Bacaan Popular

Jumaat, 24 Mei 2013

Orang Munafiq Gagal Melakukan Sujud di Akhirat



Orang-orang mukmin akan merasai nikmat yang paling agung apabila mereka dapat
melihat wajah Allah s.w.t. di akhirat kelak. Nikmat yang tiada bandingannya walaupun di dalam syurga terdapat pelbagai nikmat yang tidak pernah dirasai di dunia, umpamanya nikmat mendampingi bidadari, nikmat menghirup udara segar di dalam taman-taman syurga, nikmat menghuni mahligai yang diperbuat dari emas dan bertatahkan aneka permata. Namun semua nikmat itu tidak akan dapat menandingi nikmat menatap wajah Allah s.w.t.


Bagi orang-orang kafir telah ditentukan oleh Allah s.w.t. bahawa mereka diarah supaya mengikut apa yang mereka sembah di dunia dulu. Apabila kesemua yang disembah itu akan menjadi bahan bakar api neraka, orang-orang kafir itu akan bersama sembahan mereka terjun ke dalam neraka.

Orang-orang munafiq walaupun pada hakikatnya mereka adalah kafir, tetapi oleh kerana mereka bergaul bersama orang-orang mukmin, mereka enggan berada dalam kumpulan orang-orang kafir. Kerana mereka turut mendirikan solat di belakang Nabi s.a.w. Malah terdapat dikalangan orang munafiq yang turut sama di medan perang bersama Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabat yang lain.

Di Mahsyar, orang-orang munafiq mendakwa dirinya adalah mukmin dan juga orang yang soleh adalah sahabat mereka. Malah mereka mendakwa mereka juga beramal soleh sebagaimana orang-orang mukmin beramal, serta mengenali Tuhan sebagaimana orang-orang mukmin mengenaliNya. Justeru itu mereka ingin bersama-sama orang mukmin untuk menemui Allah ta'ala dan melihat wajahNya.

Untuk golongan munafiq itu Allah swt datangkan imtihan (ujian) supaya mereka membuktikan dakwaannya, dengan ujian itu dapat dibuktikan samada mereka beriman dengan Allah ta'ala atau beriman dengan lainNya. Ketika itu Allah s.w.t. datangkan suatu yang menyerupai benda-benda tertentu, kemudian benda itu mendakwa bahawa dia adalah Tuhan. Orang-orang mukmin segera menolak dakwaan itu kerana mereka di dunia dahulu beriman dengan Allah ta'ala yang Maha Suci dari sebarang penyerupaan benda. Adalah mustahil Allah ta'ala serupa dengan sesuatu benda yang mempunyai ukuran dan jisim yang memerlukan ruang tempat.

Orang-orang mukmin menolak ketuhanan yang bercanggah dengan apa yang telah diajarkan kepada mereka oleh para utusan Allah dan juga bercanggah dengan apa yang diperjelaskan oleh para ulama’ berdasarkan nas-nas yang nyata. Apa yang telah dipertontonkan di hadapan mereka adalah benda baru, sedangkan Allah s.w.t. adalah bersifat Qadim.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman di dunia ini ibarat pelatih yangsedang membiasakan diri untuk mengenali Allah yang Maha Esa. Mereka mendirikan solat dan melaksanakan ibadat yang fardhu dan juga sunat adalah untuk mengukuhkan keimanan dan keyakinan mereka terhadap Allah ta'ala.

Ketika mereka hampir menemui ajal pun, sunat diajar supaya mereka menyebut kalimah Lailaha Illallah. Apabila mereka menyebut kalimah tersebut ketika hampir ajalnya, bukanlah disebabkan menurut apa yang diajar. Sebaliknya disebabkan hati mereka beriman dengan kalimah tersebut telah terbiasa dan sebati dalam hati mereka yang mengingati Allah. Di saat hampir menemui ajal, lidahnya tetap menuturkannya dengan mudah.

Sementara golongan munafiq ketika diuji dengan tuhan yang tidak sebenaryang dijelmakan oleh Allah ta'ala, mereka tidak menyatakan pendiriannya terhadap ujian tersebut. Dengan demikian dapatlah dibuktikan bahawa golongan munafiq itu sebenarnya tidak dapat membezakan antara Allah ta'ala sebagai Tuhan yang sebenar, dengan tuhan-tuhan jadian yang telah dijadikan sebagai ujian kepada mereka. Ujian kedua kepada golongan munafiq ialah ketika orang-orang mukmin diperintah oleh Allah ta'ala supaya sujud di mahsyar, hanya orang-orang mukmin yang ikhlas sahaja berjaya sujud kepada Allah ta'ala. Mereka boleh sujud kerana sejak di dunia lagi mereka adalah golongan orang-orang yang sentiasa sujud kepada Allah, justeru sampai ke akhirat mereka tetap boleh melakukan sujud. Adapun orang-orang munafiq tidak upaya melakukannya kerana ketika di dunia dahulu mereka mendirikan solat bukan sebenarnya kerana Allah ta'ala.

Firman Allah :”Pada hari betis disingkapkan dan mereka dipanggil untuk sujud; maka mereka tidak kuasa.: (Surah al-Qalam : Ayat 42)

kredit: Kitab, Persiapan Menghadapi Maut Siri 7 -terbitan Dewan Muslimat Sdn. Bhd.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan