Bacaan Popular

Ahad, 1 April 2012

Ibu...Oh Ibu...Ampunkan Kami


KES 1:

“BERKALI-KALI saya dibawa berjumpa bomoh yang menuduh saya membela hantu raya hingga menjadi punca keluarga anak saya kerap sakit. Bermacam-macam rawatan mengarut terpaksa saya terima, termasuk diberi makan benda pelik hingga muntah.

“Selain selalu dimarahi dan dimaki, anak sulung saya yang terlalu percayakan bomoh mengurung saya di bilik bahagian dapur dan selepas enam bulan dikurung dia menghantar saya ke pusat jagaan orang tua,” kata Puan Aminah.

Mengimbas lanjut latar belakang hidupnya, Aminah berkata, pada mulanya dia tinggal seorang diri di rumahnya di Perak selepas kematian suami lebih tiga tahun lalu. Bagaimanapun, anak sulungnya mengajaknya tinggal bersama mereka di Selangor.

Katanya, selepas dua tahun duduk bersama anaknya yang berkeluarga dan mempunyai empat anak, dia kerap sakit dan tidak larat bergerak serta perlukan bantuan untuk ke mana-mana.

“Saya selalu pening dan sengal di badan sampai tidak larat bangun. Pelbagai ubat saya makan tapi tak berkesan. Akhirnya menantu menghantar saya mendapatkan khidmat rawatan tradisional ketika anak saya ke luar negara.

“Tindakan itu menambah derita saya apabila bomoh menuduh saya membela hantu raya. Saya mengucap panjang dan menafikan tuduhan itu, tetapi apakan daya kerana menantu lebih percaya cakap bomoh,” katanya.

Berikutan itu Aminah dikurung di dalam bilik dengan alasan khuatir hantu yang dibela mengganggu cucunya hinggalah anak lelakinya pulang dari luar negara.

“Waktu anak saya balik, saya ingat dapatlah mengadu nasib kepadanya tetapi lain pula terjadi. Dia lebih percaya cakap isterinya dan terus mengurung saya di dalam sebuah bilik di dapur. Saya hanya diberi makan sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada malam,” katanya.

Aminah berkata, selama dikurung kira-kira enam bulan, dia berulang kali dibawa berjumpa bomoh dan setiap kali ‘dirawat’ dia semakin terseksa kerana diberi makan benda pelik hingga muntah.

“Bila saya terangkan secara baik kepada anak yang saya tidak pernah membela hantu, saya dimarahi dan dimaki kerana dikatakan cuba menipu dan memberi alasan tidak mahu dipisahkan dengan hantu yang dibela.

“Sudahlah dikurung, saya dibiarkan saja dalam bilik dan tidak dibenarkan bergaul dengan cucu sekalipun. Saya hanya dilayan oleh pembantu rumah,” katanya.

Kemuncak penganiayaan terhadap Aminah, satu hari anak lelakinya menghantarnya ke sebuah pusat jagaan orang tua selepas berbohong dengan berkata ingin membawanya berubat di tempat lain.

Aminah berkata, walaupun kecewa dengan sikap ketiga-tiga anaknya, dia masih tetap menerima mereka jika insaf dan sedar perbuatan mereka.

“Hanya Allah tahu perasaan saya, tetapi saya selalu berdoa semoga mereka diberi petunjuk oleh Allah dan saya sedia memaafkan mereka,” katanya yang tinggal di pusat jagaan itu sejak lebih setahun lalu.


KES 2:

SETIAP kali tiba tarikh sambutan Hari Ibu, Zawiah terkenang sejarah hitam dua tahun lalu apabila menerima 15 jahitan di lengan akibat dikelar dengan pisau oleh anak lelakinya.

Suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Amin turut dipukul dengan kayu besbol ketika cuba menyelamatkan nyawa isterinya.

Mengimbau detik cemas kejadian itu, Zawiah berkata, ia berlaku ketika dia dan suami baru selesai menjamah sarapan pagi di rumah.

Katanya, ketika sibuk mengemas pinggan di dapur, anak lelaki sulungnya berusia 27 tahun dikenali sebagai Zul serta cucu tunggal mereka berusia sembilan tahun tiba di rumah untuk bersarapan.

“Itu menjadi kebiasaan mereka selepas Zul bercerai dengan isterinya. Sebelum itu, apabila bekas menantu bercerita mengenai sikap Zul dan pembabitannya dalam penagihan dadah, saya tidak percaya kerana dia anak yang baik.

“Namun tanggapan saya berubah selepas menjumpai beberapa biji pil dan ‘buku lima’ dalam poket seluar Zul ketika mahu membasuh pakaiannya kira-kira sebulan sebelum kejadian. Apapun, saya dan suami tidak berani bertanya perkara itu berikutan dia baru bercerai.

“Namun, sikap berdiam diri kami membawa padah apabila Zul tiba-tiba ‘mengamuk’ tengah hari itu selepas dipercayai berada dalam pengaruh dadah jenis pil kuda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian, Kelantan.

Menurutnya, Zul menyerangnya secara tiba-tiba dengan sebilah pisau tanpa diketahui punca sebenar.

“Saya menahan serangannya, menyebabkan lengan saya luka teruk akibat dikelar,” katanya yang kini menjaga anak Zul selepas anaknya dipenjarakan di atas kesalahan itu.

Lebih mengecewakan Zawiah, pada malam (kejadian) itu dia dan suami sepatutnya dibawa keluar oleh seorang lagi anaknya untuk makan di sebuah restoran di bandar ini sempena sambutan Hari Ibu.

“Namun segala-galanya berubah sekelip mata apabila kami berdua terlantar seminggu di hospital akibat kejadian itu.

“Saya berdoa ke hadrat Ilahi semoga Zul insaf sebaik dibebaskan dan sebagai ibu, saya sentiasa mema'afkannya walaupun parut di lengan masih berbekas,” katanya.


KES 3:

“BIAR kau mampus cepat, orang tua!” Itu antara kata-kata anak lelaki tunggalnya yang menghantui fikiran Besah, 63, walaupun peristiwa itu berlaku lebih setahun lalu.

Bagi Besah, kejadian kepalanya dihantukkan ke lantai dapur oleh anak sehingga lebam dan bengkak seluruh muka tidak akan dilupai hingga ke akhir hayat.

“Semuanya akibat dadah. Sejak kecil, saya dan suami menjaganya seperti menatang minyak yang penuh. Malang akibat terlalu sayang, saya tidak menyekat pergerakannya, menyebabkan dia menjadi liar dan ingin kemewahan sedangkan kami keluarga miskin,” katanya.

Besah berkata, dia menyedari anaknya terjebak dengan dadah ketika bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) selepas perangainya berubah daripada pendiam kepada seorang yang mudah naik angin.

Katanya, walaupun tahu anaknya menagih dadah, dia dan suami tidak melaporkannya kepada polis kerana tidak mahu anaknya merengkok dalam penjara, selain enggan mengaibkan nama keluarga.

“Kami pernah hantar dia tinggal bersama bapa saudaranya di Rantau Panjang, namun hanya bertahan seminggu apabila dia pulang ‘mengejut’ ke rumah.

“Sejak hari itu perangainya semakin menjadi-jadi dan paling mengejutkan, dia sanggup menjual seekor lembu milik ayahnya kepada seorang penduduk kampung dengan harga RM300 semata-mata untuk membeli dadah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan.

Paling kritikal, Besah akhirnya menjadi mangsa ‘dera’ anaknya. Ketika kejadian, dia seorang diri di dapur manakala suami, anak sulung serta dua lagi anaknya keluar bekerja dan bersekolah.

“Dia tiba-tiba muncul dan meminta wang RM100 dengan alasan hendak membeli pakaian. Saya tahu tujuan sebenarnya nak beli dadah, jadi saya membebel dan merayunya berhenti menagih dadah.

“Tanpa disangka dia menerkam saya hingga saya terjatuh. Bagai dirasuk syaitan, dia naik atas belakang saya, pegang rambut saya dan menghantuk muka saya ke lantai berulang kali.

“Saya menjerit kesakitan dan merayu supaya dia berhenti tapi dia tak peduli, malah muka saya terus dihantuk ke lantai hingga hidung berdarah. Syukur, ketika itu suami pulang dan menyelamatkan saya,” katanya.

Besah berkata, anaknya melarikan diri dan hanya pulang ke rumah seminggu selepas kejadian. Kini dia bekerja sebagai buruh binaan di Kuala Lumpur selepas gagal dalam SPM dan hanya pulang sekali ke kampung, Aidilfitri tahun lalu.


KES 4:

“SAYA dibuang macam sampah di perhentian bas,” kata seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Halimah, 87, menceritakan punca dia kini menumpang kasih di sebuah pusat jagaan orang tua.

Ibu malang itu berkata, biarpun hanya anak angkat, dia menjaganya dengan penuh kasih sayang sejak masih bayi, justeru tidak terlintas di fikirannya anak perempuannya tergamak berbuat demikian.

“Bila dia tinggalkan saya, saya menjerit memanggil namanya tapi dia tak hiraukan, sebaliknya memecut laju kenderaannya,” katanya.

Halimah berkata, lebih menghairankannya, anak perempuannya berusia 40-an itu berkahwin dengan imam dan tentu suaminya turut mengajarnya ilmu agama.

“Sebab itu saya tidak tahu di mana silapnya sehingga anak saya sanggup membuang saya seperti sampah walaupun tangan ini yang membesar dan menjaganya,” katanya.

Halimah berkata, selain seorang anak angkat perempuan, dia turut mempunyai tiga anak kandung lelaki tapi ketiga-tiga anaknya juga tidak ambil berat mengenai dirinya.

“Sebab itu saya tinggal dengan anak angkat saya tapi akhirnya dia juga membuang saya,” katanya.

Selepas ditinggalkan di perhentian bas, Halimah terpaksa ‘menginap’ empat bulan di hospital kerana tiada siapa tampil untuk menjaganya dan akhirnya dia dihantar ke rumah orang tua.

Ketika ditanya adakah dia akan memaafkan anaknya, Hanijah berkata, dia sudi menerima semula mereka biarpun selepas apa mereka lakukan terhadapnya kerana baginya, mereka itulah hartanya di dunia dan akhirat.


Tempah neraka

“Mereka bukan saja derhaka kepada ibu tetapi juga Allah swt dan golongan ini secara terang menempah neraka,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut berhubung tindakan segelintir anak mengasari dan mengabaikan ibu mereka.

“Perkara ini jelas dalam Islam iaitu setiap anak yang menderhaka kepada ibu serta bapanya akan ditempatkan di neraka jahanam,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas nasib menimpa Aminah yang kini di pusat penjagaan orang tua hanya kerana anaknya percaya dakwaan bomoh ibunya membela hantu raya, Noh berkata, anak wanita berkenaan membuat dua dosa dalam satu masa iaitu derhaka pada ibu dan syirik pada Allah ta'ala.

“Dengan mempercayai sesuatu perkara tahyul, seseorang itu syirik dan setiap amalan serta amal ibadat mereka tidak akan diterima selama 40 hari, selain mati dalam keadaan tidak beriman jika tidak sempat bertaubat.

“Jadi kalau mereka terbabit dalam kedua-dua perkara itu, mereka memang dosa berganda-ganda dan hanya taubat serta pengampunan ibu boleh menyelamatkan mereka,” katanya.

Menurutnya, Islam melarang umatnya percaya kepada bomoh atau sebarang unsur menyesatkan sama ada mereka melakukannya secara serius atau sekadar suka-suka.

“Mereka perlu membuat taubat nasuha dan mengucap dua kalimah syahadah di samping berhenti melakukan perkara berkenaan dan memohon keampunan ibu,” katanya ketika dihubungi.

Noh berkata, dalam Islam, perbuatan meninggikan suara kepada insan bergelar ibu sudah jatuh hukum berdosa, apatah lagi mengasari dan menyingkir mereka.

kredit: Metro Ahad


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan