Bacaan Popular

Selasa, 15 Mei 2012

Cermin Diri Bersama Al Kahfi



Seperti biasa, bila ada kelapangan saya akan pergi mengikuti program kuliah suami. Program kali ini ialah seminar Surah Al Kahfi yang dijalankan secara intensif selama 4 hari.

Menjadi seorang isteri penceramah bukanlah suatu kemudahan atau convenience, lantas dengan mudah sahaja saya mengisi jadual harian dengan ceramah suami.

Seperti orang lain, ia memerlukan kekuatan dalaman dan susunan jadual kerja yang baik untuk menghadirinya. Yang pastinya, saya memerlukan anjakan paradigma yang baru setiap kali saya ingin mencari ilmu memandangkan dengan mudah sahaja saya memperkecilkan tuntutan mengikuti kelas atau seminar sekiranya ilmu itu hanya berada di ‘sebelah’ saya sahaja.

Sebenarnya, saya baru sahaja bergiat aktif di dalam mengikuti suami ke kuliah. Dek kerana sibuk bergelar seorang pelajar Masters sebelum ini, masa untuk mengikuti kuliah suami amatlah terhad. Namun syukur alhamdulillah, semenjak saya telah diberi Allah SWT untuk lulus di dalam peperiksaan akhir Emergency Medicine baru-baru ini, masa bersama keluarga dan menuntut ilmu akhirat adalah lebih melimpah ruah.

Allah sahaja tahu betapa dahaganya saya dengan ilmu agama sejak beberapa tahun ini. Rugi rasanya bergelar isteri kepada Ustaz Hasrizal, namun sdikit sahaja ilmu yang saya dapat daripada suami saya. Bertambah-tambah rugi pula jika saya tidak berperanan seperti Aisyah R.A di dalam menimba ilmu daripada Rasulullah SAW lantas menyampaikannya kepada yang lain.

Dan syukur alhamdulillah di dalam bulan ini sahaja, sudah hampir empat kali saya dapat mendengar pengisian tentang surah Al Kahfi. Namun begitu, setiap kalinya adalah berbeza pengajaran dan penggarapannya. MashaAllah, begitu luas sekali ilmuMu ya Allah…

Dalam masa yang sama, saya sangat kagum dengan para sahabat yang sudi dan sedia menghadiri seminar ini terutama mereka yang datang jauh dari Kedah dan lain-lain negeri. Syabas buat semua. Allah jualah yang menghimpun hati-hati kita.

Surah Al Kahfi bukanlah satu surah yang familiar bagi saya. Yang pastinya, ia bukan amalan rutin saya sebelum-sebelum ini. Sekadar tahu Kisah Al Kahfi daripada pembacaan sewaktu kecil dan filem-filem Arab, penghayatan surah Al Kahfi adalah agak asing bagi saya.

Namun, inshaAllah azam saya ialah untuk mengamalkan pembacaannya.

“Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al Kahfi, pasti terlindung daripada dajjal” (Riwayat Muslim)

Dua hari yang pertama telah berjalan dengan lancar. Hari yang pertama adalah sekitar overview keseluruhan surah. Manakala hari ke dua membincangkan Kisah Ashabul Kahfi. InshaAllah pada hari ke tiga dan ke empat nanti, akan dibincang pula kisah Pemilik dua kebun, kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir dan juga kisah Zulqarnain.

Pastinya saya bukanlah seorang yang mahir di dalam bidang tafsir mahupun pandai berbahasa Arab, namun pengisian yang dibentangkan telah berjaya disampai dengan mudah sekali sehingga koreksi dan cermin diri dapat dilakukan sebaik sahaja ayat-ayat surah Al Kahfi dipancarkan di layar.

Sebelum ini saya hanya membaca isi dan makna al Quran hanya secara literally. Bagi saya, apa yang tersurat itulah yang tersirat. Jauh sekali untuk mengait-ngaitkannya dengan mana-mana surah yang lain. Obviously, ianya bukan kemahiran saya.

Namun, itu bukan sebab untuk saya malu atau merasa rendah diri.

Siapa saya, sudah Allah tetapkan dan bagaimana saya mengoptimumkan diri untuk Islam adalah dengan cara saya sendiri. Namun, ilmu agama tetap mesti dipelajari walaupun dengan hanya sedikit yang kita mulai. Sedikit demi sedikit…inshaAllah lama-lama akan bertambah menjadi bukit.

“Permulaan adalah separuh daripada urusan” – Pepatah Rom

Sesungguhnya, tiada malu, takut atau resah di dalam menyampaikan risalah Ilahi. Sabar di dalam mendalami ilmu serta sabar dalam menyampaikannya adalah sebahagian daripada proses kehidupan.



“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”(18:14)

Sesungguhnya, proses kematangan itu memerlukan tempoh dan keberadaan yang lama di sesuatu tempat bagi membentuk seorang pendakwah yang sejati.

Usai dua hari berseminar, terlalu banyak yang melekat di hati. Sehingga tidak tahu mana yang hendak didahulukan. Ada juga perasaan gementar tentang istiqamah.

Adakah mampu saya menggarap semuanya dan terus berubah?

Adakah saya akan istiqamah?

Di waktu iman tinggi, of course, kita rasa baik dan mudah melakukan semua kebaikan. Tatkala iman rendah dan nafsu tinggi, mulut dan perbuatan seperti tidak ditahan-tahan untuk melakukan dosa dan kesilapan.

Ketika itu, kita mahu mengasingkan diri untuk bersamaNya. Memohon kemaafan dan ketenangan agar Allah SWT terus melimpahkan RahmatNya.

Ada kalanya, ‘menjauhkan diri’ dari manusia dan semua adalah jalan terbaik apabila ketenangan dan koreksi diri diperlukan.



Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna”. (18:16)

Itu lah manusia dengan sifat pelupanya. Hatta Rasulullah sendiri pernah terlupa dan meminta para sahabat sentiasa mengingatkan Baginda. Sesungguhnya, “ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu..”



“Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah”. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”(18:24)

Lupa yang paling utama ialah lupa kita akan tipu daya syaitan yang sering tidak pernah putus asa untuk memesongkan ummat manusia.

Ditipunya para pendakwah daripada tugasnya setelah kononnya berpenat-penat dan bersusah payah di dalam medan perjuangan. Maka, pendakwah lari untuk mengasingkan diri dari ‘kesusahan’ untuk mencari ‘kesenangan’.

Namun begitu, sifat pelupa itu bukanlah suatu escapism. Dengan mudah sahaja beralasankannya, agar Ihsan Allah dan maaf manusia berselang seli dengan kesalahan dan dosa yang kita lakukan.

Berazamlah untuk berubah, tunduk dan patuhlah kepada suruhan Allah serta berlemah lembutlah di dalam amalan sesama manusia.

“dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh..” (18:19)

Akhir kata, marilah kita terus mendampingi mad’u kita dan kita juga mendampingi para agamawan serta orang-orang yang soleh agar iman terus kuat dan hati terus terang dengan syiar yang benar agar tidak kalah dengan tipu daya dajjal kelak.

Sesungguhnya janji Allah itu benar, syurga itu adalah untuk golongan orang-orang yang menang.



Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran. (18:28)

“Seorang mukmin yang bercampur dengan orang, kemudian mendapat kesakitan daripadanya, maka itu adalah lebih baik daripada tidak bercampur orang” (Ibn Majah)

p/s: yang pastinya saya akan terus mengikuti ‘kelas kuliah’ suami selagi hayat di kandung badan…

kredit: UMMUSAIF.COM 56000, Cheras.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan