Kadang-kadang kita dapati hati yang sakit dengan begitu parah namun tuan punya hati tersebut sama sekali tidak mengetahuinya. Ini tidak lain disebabkan kerana ia tidak mengambil berat ke atas hatinya dan tidak mengetahui punca-punca penyakit yang menjangkiti hatinya. Bahkan tidak jarang kita dapati seseorang yang telah mati hatinya namun dia sendiri tidak menyedari di atas kematian hatinya.
Untuk lebih jelasnya, di bawah ini dijelaskan tentang tanda-tanda hati yang sihat antara lain:
1. HIJRAH DARI DUNIA KE AKHIRAT.
Sesetengah dari tanda-tanda kesihatan hati lagi adalah, "Ia boleh berhijrah dari kehidupan dunia menuju kehidupan akhirat, dan duduk tinggal di dalamnya." Sehinggalah seakan-akan ia merasakan kehidupan dunia ini bagaikan hampa dan penuh kepalsuan dan sebagai hasilnya ia hanya sekadar menggunakan kehidupan ini sebagai keperluannya untuk berpindah ke kehidupan akhirat. Ia hanya menjadikan dunia ini sebagai alat atau sarana bagi menjayakan perjalanannya ke rumah akhirat.
2. PENDORONG UNTUK KEMBALI KEPADA ALLAH.
Salah satu tanda-tanda kesihatan hati lagi adalah, "ia selalu mendorong dan menggalakkan tuannya untuk kembali kepada Allah dengan perasaan rendah diri di hadapanNya," Ia juga meletakkan segala sesuatu yang disukai dan disayanginya atas dasar kecintaannya terhadap Allah SWT, yang mana ia tidak akan boleh menikmati hidu, tidak boleh berjaya dan bergembiria melainkan hanya setelah mendapat keredhaan dan kemurahan Allah SWT.
3. TIDAK PERNAH BERHENTI DARI BERZIKIR.
Tanda-tanda kesihatan hati lagi adalah, "Tidak pernah reda dan berhenti dari mengingati (berzikir) Tuhannya, ia juga tidak pernah ada rasa bosan dan jemu untuk berkhidmat (beribadah) kepada Allah, ia tidak pernah menaruh rasa suka, sayang atau seronok terhadap selain Allah. Kecuali dengan orang atau sesuatu yang boleh membawanya ke sisi Allah dan mengingatiNya." Misalnya ia tidak pernah menaruh rasa sayang dan seronok terhadap anak dan isteri kecuali hal itu boleh membawanya untuk mengingati Allah dan lebih meningkatkan ketaatan terhadapNya.
4. MERASA LALAI JIKA SAKIT.
Tandanya lagi adalah: "Hatinya merasa sakit yang amat pedih jika berpisah atau lalai dari mengingati Allah. Kesakitan yang dialami melebihi rasa sakit ketika kehilangan harta benda dan anak keluarga."
5. MERASA NIKMAT KETIKA BERIBADAH.
Tandanya lagi: "Ia boleh merasakan sedap, seronok dan nikmat ketika beribadah dan berkhidmat kepada Allah sepertimana kenikmatan seorang yang sangat lapar dan haus ketika ia makan dan minum."
6. LUPA DUNIA KETIKA IA SOLAT.
Tandanya lagi, "Jika ia sedang masuk untuk menunaikan solat, maka segala angan-angan, keghairahan dan keinginannya tentang dunia akan hilang, seakan-akan ia terigin sangat untuk keluar menghindarkan diri dari urusan-urusan dunia tersebut dan seterusnya akan berehat dengan merasakan kenikmatan yang tiada bandingannya kerana menghadap Allah dengan penuh keseronokan dan kedamaian."
7. MEMPUNYAI MATLAMAT TUNGGAL.
Tandanya lagi adalah: "Jika seorang hamba itu hanya mempunyai matlamat dan cita-cita hidup yang satu, iaitu kehidupan akhirat bagi menghadap Allah Azza Wa Jalla."
8. MENGHARGAI MASA UNTUK BERIBADAH.
"Ia sangat khuatir dan takut jika waktu dan masanya hilang dengan sia-sia belaka kerana terpedaya oleh urusan dunia seisinya." Ini sepertimana sedia maklum, bahawa selalunya urusan-urusan dunia akan banyak menyita waktu sehingga seseorang akan banyak menderita kerugian kerananya, kecuali orang-orang yang beriman dan boleh membuktikan keimanannya dengan amal-amal soleh.
9. BERCITA-CITA TINGGI MEMBETULKAN KESALAHAN.
Tanda yang terakhir adalah: "Selalu bercita-cita dengan keinginan yang sungguh-sungguh untuk membetulkan dan mensahihkan amalan-amalan yang dilakukannya sehingga keinginan dan upaya itu lebih berkualiti dan dibuktikan dengan amal perbuatan yang lebih rajin, lebih ikhlas, lebih mendekati dan mengikuti sunnah."
Dari kesemua tanda-tanda hati yang sihat di atas, dapatlah disimpulkan bahawa: "Hati yang hidup sihat adalah, Hati yang mempunyai matlamat dan cita-cita hanya satu, iaitu Allah Azza Wa Jalla, kecintaannya hanya kepadaNYa, tidur dan jaganya mati dan hidupnya hanyalah untuk Allah SWT, seluruh fikirannya dicurahkan untuk mencari keredhaan Allah. Dia lebih suka menyendiri seorang diri bagi bertafakur menghampiri Allah daripada berinteraksi dengan manusia kecuali jika interaksi itu akan membawanya untuk lebih dekat kepadaNya. Ia merasa seronok, selesa dan penuh nikmat bila mengabdi kepadaNya." Jiak di lubuk hatinya berasa diusik oleh syaitan agar berpaling dariNYa dengan serta merta terlintas pada dirinya untuk kembali kepada Tuhannya dengan penuh diilhami oleh ayat Allah yang bermaksud:
"Wahai nafsu (jiwa) yang tenang (suci). Kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dengan (hati) yang redha dan diredhai (Tuhan)." (89: 27-28)
kredit: rakangroup
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan