Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Bacaan Popular
-
Sebagai seorang Muslim kita semua tahu bahawa solat itu merupakan kewajipan yang Allah s.w.t. suruh seperti mana yang terdapat di dal...
-
Hari itu, saya balik selepas didenda berdiri di luar kelas selama sejam selepas waktu sekolah oleh Ustaz Ismail kerana terlupa menyiapk...
-
Ini adalah beberapa PETUA (Perubatan Orang Tua-tua Dulu-kala) untuk kita ingati dan amalkan dalam kehidupan kita. Memang dulu-dulu jarak kli...
-
Zaman sudah berubah..isteri sekarang semakin berani berlaku curang!” Kadar gejala seks bebas kian meningkat dalam masyarakat hari ini. Lebih...
-
DOA INI AFDALNYA DIBACA 11 KALI KETIKA SUJUD SEBAIK SELESAI SALAM SEMBAHYANG FARDHU. KEMUDIAN MOHON DOA KEPADA ALLAH. INSYA'ALLAH. TAWAK...
-
Minggu lepas Tok Wan ke Telok Intan, distinasi tepatnya ialah Kampung Sungai Jejawi Telok Intan, Perak. Tok pergi dengan sepupu yang...
Rabu, 6 April 2011
Cemburu ??
SELAGI ada bulan dan bintang, dan selagi makhluk ciptaan Tuhan yang paling istimewa ciptaan-Nya yang bernama manusia wujud di dunia, selagi itulah perasaan cemburu tidak akan pupus.
Malah, sejarah juga telah membuktikan permulaannya. Pembunuhan manusia pertama di dunia berlaku gara-gara cemburu.Kecemburuan anak lelaki sulung Nabi Adam, Qabil meluap-luap terhadap adik lelakinya, Habil. Habil dibunuh hanya kerana berkahwin dengan Aqlima.
Tanpa mengira latar belakang atau status sosial, lazimnya, cemburu wujud apabila lahir perasaan `pemilikan' seseorang terhadap yang lain.
Lazimnya, cemburu sinonim sebagai ukuran darjah cinta atau kasih sayang terhadap pasangan masing-masing.
Sebetulnya, jika dilihat dari aspek yang luas, cemburu tidak hanya terikat pada hubungan antara suami isteri atau pasangan kekasih.
Malah, ia juga wujud di kalangan ahli keluarga, seperti adik-beradik atau anak-anak. Tidak kurang yang beranggapan, cemburu seolah-olah menjadi hak eksklusif kepada wanita. Hakikatnya tidak.
Baik lelaki, mahupun wanita, ia wujud dalam diri setiap daripada kita. Kegagalan mengendalikan tingkah laku ini, menyebabkan ia sering kali dikelaskan sebagai sesuatu yang negatif.
Ia juga sering kali dilabel sebagai sebahagian `watak hitam' yang menghiasi personaliti seseorang. Dalam budaya Melayu, tingkah laku cemburu ini secara tidak langsung, diterjemahkan dalam cerita seperti Bawang Putih Bawang Merah, Lela Manja, Panji Semerang dan sebagainya.
Sekalipun, ketiga-tiga cerita ini memaparkan kisah yang berbeza, namun mesej dan tema yang ingin disampaikan adalah sama. Cemburu.
Watak-watak `cemburu' dalam persengketaan perkahwinan poligami, di kalangan orang bangsawan dan terhadap anak tiri semuanya menggambarkan watak hitam yang menakutkan.
Kesan cemburu juga bukan sedikit. Selain mengundang konflik yang tidak berkesudahan, kegagalan mengawal tingkah laku ini boleh mengundang tragedi.
``Cemburu boleh merangsang seseorang itu menjadi agresif sama ada secara lisan atau fizikal ke atas pasangannya atau orang ketiga.
``Serangan fizikal ini boleh membawa kepada kecederaan atau tragedi seperti kematian atau kemusnahan harta benda,'' kata Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Mahzan Musa.
Menurut beliau, cemburu juga menyebabkan individu terbabit sering terhimpit dengan konflik dalaman dan dengan orang lain.
Jelas beliau, jiwa orang yang cemburu ini sentiasa bergolak, tidak tenang dan sentiasa berperang dengan diri sendiri.
Cemburu adalah satu bentuk ancaman psikologi terhadap hubungan dalam perkahwinan atau percintaan yang terjalin, akibat kehadiran orang ketiga.
Selain itu, cemburu juga dilihat sebagai satu bentuk persaingan. Dalam persaingan, ada pihak yang kalah atau menang.
Apabila seseorang merasakan `pasangan'nya bakal ditawan oleh pihak ketiga, dan keadaan ini sukar dikendalikan, individu terbabit akan berasa terancam.
``Bagaimanapun, hubungan ketiga ini boleh jadi wujud atau hanya `bayangan' minda individu terbabit.
``Biasanya, rasa cemburu yang tidak berasas ini kesan daripada syak wasangka terhadap pasangannya,'' katanya.
Menurut Mahzan, cetusan rasa cemburu yang berlaku antara suami isteri atau pasangan kekasih adalah kerana `nilai' hubungan tersebut.
Atas sebab itulah, pasangan atau kekasih yang dianggap sebagai tempat bergantung, teman, sahabat, rakan yang membentuk ikatan ini dipastikan tidak akan terlepas atau jatuh ke tangan orang lain.
Mahzan memberitahu, cemburu juga bukan sekadar cetusan perasaan. Ia adalah gabungan interaksi cetusan minda, tindakan, sikap dan niat seseorang.
Ia dikelaskan sebagai satu tingkah laku sosial yang tercetus dalam situasi-situasi perubahan dalam kehidupan seharian.
Cemburu, mampu mempengaruhi pemikiran, perasaan dan tindakan seseorang. Selain itu, ia juga merobah aspek fisiologi tubuh seperti peningkatan degupan jantung, pernafasan dan tekanan darah.
Bagaimanapun, rasa cemburu yang wujud ini menyebabkan individu terbabit melalui satu tindak balas psikologi.
Antaranya menyalahkan diri sendiri, membandingkan diri dengan pihak ketiga dan melihat imej diri tidak sehebat orang ketiga.
``Pelbagai reaksi emosi yang muncul seperti rasa marah, derita, takut, sedih, geram dan sebagainya.
``Dari aspek fizikal, mereka akan berpeluh, menggigil menahan kemarahan, sesak nafas, susah tidur, hilang selera makan dan mengalami kemurungan,'' ujarnya.
Perbezaan tingkah laku cemburu antara jantina
Secara umum, dari aspek keamatan atau kekerapan cemburu ini di antara lelaki dan wanita tidak banyak bezanya.
Lelaki
Biasanya, mereka akan menafikan atau mengelak apabila timbul rasa cemburu.
Tetapi, lelaki yang kecewa atau terguris kerana perasaan cemburu ini lebih cenderung untuk meluahkan rasa marah.
* Lelaki akan bertindak ganas secara fizikal apabila cemburu. Tindakan ganas ini lebih cenderung dilakukan kepada orang ketiga
* Dalam berdepan dengan cemburu, lelaki bertindak untuk mengawal dan mengekalkan harga diri.
Wanita
* Pendekatan yang digunakan oleh wanita apabila timbul rasa cemburu ialah dengan meluahkannya
* Wanita yang kecewa atau terguris kerana cemburu biasanya akan menangis, bermasam muka dan kelihatan resah gelisah atau gusar. Mereka juga akan mendera secara lisan
* Wanita lebih emosional dan bertindak balas terhadap orang ketiga. Ketika cemburu, wanita sedaya upaya berusaha untuk mengekalkan hubungan.
Kajian mendapati, wanita mencetuskan cemburu dengan lima tujuan:
* Mendapatkan ganjaran atau habuan seperti perhatian
* Menguji kekuatan hubungan mereka
* Membalas dendam kerana kecurangan pasangan
* Memperbaiki harga diri
* Menghukum pasangan.
Jenis-jenis cemburu
i. Normal
Cemburu kerana wujudnya ancaman sebenar terhadap hubungan intim mana-mana pasangan kerana kehadiran orang ketiga.
ii. Khayalan
Ia adalah cemburu yang tidak normal. Individu terbabit mempercayai secara berterusan kononnya wujud ancaman daripada pihak ketiga.
Jika ia berlanjutan, individu terbabit perlu dirujuk kepada doktor atau pakar psikiatri. Mereka juga perlu menjalani kaunseling.
iii. Melampau
Jenis yang sukar dikawal. Ia didapati hampir sama dengan mereka yang mengalami post traumatic stress. PTS ini biasanya dialami mangsa penderaan emosi, fizikal dan seksual.
Sifat cemburu yang keterlaluan atau terlampau boleh menimbulkan kesulitan.
Ada pasangan yang sanggup mengawal atau sering mengintip pergerakan pasangannya. Mereka berusaha mencari bahan-bahan bukti sebagai tanda kecurangan pasangan dan sebagainya.
Ini dikelaskan sebagai satu penyakit. Bagaimanapun, individu tersebut tidak menyedari kerana merasakan perbuatannya sesuatu yang normal.
Golongan ini, memerlukan rawatan jika ia sampai ke tahap yang menyulitkan kehidupannya sendiri dan pasangan.
Tip atasi cemburu
* Tidak bertindak melulu dan kawal diri
* Selidik sesuatu dengan fikiran rasional
* Tidak memendam perasaan seorang diri
* Luahkan rasa yang terbuku di hati dengan seseorang yang dipercayai
* Berbincang dan bersemukalah dengan pasangan
* Berjumpa pakar kaunseling yang arif berhubung selok-belok rumah tangga.
kredit: Najibah Hassan
Salam Ukhuwah..~
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan