Bacaan Popular

Rabu, 20 April 2011

Wahai Pejuang Agama, Mari Muhasabah Diri


Wahai para pejuang yang mengaku pejuang agama. Pendakwah dan ahli politik. Di antara kalian ada yang sudah berjuang berpuluh puluh tahun. Pernahkah saudara tanya diri sendiri ..........


Selama aku berjuang sudah berapa ramai orang yang aku Islamkan? Atau sudah berapa ramai orang Islam aku kafirkan?

Selama berjuang, berjayakah aku mendaulatkan Islam di peringkat negara atau negeri atau daerah atau kampung atau sekurang-kurangnya di peringkat jemaah, parti atau harakah aku?

Selama aku berjuang sudahkah aku berjaya menegakkan sistem ekonomi Islam? Di peringkat negara atau negeri atau daerah atau kampung atau sekurang-kurangnya di peringkat jemaah, parti atau harakah aku?

Selama aku berjuang sudahkah aku berjaya menegakkan sistem pendidikan Islam? Di peringkat negara atau negeri atau daerah atau kampung atau sekurang-kurangnya di peringkat jemaah,parti atau harakah aku?

Selama aku berjuang sudahkah aku berjaya menegakkan kebudayaan Islam? Di peringkat negara atau negeri atau daerah atau kampung atau sekurang-kurang nya di peringkat jemaah,parti atau harakah aku?

Selama aku berjuang sudahkah aku berjaya menegakkan sistem pentadbiran Islam ? Di peringkat negara atau negeri atau daerah atau kampung atau sekurang-kurang nya di peringkat jemaah, parti atau harakah aku?

Dalam dunia Islam menghadapi pencemaran makanan halal. Adakah aku sudah berjaya menegakkan kilang-kilang pemprosesan makanan halal untuk umat Islam di peringkat negara atau negeri atau daerah atau kampung atau sekurang-kurangnya di peringkat jemaah, parti atau harakah aku?

Selama aku berjuang sudahkah aku berjaya mencetus dan memupuk perpaduan dan kasih sayang di antara sesama umat Islam di peringkat negara atau negeri atau daerah atau kampung atau sekurang-kurangnya di peringkat jemaah, parti atau harakah aku? Dengan ini akan teguh dan kuatlah umat Islam hingga di segani musuh? Ataukah selama ini aku sebenarnya menjadi agen pencetus kebencian dan permusuhan umat?

Pejuang Islam adalah penyelamat umat manusia. Selama aku berjuang berapa kali aku pernah mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk seluruh umat Islam? Kepada umat yang sesat pernahkah aku doakan agar mereka kembali kepangkal jalan. Dan apabila mereka tidak kembali kepangkal jalan adakah aku rasa kesal dan merasakan satu kegagalan bagi diri aku sebagai pejuang di sisi Allah? Pernahkah aku mendoakan untuk pemimpin atau pemerintah yang zalim agar di beri hidayah dan taufiq agar jadi baik, dan kepada pemimpin yang baik agar jadi bertambah baik?

Wahai pejuang! Sekiranya saudara tidak dapat menjawab dengan jawapan yang memuaskan persoalan persoalan diatas maka tanyalah diri sendiri, apa yang saudara perjuangkan selama ini? Apakah yang saudara buat selama ini? Apakah yang saudara cakap selama ini? Apakah yang saudara dakwahkan selama ini? Ke manakah hala tuju saudara mengajak umat manusia? Kepada Tuhan kah? Kepada dirikah? Kepada partikah? Atau pejuangan saudara sebagai hobi sahajakah? Untuk seronok-seronok penghibur hatikah? Atau semangat semangat sajekah?

Saudara pejuang agama. Pendakwah dan ahli politik. Marilah kita nilai semula atau muhasabah perjuangan kita! Agar perjuangan kita ini adalah untuk keredhaan Allah. Bukan kerana fahaman politik sekular dan bukan tujuan nak mengaib dan menghentam orang.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan