Bacaan Popular

Jumaat, 29 Mac 2013

Keikhlasan Di Tanah Suci_Teladan



SEORANG juru ukur tanah berasa takut untuk menunaikan ibadat haji kerana merasakan dirinya belum bersedia kerana tidak rajin beribadat. Beliau bimbang, keburukan dan sifat malas beribadat yang dilakukan selama ini akan diberi pembalasan di Tanah Suci. Dia mengaku ketika menjalankan tugasnya terutama di hutan, beliau sering mengabaikan solat.

Selain tidak rajin beribadat, juru ukur ini mempunyai sifat panas baran. Beliau sering mendengar cerita bagaimana pergaduhan berlaku pada mereka yang tidak sabar. Jika ini berlaku pahala hajinya musnah. Ustaz sering mengingatkan, ketika menunaikan ibadat haji, seseorang dituntut mempunyai sifat penyabar.

Bagaimanapun kerana beliau sudah berpencen dan memperoleh wang ganjaran, beliau memberanikan diri untuk ke Tanah Suci. Ketika mendaftarkan diri di pejabat Tabung Haji, beliau mengikuti kursus dan berazam ingin berbakti apabila berada di Makkah.

Apabila tiba masa berangkat ke Makkah, jirannya membawa tiga beg pakaian, tetapi juru ukur itu membawa satu beg pakaian saja. Dia tidak mahu menyusahkan, sebaliknya bercadang membeli barang keperluan di Makkah. Disebabkan hajatnya ingin berbakti di Tanah Suci, beliau membawa kira-kira 500 biji ubat.

Beliau berbuat demikian kerana berpegang kepada falsafah, jika ingin menolong orang lain, dirinya perlu lebih sihat, selain ubatnya boleh diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Ketika mengikuti kursus dulu, penceramah ada berkata, jika seseorang memohon untuk mendapatkan hotel yang dekat ketika di Makkah, kebiasaannya dia akan mendapat tempat tinggal yang jauh. Ini katanya, Allah ingin menguji iman setiap umatnya.



Mengingatkan nasihat itu dan azamnya untuk berbakti di Tanah Suci, beliau berdoa kepada Tuhan untuk mendapatkan rumah yang dekat ketika di Makkah. Beliau berbuat demikian dengan harapan untuk mendapat tempat tinggal yang jauh.

Dalam hatinya berkata, jika tinggal di tempat jauh, beliau akan mendapat banyak pahala apabila melangkah ke masjid, selain masalah tempat tinggal jauh sudah tidak asing padanya kerana ketika bekerja dulu, dia berjalan puluhan batu setiap hari.

Bagaimanapun apabila tiba di Tanah Suci, beliau ditakdirkan mendapat tempat tinggal yang dekat dengan masjid. Walaupun niatnya tidak dimakbulkan Allah tetapi keazamannya ingin berbakti ketika berada di Tanah Suci diteruskan. Pantang mendengar orang sakit, dia lebih dulu dari petugas lain menghulurkan ubat yang sesuai.

Jika ada orang tua dan orang sakit yang ingin menunaikan sembahyang di Masjidil Haram, beliau menghulurkan bantuan. Ketika orang berebut menaiki bas untuk ke Arafah, beliau menjadi orang terakhir menaiki bas bagi memastikan semua jemaah sudah ke Arafah.

Begitu juga ketika orang ramai berangkat dari Arafah ke Mina, beliau akan memastikan jemaah lain selesai menaiki bas, baru dirinya berbuat demikian. Beliau juga tidak kedekut untuk mengutip anak batu bagi tujuan melontar jamrah untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Daripada Mina, beliau juga menjadi orang terakhir menaiki bas untuk kembali ke Makkah. Jemaah lain berebut-rebut menaiki bas untuk pulang ke Makkah tetapi di takdirkan Tuhan, bas yang dinaiki juru ukur tadi sampai terlebih dulu.

Ini kerana pada musim haji, pemandu bas di Makkah, bukannya terdiri daripada penduduk Makkah tetapi didatangi dari negara lain. Jadi ramai yang kurang arif mengenai jalan di sekitar Mina, Arafah dan Makkah. Walaupun siang hari, ramai pemandu yang sesat dan akhirnya mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke Makkah, walaupun jarak antara Mina dengan Makkah tidak terlalu jauh.

Apabila sampai di Makkah, juru ukur tadi pergi ke Masjidil Haram untuk tawaf dan saie bagi melengkapkan rukun hajinya. Ketika itu keadaan di sekitar Kaabah, seperti menjelang wukuf, padat dengan manusia. Ketika ingin memulakan tawaf itu, juru ukur tadi terpandang seorang lelaki tua bertongkat. Dia menolong lelaki itu tetapi tidak memahami apa yang diucapkan lelaki berwajah Arab sebagai menyatakan rasa terima kasih.

Selepas menolong lelaki itu dan lelaki berkenaan sudah beredar, juru ukur tadi meneruskan hajatnya untuk tawaf. Bagaimanapun beliau merasakan begitu lapang sekali. Walaupun orang lain melihat keadaan begitu padat, tetapi yang dilihat juru ukur adalah keadaan sebaliknya, tidak ramai jemaah dan begitu senang tawaf

Akhirnya beliau berjaya menyelesaikan tawaf dan saienya tanpa sebarang masalah.

Ketika kembali ke maktab, juru ukur menceritakan hal orang tua tadi kepada guru agama maktab. Beliau juga menyatakan jumlah orang yang tawaf tidak ramai. Bagaimanapun, rakannya membantah kerana mereka gagal tawaf kerana keadaan begitu padat di sekeliling Kaabah.

Guru agama itu menjelaskan, kemungkinan lelaki yang ditolong juru ukur tadi adalah seorang wali Allah. Sebagai ganjarannya menolong dengan ikhlas sepanjang berada di Makkah, Allah permudahkan ketika tawaf. Sejak itu juru ukur semakin rajin beriktihad di masjid.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan