Bacaan Popular

Jumaat, 9 September 2011

Rapuh Perpaduan Runtuh Keamanan


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan tajuk khutbah mengenai “Rapuh Perpaduan Runtuh Keamanan”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana masyarakat dan rakyat jelata dapat hidup dengan sejahtera dan harmoni di negara ini.

Salah satu aspek terpenting yang menyumbang keadaan ini adalah wujudnya perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Perpaduan merupakan satu kunci kejayaan. Dengan perpaduan kita dapat bersatu tenaga dan fikiran bagi melaksanakan sesuatu untuk kebajikan bersama.

Tenaga seseorang individu dengan sendirinya tidak mampu mengatasi berbagai tugas hidup.

Sebaliknya tenaga ramai yang disatupadukan boleh menghasilkan kejayaan yang luar biasa.

Sebab itu apabila terdapat umat yang bersatu padu, maka kejayaan yang cemerlang akan dicapai. Sebaliknya apabila perpecahan berlaku di kalangan umat, maka buruklah akibatnya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 14, maksudnya: “Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu-padu, melainkan dikampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok.

"Permusuhan di antara mereka amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu-padu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami.”

Perpecahan dan permusuhan di kalangan rakyat akan membawa kesengsaraan hidup, kemusnahan harta benda, kemunduran ekonomi dan merosakkan sistem pengurusan negara, keluarga dan masyarakat.

Para jemaah dan umat Islam sekalian dapat menyaksikan sendiri di televisyen, akhbar dan majalah tentang kesan rapuhnya perpaduan dan perpecahan yang berlaku.

Malah apa yang paling malang sekali sekiranya perpecahan dan perbalahan ini terjadi di kalangan sesama umat Islam sebagaimana yang berlaku di beberapa buah negara Islam di Asia barat.

Negara yang kaya-raya dan aman suatu ketika dulu tapi akibat daripada perpecahan dan perbalahan dikalangan rakyat menyebabkan kuasa luar mengambil kesempatan dan akhirnya negara itu runtuh serta ekonominya hancur.

Mimbar ingin menarik perhatian jemaah dan umat Islam sekalian, sedarlah kita bahawa untuk membangunkan semula hubungan antara kaum yang berpecah belah dan membangunkan ekonomi atau negara mungkin akan memakan masa berpuluh-puluh tahun pula lamanya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, kita semua maklum bahawa, di antara agenda yang diberi keutamaan dalam misi Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah dengan mewujudkan perpaduan di kalangan penganut-penganut Islam. Umat Islam diikat dengan erat melalui konsep tauhid, kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu.

Namun dalam pada itu, Baginda dan para sahabat juga sentiasa diterjah dengan berbagai ancaman musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan ikatan persaudaraan Islam.

Pihak musuh menggunakan pelbagai pendekatan dan helah, diantaranya menggunakan agama sebagai alat perpecahan seperti menghasut supaya dibina masjid bagi menyaingi masjid Kuba’ yang sangat berjaya diimarahkan.

Musuh Islam juga menggunakan taktik menunjuk perasaan sebagaimana yang berlaku dalam peperangaan Uhud.

Mereka membantah melalui penarikan diri kira-kira 300 orang tentera daripada menyertai angkatan bersenjata Islam.

Namun Rasulullah SAW dan para Sahabat dapat menangani dan mengekalkan semangat perpaduan kerana mereka mengetahui siapakah sebenarnya yang menjadi dalang kepada kekacauan ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hari ini sekali lagi pihak-pihak tertentu cuba meruntuhkan perpaduan yang terbina selama ini.

Mereka cuba dengan pelbagai helah dan cara. Persoalan besar timbul di sini, siapakah sebenarnya golongan yang menjadi pengkhianat pada agama, bangsa dan negara ini?

Mimbar ingin menyatakan bahawa mereka ini sebenarnya pernah menimbulkan kemarahan umat Islam.

Mempertikaikan hak-hak orang Islam serta memperalatkan sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa.

Mereka menghasut dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci kepada pemerintah.

Berbagai pendekatan mereka lakukan termasuklah melalui undang-undang dan mahkamah. Tidak cukup dengan itu, mereka mempengaruhi rakyat melahirkan perasaan benci dengan melaungkan slogan tertentu dengan berbagai cara.

Inilah mereka yang sebenarnya, bertopengkan atas dasar menuntut keadilan dan ketulusan, menjadikan rakyat sebagai perisai tetapi hakikatnya mempunyai agenda tersendiri untuk menghuru-harakan negara, melemahkan pemerintah dan perpaduan rakyat yang akhirnya membawa tanggapan di mata dunia bahawa negara ini tidak lagi berada dalam keamanan.

Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan umat Islam sekalian bahawa sesiapa yang terlibat dan bersekongkol dengan golongan ini sebenarnya telah mengkhianati agama Allah SWT, terpesong daripada ajaran Rasulullah SAW, melakukan dosa yang besar dan menzalimi umat Islam serta keharmonian negara.

Justeru itu, sebagai umat Islam yang mempunyai jati diri, cintakan agama, bangsa dan negara, diseru agar tidak bersama dengan golongan ini, jangan terpengaruh dengan pujuk rayu dan tipu daya mereka.

Marilah sama-sama kita mempertahankan setiap inci tanah air kita ini dari dicerobohi oleh musuh-musuh Islam, marilah sama-sama kita berganding bahu, bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan dikalangan kita agar apa jua usaha pihak musuh untuk menggugat keharmonian dan keamanan negara dapat digagalkan.

Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar. Firman Allah dalam Surah Ali- Imran ayat 160, maksudnya: “Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri. ”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Perpaduan dan keharmonian hidup di negara ini dikagumi banyak pihak. Apa yang pasti dan menjadi satu hakikat perpaduan yang kita nikmati hari ini tidak datang bergolek.

Ia adalah hasil daripada kebijaksanaan pasukan kepimpinan negara dan kesetiaan rakyat kepada pemerintah.

Berdasarkan maqasid syariyah maka menjadi tanggungjawab pemerintah kepada rakyat untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Ternyata pemerintah berjaya memastikan kemaslahatan untuk rakyat dari mara bahaya dan kebinasaan. Pemerintah adalah pelindung Allah SWT di muka bumi ini, barangsiapa memuliakan pemerintah maka Allah SWT akan memuliakannya.

Mimbar ingin mengingatkan bahawa teraturnya urusan agama dan dunia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah dan kesetian rakyat, malah keadaan masyarakat akan menjadi kacau bilau dan saling berbalahan antara satu sama lain.

Justeru Islam telah menetapkan hukuman yang berat kepada sesiapa sahaja yang cuba memporak-perandakan pemerintah, kehidupan umat dan kesejahteraan negara. Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Akan wujud keadaan kacau bilau di kalangan umat, maka barang siapa yang ingin memecahbelahkan perpaduan umat ini, hendaklah ia dipancung dengan pedang tanpa mengira siapakah orangnya”. ( Hadith Riwayat Muslim)

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru seluruh umat Islam sekalian agar jangan sekali-kali kita terpedaya dengan godaan musuh Islam ini, jangan kita terlibat dengan agenda untuk merosakkan perpaduan ummah.

Marilah sama-sama kita menjunjung Titah Khas Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin agar rakyat tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan negara luar kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting yang perlu semua pihak pertahankan.

Marilah kita bersatu padu dengan mewujudkan keharmonian dikalangan kita. Melakukan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan bertimbang rasa dengan pihak lain.

Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat dan dari godaan syaitan yang menyesatkan.

Ingatlah bahawa perpecahan dan perbalahan yang berlaku menyebabkan maruah kita tergadai dan menjadi hina serta memberi peluang kepada musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan serta menghancurkan pembangunan negara dan rakyat. Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT agar dikekalkan kesinambungan nikmat perpaduan dikalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan agama,bangsa dan negara.

Maksudnya: “Dan jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”(Surah al-Hujuraat:9)

kredit: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan