Bacaan Popular

Jumaat, 2 Disember 2016

Adab Masjid

Gambar pelamin dalam masjid bermaksud adab sudah tergugat
terutama dalam komuniti Melayu sendiri.

Setiap orang Islam sepatutnya tahu adab masjid. Adab masjid seperti adab makan juga, seperti adab tandas, seperti adab tidur juga. Jika tiada ikut adab maka itulah yang disebut orang kita sebagai biadab. Maaf jikalau perkataan atau bahasa yang Tok Wan gunakan kali ini agak keras tapi itulah tujuan bagi memahamkan maksud adab.

Oleh kerana tajuk kita kali ini ialah adab masjid maka eloklah kita sentuh bab adab masjid saja. Antara adab masjid yang selalu kita dengar ialah perempuan yang datang haid tak boleh masuk dalam masjid, dalam masjid bermaksud semua ruang yang digunakan untuk solat. Tidak boleh makan dan minum termasuk tidur dalam masjid kecuali ada niat iktikaf. Apabila tiada niat iktikaf maka makan dan minum dalam masjid jadi haram kata ulamak. Kesian anak-anak yang sudah akal baligh telah makan berkali-kali dalam masjid tanpa niat iktikaf kerana mereka tidak tahu. Mereka tidak tahu kerana kita tidak bagi tahu. Dan mereka juga telah makan dan minum dimasjid sejak mereka belum baligh lagi. Jangan kita mempersalahkan ayah-ibu mereka yang tak bagitau pada mereka kerana ayah-ibu mereka sibuk dan tak sempat nak tahu kemana mereka menghilang. Jangan terperanjat ada ayah-ibu yang tak tahu bahawa anaknya sudah masuk akal baligh, sudah jadi anak teruna sudah jadi anak dara dan masih makan serta minum dimasjid tanpa ada niat iktikaf.

Apabila akal sudah baligh maka solat diwajibkan keatas mereka namun ramai antara mereka masih bermain kejar-kejar dikawasan masjid ketika makmum yang lain mendirikan solat fardhu. Salah saya juga kerana tidak memaklumkan kepada mereka, bukan salah imam masjid.

Bila perkara ini tidak kita titik beratkan maka lama kelamaan wabak tidak tahu adab ini akan merebak kepada gulungan remaja yang akhirnya remaja pun sudah menjadi dewasa. Apabila mereka sudah dewasa maka dek kerana tidak tahu itu maka terjadilah pelamin untuk mempamirkan pasangan pengantin diruang solat masjid seperti dalam gambar diatas.

Apabila sudah ada pelamin pasti ada tetamu lelaki dan perempuan duduk bersama-sama walhal perempuan dan lelaki sepatutnya dipisahkan oleh satu tirai atau dinding. Oleh kerana kefahaman agama tiada maka perkara sebegini boleh terlepas adab bukannya terlepas pandang. Nak sebut terlepas pandang memang sudah dipandang dalam berbagai sudut maupun aspek. Memanglah semua masjid bibawah pertadbiran Jabatan atau Majlis Agama negeri masing-masing tapi pemegang amanah di Jabatan dan Majlis Agama Negeri masing-masing itu berjawatan dari lantikan Jabatan Perkhidmatan Awam. Ada yang menjadi Imam sebab berkelulusan Diploma dalam bidang Usuluddin, ada yang berjawatan Pengarah kerana kelulusan Master dalam bab Syariah atau yang seumpama dengannya.

Jika kita pandang kepada Pengerusi pula mereka biasanya orang koperat atau orang politik yang dipilih atas persetujuan Jabatan Agama. Jadi duduk adab serta tanggung jawab untuk memperbetulkan perkara ini sebenarnya telah kembali kepada kita semua. Kita yang menjadi makmum kepada mana-mana masjid yang bertanggung jawab atas bab adab ini. Tegurlah dengan cara berhemah apa-apa perkara yang tidak manis dipandang mata. Jikalau tak boleh tegur dengan kata-kata tegurlah dengan hati dan jika itupun tak boleh maka tegurlah dalam doa untuk mereka.

Mudah-mudahan Allah bagi kita taufik untuk kita sampaikan maksud dalam perkara ini.
.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan