Bacaan Popular

Ahad, 22 Disember 2013

Taubat Sampai Sanggup Tinggalkan Kemewahan



ABU Abdi Rabbi termasuk antara sekian ramai usahawan Damsyik yang berjaya.

Suatu ketika dia ke Azerbaijan untuk melakukan misi perdagangan. Sewaktu melintasi sebuah padang rumput di tepi sungai, dia pun istirahat sejenak.

Diriwayatkan daripada Ibnu Jabir, bahawa Abu Abdi Rabbi berkata: “Saat aku sedang berada di sana, tiba-tiba aku dengar ramai suara memuji Allah yang datang dari seberang padang rumput itu.

“Aku pun berusaha mencari sumber suara itu, aku temui seorang lelaki berselimutkan tikar di sebuah lubang (gua).” Lalu, aku tanyakan kepadanya: "Apa yang sedang engkau lakukan di sini?

"Adalah kerana nikmat yang dengannya aku harus memuji kepada Allah,"jawab lelaki itu.

"Bagaimana mungkin itu terjadi, sedang diri engkau sendiri berselubung dalam tikar," tanyaku kepadanya.

Jawab lelaki itu: "Mengapa aku tidak memuji Allah, bukankah Dia mencipta diriku, membentuk diriku dengan begitu indahnya dan melahirkan serta menjadikanku termasuk dalam barisan orang Islam?

"Dia sudah memberiku dengan keselamatan pada semua anggota tubuhku dan menutupi diriku daripada hal yang sangat aku benci jika hal itu disebut dan disebarluaskan.

"Siapa yang lebih besar nikmatnya daripada orang yang menjalankan seperti yang aku lakukan ini?"

"Semoga engkau sentiasa mendapatkan rahmat Allah, jika engkau sedia ikut aku ke rumah, kita tidak akan berdiam diri lagi di tepi sungai seperti ini," kataku.

"Untuk apa?" tanyanya. Jawabku: “Agar engkau dapat makan dan aku pun dapat memberikan sebahagian harta kekayaanku hingga engkau tidak lagi memakai tikar seperti ini." Lelaki itu menjawab: "Maaf aku tidak memerlukan semua itu."

Al-Walid, salah seorang perawi kisah ini mengatakan: "Menurutku lelaki itu mengatakan: ‘Aku cukup memakan rumput seperti ini daripada memenuhi apa yang dikatakan oleh Abu Abdi Rabbi.’

Abu Abdi Rabbi berkata lagi: "Aku lalu pergi meninggalkannya, sedangkan di hatiku ada semacam kebongkakan dan itu sangat aku benci. Sesungguhnya di Damsyik ini tidak ada seorang pun kekayaannya melebihi aku, padahal aku masih terus berusaha menambah kekayaanku itu.”

Selanjutnya aku berdoa: ‘Ya Allah, aku bertaubat kepada Engkau daripada kejahatan yang ku lakukan selama ini.’

"Semua temanku tidak tahu menahu apa yang sedang aku kumpulkan. "Keesokan pagi, mereka pun kembali melakukan tugas harian mereka sebagai pedagang.

“Mereka menyiapkan tunggangan bagiku, lalu aku pun berangkat ke Damsyik dan aku katakan: ‘Aku pastilah tidak akan bersungguh-sungguh bertaubat apabila aku tetap menjalankan pekerjaanku sebagai pedagang seperti sekarang ini.’

“Kemudian ada sekumpulan kaum bertanya mengenai diriku dan aku pun menceritakan kepada mereka. Mereka akhirnya membidasku atas perniagaanku ini, namun sama sekali tidak ku hiraukan."

Ibnu Jabir berkata: "Sekembali Abu Abdi Rabbi dari Damsyik, dia sedekahkan semua hartanya untuk membela agama Allah.

“Ada sebahagian temanku mengisahkan mengenai Abu Abdi Rabbi. Aku pernah meminta kepada seorang pedagang agar menurunkan harga barang dagangannya itu.

“Aku cuba menawarnya sampai enam dirham, tetapi dia bertahan dengan harga yang ditetapkannya, iaitu tujuh dirham.

“Selepas aku menjadi seorang usahawan berjaya, dia pernah bertanya kepadaku: ‘Engkau berasal dari mana?’ "Dari Damsyik," jawabku.

"Mengapa tidak mirip dengan orang tua yang diutus kepadaku kelmarin," katanya.

Seseorang berkata kepadanya: "Abu Abdi Rabbi kelmarin membeli 700 potong pakaian daripadaku, masing-masing seharga tujuh dirham.

“Tetapi, aku tidak pernah meminta kepadanya agar dia menurunkan harganya satu dirham pun, bahkan dia memintaku agar segera mengirimkan barang berkenaan kepadanya.

“Dan aku pun mengirimkannya melalui pembantuku.

“Selepas barang itu diterima, Abu Abdi Rabbi membahagi-bahagikan kepada tentera yang fakir, sehingga dia pulang tanpa membawa sehelai pakaian pun."

Dia juga menjual seluruh kebunnya untuk disedekahkan dan rumah serta isinya yang melimpah ruah turut dibahagi-bahagikan pula.

Menjelang akhir hayatnya, dia tidak meninggalkan harta benda sedikit pun, kecuali sekadar untuk membeli kain kafannya.

Begitulah hebatnya orang kaya yang pada mula bersifat sombong dan bangga dengan kekayaannya.

Selepas menyedari sifat buruk itu dan dibenci Allah, dia bertaubat dan menjadi seorang hamba yang taat kepada perintah Allah. Abu Abdi Rabbi menyedari bahawa harta dan kekayaan kurniaan Allah itu bersifat sementara dan perlu dikongsi bersama orang yang memerlukan.

Kekayaan dimiliki digunakan ke jalan Allah.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan