Bacaan Popular

Isnin, 18 April 2011

Binatang Yang Halal Dimakan


Perlu difahami bahawa para ulamak bersepakat setiap perkara yang mempunyai dalil tentang pengharamannya dari Al-Quran dan Hadis tiada lagi perbahasannya sebab ia telah jelas haram. Manakala perkara yang tiada dalil pengharamannya dari Al-Quran dan Hadis, maka ia menjadi harus. Masalah binatang yang halal dimakan ini banyak pendapat dan dalil tantang masalah ini. Untuk tidak melebarkan perbahasan ini, saya fokuskan kepada persoalan sahaja. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu.” (Al-Baqarah : 168)

Dihalalkan bagi manusia makanan yang baik-baik dan tidak memudharatkan manusia seperti memakan babi yang jelas boleh mendatangkan penyakit, binatang yang berbisa yang jelas boleh mendatangkan bahaya kepada manusia dan sebagainya. Kecualilah kalau seseorang itu sesat di dalam hutan, tiada makanan yang dibawa, dia lesu dan tidak bermaya lagi disebabkan tidak makan, maka barulah di situ dia boleh memakan segala binatang yang lalu dihadapannya dengan sekadar alas perut sahaja.

Islam mempunyai kaedahnya sendiri bagi membolehkan binatang tersebut dimakan iaitu dengan cara sembelih yang telah ditetapkan oleh syarak. Binatang yang tidak perlu disembelih dan halal dimakan oleh manusia adalah seperti ikan, sotong, belalang, ketam, udang dan seumpamanya. Firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah : 173)

Kebanyakkan ulamak mengatakan binatang hidup dua alam adalah haram dimakan. Di antara pendapat yang mengatakan haram ialah Al-Qadi Ibn Al-Arabi :

“Pendapat yang sahih berhubung haiwan yang hidup di darat dan air ialah dilarang, kerana terdapat percanggahan dalil halal dan haram.”

Imam Syafie, Imam Nawawi, Imam Hambali mengatakan haram memakan binatang dua alam ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud :

“Dihadapan Rasulullah S.A.W. seorang tabib memeperagakan semacam ubat dan dia menyebutkan tentang hal katak yang dimasukkan ke dalam ubat itu. Rasulullah S.A.W. melarang kita membunuh katak itu.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan An-Nasa’I)

Hal ini berbeza dengan Penyu dan telur penyu juga diharuskan makan kerana ia jugak tidak hidup pada dua alam, kerana ia hanya naik seketika untuk bertelur, setelah dia bertelur dia turun kembali ke laut. Ibnu Qudamah ra berkata :

“Semua yang hidup didarat dari kalangan binatang laut, tidak halal tanpa disembelih, sebagaimana burung laut, penyu, anjing laut, melainkan ia tidak berdarah seperti ketam dihalalkan tanpa sembelih”.

Kebanyakkan ulamak berpendapat bahawa penyu dan telur penyu boleh dimakan adalah berdasarkan kepada dalil Al-Quran yang bermaksud :

“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi”. (Al-Baqarah : 168)

Manakala ketam nipah pada hakikatnya dia bukan hidup dua alam seperti setengah orang mendakwanya adalah ketam batu. Apa yang saya tahu, ketam itu tidak pernah hidup di daratan, apabila dia ditangkap dan naik kedarat dia dapat hidup dan susah untuk mati kadang-kadang berhari-hari. Kesimpulannya ketam nipah halal dimakan, kerana dia bukan hidup dua alam seperti ketam batu.

Belangkas kalau tak silap saya adalah binatang yang beracun, ini saya tak pasti dan saya hanya dengar kata-kata orang sahaja, kalau dia beracun, maka haram memakan belangkas. Kalau dia tidak beracun, maka ia halal dimakan. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke Dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya Segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Al-Baqarah : 195)

Begitu juga dengan Escargot iaitu sejenis siput yang jelas tidak mendatangkan bahaya bagi orang yang memakannya, maka ia menjadi halal dimakan.

Kopi Tahi Musang adalah menjijikkan kerana ia diberbuat dari tahi musang. Islam sangat melarang umatnya memakan benda-benda yang jijik seperti tahi binatang, darah binatang dan sebagainya. Berdasarkan firman Allah yang bermaksud :

“Dan ia menghalalkan bagi mereka Segala benda Yang baik, dan mengharamkan kepada mereka Segala benda Yang buruk.” (Al-Araf : 157)

Banyak lagi kopi yang ada dipasaran yang tidak mencampurkan dengan benda-benda yang menjijikkan. Kalau nak jadi bertenaga pun boleh dan banyak kopi yang ada boleh diminum daripada kopi tahi musang ini. Jika dia hanya sekadar nama sahaja tak apa dan halal diminum.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan