajib.

Begitulah ringkasan huraian para ulama seperti al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf, berkenaan hukum berkahwin.

Seterusnya, bagi keadaan kedua dan ketiga, sekiranya dia tidak mempunyai kemampuan dari sudut harta, maka hendaklah dia berpuasa untuk menahan gelojak nafsunya.

Rasulullah SAW telah pun bersabda, 


"“Wahai sekelian remaja, siapa yang mempunyai kemampuan hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa akan mengurangi nafsunya”.
(Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari no. 5065 dan Muslim no. 1400).

Adapun kalau kita tidak berkahwin, Nabi Muhammad SAW tidak akan mengaku kita umatnya, setakat pembacaan saya, hadis-hadis yang membawa maksud ini adalah daif dan tidak sahih.

Perkara ini telah pun dinyatakan oleh al-Imam al-Sakhawi dalam kitabnya. al-Maqasid al-Hasanah.

Berkenaan dengan para ulama yang tidak berkahwin, memang benar terdapat sejumlah para ulama yang tidak berkahwin.

Akan tetapi ini tidak boleh dijadikan hujah untuk umat Islam dewasa ini menjauhi amalan mulia ini, iaitu perkahwinan.

Keadaan-keadaan

Para ulama yang tidak berkahwin itu, mereka mempunyai keadaan-keadaan tertentu yang menyebabkan mereka tidak berkahwin seperti kesungguhan dalam berdakwah dan mengajar, peperangan dan sebagainya.

Justeru hendaklah kita mendahulukan hadis Nabi SAW yang menggalakkan perkahwinan dan janganlah kita jadikan perbuatan sebahagian para ulama itu sebagai alasan untuk meninggalkan sunah Rasulullah SAW yang mulia ini.

Satu perkara yang perlu ditekankan di sini ialah hukum orang yang tidak berkahwin kerana dia ingin fokus melakukan ibadah. Perbuatan ini adalah satu perbuatan yang tidak wajar.

Perbuatan ini telah ditegur oleh Rasulullah SAW. “Di zaman Nabi SAW, apabila datangnya tiga orang lelaki bertanyakan tentang amalan Nabi SAW, setelah diberitahu oleh isteri-isteri Baginda, mereka merasakan amalan Rasulullah SAW seperti sedikit. Lalu salah seorang daripada mereka berkata, “Saya akan solat malam selamanya.” Seorang lagi berkata, “Saya akan puasa sepanjang tahun.” Dan seorang lagi berkata, “Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin buat selamanya.” Setelah Rasulullah SAW pulang dan diberitahu tentang perkara ini, Baginda telah bersabda, “

"Anda semua berkata begini dan begitu. Sesungguhnya akulah yang paling takutkan Allah dan bertaqwa terhadap-Nya. Akan tetapi aku puasa dan berbuka, solat dan tidur, aku juga mengahwini wanita. Maka siapa yang benci sunahku, dia bukan golonganku”. 
(Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari no. 5063 dan Muslim no. 1401).

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa menjauhi amalan perkahwinan dengan alasan memberi fokus kepada amalan ibadah adalah suatu perbuatan yang menyalahi sunah Rasulullah SAW.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan