Bacaan Popular

Jumaat, 29 Mei 2015

Ubat Sakit Hati


Kadang-kadang bila cuma dengan perkara yang kecil saja hati jadi sakit. Buat itu tak kena buat ini tak kena. Contoh, konon peraturan menetapkan kertas kerja mesti diserahkan melalui email 2 minggu sebelum tarikh perlaksanaan. Namun si penerima email tidak membaca email tersebut dengan alasan cuti. Bila balik dari cuti diperingatkan melalui panggilan talipon dan katanya dah terlambat sebab tempoh 2 minggu diperlukan dan kini cuma tinggal 8 hari saja. Lalu hati jadi sakit, kenapa tidak ada orang kedua untuk mengambil aleh tugas apabila orang ini cuti. Lalu geram bertambah geram, buat itu tak kena buat ini tak kena. Solat fardhu pun jadi terganggu, tak khusuk. 

Contoh lagi satu ialah apabila jejaka idaman janji nak hantar pinangan setelah berkawan selama 3 atau 5 tahun atau lama lagi. Tunggu punya tunggu tak datang juga, penat kita buat persiapan  dengan mak ayah tak kemana-mana konon menunggu rombongan yang bakal datang meminang itu. Bila kita call tak jawap pula bagi mesej pun tak jawab lalu hati bersangka baik boleh jadi sedang sibuk dalam pemanduan menuju kemari. Tapi bagaiamana hati tidak remuk setelah menunggu sekian lama dari jam ke jam, dari minggu ke bulan. Akhirnya dia buat keputusan meninggalkan kita dalam masa kita sangat mengharap. Itulah kita ini dinasehatkan oleh ulamak dan masyaik jangan mangharap sesama makhluk tapi kita mengharap juga. Hanya pada Allah ta'ala sahaja tempat kita menaruh harap. Salah kitalah nampaknya. Tapi hati sudah tersangat remuk. Bagaimana caranya menghilangkan semua ini? Jawapannya mudah saja.

Pertama dirikan solat sunat taubat dua rakaat, maklumlah kita ini banyak buat dosa kan, kemudian dirikan pula empat rakaat solat tasbeh. Arrr... solat tasbeh inilah yang jarang-jarang kita buat kecuali bila ada program qiamulail kat masjid kita, ikut imam sebagai makmum. Tok Wan kata begini sebab Tok Wan sendiri pun gagal dalam mendirikan solat tasbeh secara infradi/istiqamah. Selalunya sebagai makmum dalam qiamulail dimasjid pada bulan Ramadhan.

Mari kita perbaiki diri sendiri dengan merajinkan diri bagi mendirikan solat tasbeh empat rakaat sekurang-kurangnya 6 bulan sekali atau 3 bulan sekali atau lebih baik setiap bulan dan terbaik diantara yang terbaik jika dapat buat setiap hari. Nak tahu apa kelebihan solat tasbeh 4 rakaat ini? Meh baca lagi...

Ada beberapa hadith dari Nabi s.a.w. yang boleh kita rujuk yang bunyinya lebih kurang begini, 'Mahukah kamu aku berikan sesuatu yang istimewa yang dengannya kamu beroleh kebahagian?' dan dalam hadith yang lagi satu berbunyi lebih kurang begini, 'Esok kamu datanglah menemui aku, ada sesuartu yang hendak aku berikan kepadamu'. Setelah sahabat r.a. itu datang keesokannya maka Nabi s.a.w. menerangkan bahawa perkara yang hendak diberikan itu ialah solat tasbeh. Pada mulanya sahabat r.a. itu menyangka bahawa Nabi s.a.w. akan memberikan sesuatu benda.

Dengan solat tasbeh segala dosa-dosa kita yang terdahulu dan terkemudian samaada dosa-dosa kecil serta dosa-dosa besar akan diampunkan. Ada ulamak yang mempertikaikan hadith ini kerana tak mungkin dosa-dosa besar turut diampunkan. Namun apabila kita melihat ramai para Muhadith, ahlu Tasawuf serta Imam-iman besar seperti Imam Bukhari, Imam Ahmad turut mengerjakan solat tasbeh, dan terkemudian para ulamak mendirikan solat tasbeh secara istiqamah kemudian mengajarkan pula perkara ini kepada anak-anak murid mereka lalu sampailah kepada zaman kita ini. Ini membolehkan kita mendirikan solat tasbeh dengan keyakinan Allah akan ampunkan segala dosa-dosa kita. Bukankah Allah ta'ala itu Maha Pengampun? 

Ada terdapat banyak tempat dalam surah al Quran dimana Allah ta'ala menyebut Maha Pengampun. Jadi tak perlu kita pertikaikan lagi. Dan jangan lupa dalam al Quran juga Allah berfirman yang lebih kurang berbunyi, 'Aku adalah sebagaimana sangkaan hamba-hambaKu kepadaKu.' Jadi bila dalam hati kita, kita bersangka baik dan bersangka Allah terima taubat kita maka Allah terimalah. Lainlah jikalau kita bersangka bahawa Allah tidak menerima taubat atau solat kita.

Apabila kita bersangka Allah terima solat tasbeh yang kita lakukan maka datanglah ketenangan. Datang juga perasaan tidak suka bersangka buruk atau sangkaan yang tidak baik keatas apa-apa perkara pun. Waktu itu kita melihat orang yang tidak solat tidak ta'at kepada perintah Allah sebaliknya banyak melakukan perkara bathil, dalam keadaan yang bersangka baik kita melihat dia mungkin lebih mulia daripada kita.

Bah... sampailah masanya kita tidak merasa hati tidak pernah tenang, sebaliknya keadaan diri kita sentiasa saja tenang berkat sakinah yang Allah ta'ala berikan kepada kita. Tabah menghadapi ujian dan segala jenis ujian. Kita belajar menghadapi apa saja masalah yang Allah datangkan dengan tujuan untuk mentarbiah (bagi belajar) kita. Sedangkan Nabi-nabi Allah ta'ala yang terdahulu pun banyak tarbiah yang telah Allah berikan kepada mereka inikan pula sebagai umat akhir zaman (yang bukan Nabi).

Berkat ketabahan inilah yang bakal kita bawa kedalam kubur dan di Padang Mahsyar kelak. Ketabahan menghadapi segala bentuk ujian yang Allah datangkan agar di Padang Mahsyar kelak kita sudah bersedia dengan huru-hara yang maha dasyat.


La haula wala quwwata illa billah..~

Jumaat, 22 Mei 2015

Mal Atau Amal

Gambar hiasan Istana Nabi Sulaiman a.s.

Minggu ini bunyi tajuknya agak pelik namun tidaklah terlalu pelik, yang peliknya cuma perkataan Mal yang tak pernah atau jarang kita dengar. Perkataan sambungan yang kita selalu dengar ialah Baitulmal. Mal bermaksud harta-benda sementara Amal memang telah selalu kiita dengar. Jadi tajuk ini bermaksud antara harta-benda dan amal ibadah. Dah faham tajuk kan?

Antara amal dan amal orang lebih yakin kepada mal dan orang lebih mengetahui nilai mal itu berbanding amal. Contoh mudah bila kita tanya kepada satu orang berapakah harga sebuah kereta Proton Saga. Ohhh... jawapannya sekian-sekian ribu. Kita akan mendapat jawapan yang hampir tepat. Dan bila kita tanya berapa pula harga sebuah kereta BMW yang terbaru? Pasti dan pasti kita akan mendapat jawapannya dari seseorang.

Begitu juga harga atau nilai bagi sebuah rumah berkembar, atau sebuah kondominium atau banglo. Kesemua itu mempunyai nilai dan harga yang berlainan. Ini menunjukkan kita tahu nilai dan harga harta-benda tersebut.

Mari kita tanya pula nilai dua raka'at solat sunat sebelum suboh. Hanya segelintir orang yang tahu jawapannya. Mari kita tanya pula berapa nilai dua raka'at solat sunat selepas  maghrib. Jawapannya terdapat hanya beberapa orang saja yang tahu jawapannya. Ini menunjukkan kita lebih tahu nilai mal dari amal. Seterusnya kita boleh meletak jawapan pukal bahawa kebanyakan orang memburu mal dari amal. Kebanyakan orang juga lebih mahir mengumpul mal dari amal.

Sebenarnya mal bukan maksud hidup kita. Mal cuma keperluan hidup, dan tidak menjadi kesalahan untuk mengumpul mal tapi hendaklah memperbanyakkan amal sebab mal pada suatu hari nanti tidak berguna bagi kita tetapi amal menemani kita ke liang lahad, ke Padang Mahsyar, ke Titian Sirat seterusnya menentukan samaada kita ke syurga atau neraka. Memang dengan RahmatNya Allah membuatkan seseorang itu masuk syurga atau neraka tapi jika tidak diusahakan pasti ia umpama kebun buah-buahan yang mengandungi berbagai jenis buah-buahan, namun oleh kerana tidak dijaga dengan baik maka semak dan belukar memenuhi kebunh tersebut. Bukan saja baja dari tanah itu sudah disebut oleh belukar yang tidak dibuang itu bahkan binatang berbisa termasuk binatang yang buas pun akan berada didalam belukar tersebut. Akhirnya ketika musim buah tiba, kita sendiri takut untuk masuk ke kebun kita sendiri. Bahkan jikalau berjaya masuk pasti buah-buah yang hendak kita tuai itu sudah di tebuk tupai atau sudah di makan oleh haiwan lain.

Begitu jugalah dengan amal kita mal kita. Setiap tahun terutama menjelang perayaan pasti ada jualan murah dan setiap tahun itulah atau selang dua atau tiga tahun sekali pasti kain langsir atau kerusi sofa di rumah kita akan kita perbaharui. Ini kita rasakan perlu kerana ramai sanak-saudara serta rakan-taulan akan mengunjungi rumah kita sempena perayaan tersebut. Untuk tujuan itu kita bersusah payah menabung wang bagi menukar kain langsir, sarung kusyen bahkan ada masanya dinding luar dan dalam rumah juga turut menerima cat baru.

Sepatutnya amal kita pun kita berbuat demikian. Setiap kali tiba bulan Sya'aban kita sudah mula berlatih amalan berpuasa serta sedekah selepas membayar semua hutang puasa tahun lepas sebab menjelang waktu inilah juga Allah ta'ala akan juga mengadakan tawaran besar-besaran. Jika pasaraya mengadakan jualan harga potongan sehingga mencapai 70% atau beli satu dapat 2 percuma maka Allah s.w.t. mengadakan tawaran yang lebih hebat lagi. Para ulamak serta masyaik memberitahu kita melalui kitab-kitab serta hadith Nabi s.a.w. bahawa pada bulan Ramadhan setiap amalan kita digandakan dengan sepuluh kali ganda. Woww... ini umpama beli satu dapat sepuluh. Contohnya dalam bulan Rejab selawat keatas Nabi s.a.w. akan dibalas dengan 10 selawat tapi bila tiba bulan Ramadhan 1 selawat dibalas dengan 100 kali selawat. Bukankah ini suatu tawaran paling hebat yang tidak pernah Allah ta'ala berikan kepada kaum-kaum yang terdahulu.

Paling istimewa pada bulan Ramadhan itu terdapat satu malam yang barang siapa beramal padanya umpama dia beramal selama seribu bulan. Malam tersebut ialah malam Lailatul Qadar. Seribu bulan itu bersamaan dengan 83 tahun. Bayangkan jika sepanjang umur atau tempoh hayat kita berada di atas muka bumi ini (sebelum dimasukkan kedalam perut bumi) kita hanya sempat beramal pada 10 Lailatul Qadar saja, ini bermakna amalan tersebut telah mencapai amalan selama 830 tahun. Pastinya amalan kita sudah melebihi amalan orang-orang yang ta'at kepada Nabi Musa a.s. sebab umur kaum Musa a.s. lebih panjang dari kita, ada yang mencapai sehingga seribu tahun.

Hal inilah yang menyebabkan Nabi Musa serta Nabi-nabi a.s. yang terdahulu merasa cemburu terhadap kita. Masakan tidak menimbulkan cemburu kerana Allah ta'ala mengharamkan sesiapa saja untuk masuk syurga melainkan umat Muhammad s.a.w. masuk terlebih dahulu.

Masya Allah... sudahlah kita umat yang bongsu, lepas tu nak masuk dulu pulak. Ini menyebabkan Nabi-nabi a.s. serta kaum-kaum yang ta'at kepada Nabi-nabi a.s. mereka merasa cemburu. Sedangkan amalan yang mereka cemburukan itu hanya amalan pada malam Lailatul Qadar, belum masuk amalan berjihad di Jalan Allah.

Amalan berjihad di Jalan Allah ini ialah amalan tertinggi dimana setiap pengorbanan kita Allah ta'ala akan gandakan sebanyak 700,000 kali ganda. Ini bermakna setiap 1 ringgit yang kita belanjakan pada Jalan Allah pasti mendapat balasan 700,000 ringgit. Namun ketika amalan itu diteruskan sehingga tiba bulan Ramadhan pasti ganjarannya digandakan lagi sehingga 10 kali ganda lagi menjadikannya berjumlah 7 juta. Bukankah ini suatu tawaran paling hebat yang tidak pernah Allah ta'ala berikan kepada kaum-kaum yang terdahulu.

Sebesar mana pun tawaran gandaan amal yang datang pasti datang pula gandaan mal yang lebih hebat. Siapa yang tak suka Oppo Smartphone? Pastinya ramai terpaksa kerja keras dan sehingga lewat malam untuk mendapatkan Oppo Smartphone. Lalu kita dilalaikan dengan Smartphone tersebut, asyik wasap sehingga tiada masa untuk baca al Quran.

Suatu ketika, sewaktu para Jinn sedang menerbangkan istana Nabi Allah Sulaman a.s. maka seorang petani telah terpandang kehebatan istana Nabi Sulamaiman a.s. itu lantas petani itu menyebut, 'Subhanallah'. Nabi Sulaiman a.s. mendengar sebutan tersebut lalu menemui petani tersebut lalu bertanya kepada petani itu. 'Apakah yang engkau sebut sebentar tadi wahai petani?'. Petani itu menjawab, 'Saya menyebut Subhanallah apabila melihat istana tuan sedang diterbangkan.'

'Benar kata-katamu wahai petani. Sebutan 'Subhanallah' itu akan kekal walaupun dunia ini telah Allah hancurkan sedangkan istana dan kerajaan yang sedang berada dalam kekuasaanku pada masa ini akan lenyap suatu hari nanti.


La haula wala quwwata illa billah..~

Jumaat, 15 Mei 2015

Waktu Kita


Kebanyakan dari kita merasakan waktu dua puluh empat (24) jam dalam satu hari tidak mencukupi. Tapi sebahagian dari kita pula masa yang ada dua puluh empat jam bagi satu hari itu sangat memadai. Masa itu cukup untuk memenuhi keperluan harian seperti bekerja, berniaga atau bercucuk tanam dan dalam pada itu maseh sempat rehat-rehat dalam setengah jam atau sejam sebelum tiba waktu solat zohor pada setiap hari. Rehat-rehat disini bukan seperti yang kita rehat waktu di pejabat, tapi rehat-rehat bagi mereka ialah berbaring dengan bantal ataupun dengan istilah yang lebih tepat ialah tidur. Bagaimana mereka menguruskan masa mereka?

Sebenarnya ramai antara kita telah menganiayai diri kita sendiri apabila tidak menguruskan masa dengan cara yang betul. Allah s.w.t. menceritakan kepada kita dalam surah al Kahfi tentang pemuda-pemuda yang masuk kedalam gua bagi menyelamatkan iman mereka lalu Allah s.w.t. memberikan masa tidur mereka selama tiga ratus (300) tahun dan apabila tersedar dari tidur yang dirasakan cuma setengah hari itu wang yang mereka hendak belanjakan sudah tidak digunakan lagi. Cucu dan cicit mereka juga telah menjadi sangat tua apabila mereka cuba kembali kerumah mereka sendiri. Begitulah Allah s.w.t. mengurniakan masa kepada sesiapa yang di kehendakiNya.

Lalu bagaimana kita hendak memperoleh masa yang mencukupi bahkan memadai untuk meneruskan kehidupan dalam zaman yang penuh kerosakan umat ini?

Tidak ada cara lain hanyalah menurut segala perintah Allah s.w.t. ikut cara Rasulullah s.a.w. kerana dengan cara ini Allah ta'ala jamin ada kejayaan. Yang pertama jangan tinggalkan solat berjemaah ditempat dimana azan dilaungkan. Kedua tambah dengan solat-solat sunat serta bacaan al Quran sekurang-kurangnya 100 ayat. Ketiga zikir pagi dan petang. Ke empat ajak orang lain datang ke rumah Allah untuk bersolat sebab jika tak ajak nanti di Padang Mahsyar mereka akan mendakwa kita tak mengajak mereka. Kelima bantulah mana-mana orang yang memerlukan bimbingan agama walaupun kita sendiri tidak cukup ilmu agama (bantu sekadar mana yang mampu.) Rasanya lima perkara ini sudah memadai sebagai permulaan mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t.

Yang pasti setiap hari selepas solat hajat mintalah kepada Allah ta'ala agar Allah s.w.t. berikan masa yang cukup lagi berkat untuk keperluan harian kita. Minta juga keluasan rezeki dan berkat dalam solat dhuha harian kita. Minta juga kesempurnaan keperluan harian kita dalam solat isyrak.

Masa untuk kita berada di atas muka bumi ini sebenarnya ialah masa yang tersangat singkat walaupun usia kita boleh mencapai 63 atau 83 tahun. Cuba kita lihat nyamuk dan kupu-kupu yang hanya diberi izin oleh Allah ta'ala untuk hidup cuma satu minggu. Cuba kita lihat pula gajah dan penyu yang diberi tempoh hidup mencapai 300 tahun. Bahkan kedua makhluk ini merasakan usia sebegitu memadai bagi mereka sebab Allah ta'ala Maha Mengetahui sukatan masa yang diberikan kepada setiap jenis makhluknya baik yang melata dibumi atau dalam perut bumi atau terbang diangkasa.

Ada orang duduk dalam masjid selepas solat suboh sehingga terbit matahari (syuruk) dan ada pula terus keluar terburu-buru sebaik imam memberi salam, walhal duduk sambil berzikir bersama-sama makmum lain selepas solat fardhu mempunyai fadhilat yang sangat istimewa yang tidak dapat dilihat oleh mata. Namun hakikatnya ketenangan (sakinah) datang kedalam diri menjadikan kita tidak terburu-buru kesana kemari mengejar dunia seperti mereka bahkan sebaliknya dunia mengejar kita.

Tidak sabar dengan menunggu imam dalam solat suboh melantunkan istighfar, zikir, bacaan al Fatihah, ayatul Qursi serta tasbeh Fatimah disertai dengan doa menjadikan kita orang yang rugi. Menjadikan kita orang yang memburu masa, walhal dengan duduk sehingga semua makmum selesai sebenarnya kita telah memberikan masa kita kepada rumah Allah dan pasti Allah suka dan akan menggantikan masa kita itu dengan masa yang kita rasa sangat berbaloi. Inilah kunci keberkatan masa dalam kehidupan harian kita.

Di alam barzakh kita dijanjikan masa yang panjang. Ada yang menyatakan tempohnya mencapai sehingga 40 ribu tahun. 40 ribu tahun ini jika mengikut masa tahun dunia pun sudah terlalu panjang apalagi jika dikira mengikut tahun dilangit pasti 40 ribu di dharab dengan seribu. 

Bagi orang yang menjaga waktu solat dan memberi masa kepada rumah Allah pasti 40 ribu tahun itu tidak terasa panjangnya sebab dengan izin Allah waktu itu boleh disingkatkan menjadi cuma setengah hari saja lalu tiba-tiba sangkakala ditiup oleh Malaikat Izrafil dengan serta merta seluruh alam (7 petala langit dan bumi) hancur. Manakala tiupan kedua tiba-tiba kita sudah berdiri di Padang Mahsyar.

Di Padang Mahsyar juga tempohnya memakan masa sehingga 56 ribu tahun jika di dharab dengan 1000 pastinya menjadi 56 trilion tahun. Itulah tempoh kita bersusah payah mencari sesiapa yang kita pernah aniaya atau berhutang semasa dibumi dulu untuk memohon ampun atau melunaskan hutang yang tertangguh semasa didunia. Namun bagi mereka yang menjaga waktu solat serta ikut semua perintah Allah (sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.) serta meninggalkan segala laranganNya pasti tempoh masa yang panjang itu tidak terasa panjang.

Selesai urusan Padang Mahsyar kita akan ke Mizan pula dimana segala amalan baik atau buruk ditimbang. Selesai urusan Mizan baru kita ke Titian Sirat dimana titian sehalus sehelai rambut dibelah tujuh sepanjang 500 tahun mendaki 500 tahun rata dan 500 tahun menjunam turun. 500 tahun jika di dharab 1000 akan menjadikan perjalan mendaki sejauh 5 juta tahun,perjalanan rata sejauh 5 juta tahun juga dan perjalanan menurun sejauh 5 juta tahun juga.... so total tempoh masa di titian sirat ialah 15 juta tahun. Namun Allah s.w.t. telah memberikan jaminan dalam hadith Nabi s.a.w. yangmana mahfumnya lebih kurang begini. "Barangsiapa dapat menjaga solat fardhunya maka Allah ta'ala berikan lima perkara, pertama diberikan rezeki untuknya, kedua terlepas dari azab kubur, ketiga menerima buku catatan amal dengan tangan kanan, ke empat melintas Titian Sirat sepantas kilat dan kelima masuk syurga tanpa hisab".

Perkara yang ke empat diatas membuktikan peringkasan masa atau tempoh masa dari 15 juta tahun menjadi sangat cepat sepantas kilat. Inilah kurniaan Allah ta'ala kepad Umat Nabi Muhammad s.a.w. Dan seharusnya kita merasa berbangga dan bersyukur kerana kita menjadi umat akhir zaman dimana segala yang tidak pernah dikecapi oleh umat terdahulu telah diberikan kepada kita.

Kita mendapat ayatul Qursi, surah Yaa Siin, surah al Fatehah, solat lima waktu sehari semalam, solat Tahajud yang mana perkara-perkara ini tidak diberikan kepada Nabi-nabi a.s. yang terdahulu. Inilah yang menbjadikan kebanyakan Nabi-nabi a.s. yang terdahulu merasa cemburu terhadap kita apalagi kurniaan malam Lailatul qadar yang hanya kita saja yang dapat. Umat Nabi Musa a.s. tak dapat malam Lailatul Qadar! Umat Nabi Isa a.s. pun tidak diberikan malam Lailatul Qadar, begitu juga umat Nabi Ibrahim a.s. tidak mendapat malam tersebut. Lalu bagaimana kita membuat azam atau persiapan bagi meluangkan masa kita untuk kedatangan Lailatul Qadar pada tahun ini begitulah juga masa yang kita perolehi tanpa azam atau persiapan. Maka jadilah kita orang-orang yang rugi.

Ketahuilah masa di akhirat selepas peristiwa Titian Sirat adalah tiada penghujungnya. Kedudukan kita di akhirat ialah sebagaimana kesediaan kita meluangkan masa untuk menta'ati segala perintah Allah ikut cara Nabi Muhammad s.a.w. Jika kita mengabaikan segala keistimewaan yang ada bermakna kita akan menjalani kehidupan yang kekal abadi dalam keadaan yang azab.  Sebaliknya apabila kita menta'ati segala perintahNya ikut cara Nabi Muhammad s.a.w. maka kahidupan kita yang kekal abadi disana dalam usia yang (muda) tetap 30'an dalam keadaan senang lenang dan segala apa yang di hajati datang semua kepada kita.

Setiap tahun pada bulan Ramadhan para Malaikat di perintahkan oleh Allah untuk mewangikan syurga untuk Jinn dan Manusia, jadi marilah kita memberi masa untuk menunaikan segala perintah Allah ikut cara Nabi s.a.w.


La haula wala quwwata illa billah..~

Jumaat, 8 Mei 2015

Kecil dan Besar


Berapa besar kita jika dibandingkan dengan semut. Berapa besar kita jika dibandingkan dengan bumi Malaysia dan berapa besar Malaysia jika dibandingkan dengan dunia ini. Berapa besar pula bumi jika dibandingkan dengan matahari. Saiz matahari ialah sejuta kali ganda bumi. Berapa pula jarak matahari dengan bumi ? Jarak matahari dengan bumi ialah 149.6 juta kilometer (lebih kurang) dan dia (matahari) adalah bintang yang terdekat sekali dengan kita. Jadi berapa pula jarak bintang yang jauh ? Ada yang menyatakan jaraknya 33k tahun cahaya. Erkkk... berapa jauh tu ? Kita kiralah 1 tahun cahaya bersamaan 9.5 trilion kilometer. Ini semua adalah kiraan Ahli Astronomi atau dalam bahasa kita disebut Ahli Nujum (bintang).

Ketepatan kiraan Ahli Nujum ini tidak usahlah kita perhatikan atau pertikaikan sangat, tetapi penambahan yang telah mereka capai menyatakan bahawa Galaksi Bima Sakti umpama dua buah pring yang ditangkupkan antara satu sama lain menjadi satu benda yang cengkong dan mempunyai ketebalan sejarak 3,000 tahun cahaya sementara luas bulatannya pula ialah 100k cahaya. Inilah Bima Sakti. Soalannya adakah ini yang disebut sebagai lapisan langit yang pertama ? Jawapannya Ya ! Sebab dalam al Quran Allah ta'ala menyebut dalam surah al Mulk ayat ke 5 yang maksudnya, Dan demi sesungguhnya ! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

Jadi jika dibandingkan bumi dalam Galaksi Bima Sakti ini umpama sebentuk cincin yang berada diatas sebuah padang bola-sepak dan matahari pula hanya seumpama sebiji bola. Dimana pula langit kedua ? Jawapannya seluruh isi kandungan langit pertama ini (Galaksi Bima Sakti) kita mampatkan sehingga menjadi sebiji cincin yang kedua lalu kita campakkan cincin tersebut ke padang bola yang kedua. Padang bola yang kedua itulah langit kedua dan cincin itulah langit pertama.

Padang bola kedua itu kita mampatkan lagi dan menjadikan ia sebentuk cincin yang ketiga lalu kita campakkan ia kesuatu padang bola yang lain yakni padang bola ketiga lalu padang bola yang ketiga itulah langit ketiga dan cincin ketiga itulah langit kedua. Begitulah kita lakukan sehingga mencapai tujuh kali mampat sebab ada tujuh petala langit dan tujuh petala bumi telah Allah ciptakan seperti yang Allah sebut dalam surah al Mulk ayat ke 3 yang bermaksud, 'Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandanganmu dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?'

Hakikat seluruh tujuh petala langit dan bumi berada di hadapan trompet yang disebut 'Ash Shur', apakah itu ash shur ya Rasulullah? tanya seorang Badui. Rasulullah s.a.w. menjawab, 'Tanduk yang akan di tiup', hadith riwayat Ahmad, Tarmizi dan Abu Daud. Bagi kita pula selalu kita sebut Sangkakala dan sangkakala ini sewaktu peristiwa israk mikraj Nabi s.a.w. dulu sudah pun berada di mulut Malaikat Israfil dan hanya menunggu perintah dari Allah s.w.t. untuk meniupnya. Apabila sangkala itu ditiup maka hancurlah sehancur-hancurnya semua tujuh petala langit dan bumi yang memang sudah berada di hadapan sangkakala tersebut.

Dapatkah kita bayangkan besar mana sangkakala itu sehinggakan seluruh tujuh petala langit dan bumi berada dan berkumpul dihadapannya, dan betapa besar pula sang peniupnya. Tiada yang mustahil bagi Allah. Hal ini Allah terangkan kepada kita dalam surah az Zumar ayat ke 68 yang maksudnya, 'Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada dilangit dan dibumi, kecuali sesiapa yang dikehandaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).'

Jadi hari ini sementara sangkakala belum ditiup kita diberi peluang oleh Allah ta'ala untuk menghimpunkan seberapa banyak amalan yang baik-baik untuk berdepan dengan hari kebangkitan yakni apabila sangkakala yang kedua itu ditiup. Kita patut bersyukur kerana kita menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w. yang dijamin masuk syurga terlebih dahulu sebelum umat Nabi-nabi a.s. yang lain.

Kita juga patut bersyukur kerana kita diberi peluang menggandakan setiap amalan kita sedangkan umat terdahulu tidak mendapat gandaan yang sedemikian. Gandaan-gandaan itu seperti contoh, berwuduk dirumah dan berjalan kemasjid pada waktu subuh ganjarannya umpama mengerjakan haji, dan pada waktu maghrib serta isyak umpama mengerjakan umrah (bagi yang lelaki baligh janganlah solat dirumah tapi solatlah di masjid dimana azan dilaungkan. Amal ibadat pada malam Lailatul qadar digandakan menyamai seribu bulan (83 tahun) jikalau sepanjang usia kita semasa berada dibumi sempat beramal sebanyak 20 kali saja semasa malam Lailatul Qadar bermakna amalan baik kita telah berganda sebanyak 1,600 tahun (jadi pada malam Lailatul Qadar jangan sibukkan diri nak menengok diluar rumah kalau-kalau terpandang pokok menyembah bumi). Sudah pasti kita telah dapat mengalahkan umat Nabi Nuh a.s. dan umat Nabi Musa a.s. yangmana usia mereka panjang-panjang (pada waktu itu) dan dapat menta'ati perintah Allah begitu banyak. Namun para Nabi a.s. yang berjumlah 124,000 orang itu tertanya-tanya sesama mereka siapakah kita? Nabi dizaman manakah kita sebab berada diatas timbunan kasturi yang lebih tinggi dari timbunan kasturi mereka. Jawapannya kitalah umat Nabi Muhammad s.a.w. dan kitalah umat akhir zaman. Sebaik-baik umat. Kata ringkas untuk mencapai semua matlamat tersebut ialah menta'ati segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya dan ikut cara Nabi Muhammad s.a.w.

Jadi janganlah lepaskan peluang untuk kemenangan yang akan kekal abadan abada ini. Hidup dan mati kita hanya untuk Allah s.w.t.


La haula wala quwwata illa billah..~

Jumaat, 1 Mei 2015

Sampah


Kata hati yang pertama ketika azan suboh berkumandang diudara ialah, 'Aku kena pergi kerja sekarang, kalau lambat nanti jalan jem. Solat Suboh boleh buat kat opis... cantum dengan sunat Dhuba pun boleh'.

Kata hati yang kedua pula ketika azan asar sedang berkumandang, 'Alamak ... dah masuk waktu Asar. Ahhh... sempat balik buat kat rumah... jalan macam clear jer.' 

Kata hati yang ketiga ketika azan maghrib sedang berkumandang, 'Quotation ni aku mesti sampaikan pada tangan Datuk malam ni jugak. Kalau kontrak ini lulus aku bakal memiliki sebuah rumah idamanku sendiri. Aku boleh beli itu boleh beli ini untuk keperluan keluargaku'.

Kata-kata yang sebenarnya ialah kita semua sedang bersungguh-sungguh mengumpul wang untuk memiliki barang-barang yang bakal menjadi sampah. Kita sibukkan diri untuk mengumpul wang untuk membayar harga sebuah almari yang kita idamkan walhal suatu masa nanti almari itu bakal menjadi sampah. Kita habiskan wang untuk membeli bekas plastik konon untuk memudahkan kita menyiram pokok yang kita tanam di halaman rumah. Kita sibukkan diri kita ke pasar-malam untuk beli timba plastik ketika orang lain sibuk kemasjid untuk solat Maghrib berjemaah. Walhal timba plastik itu bakal menjadi sampah juga.

Begitu juga kita sibuk membuat kerja overtime untuk mencukupkan wang bagi membayar ansuran kereta atau motorsikal yang mana pada suatu hari nanti motorsikal dan kereta itu juga bakal menjadi sampah. Dan sepanjang hidup kita, kita sibukkan diri kita untuk membawa kereta itu ke worksyop untuk tukar minyak hitam atau membaiki sedikit kerosakan. Bahkan sewaktu kereta itu di peringkat awalnya kita juga sibukkan diri kita bawa kereta kekedai aksesori kereta untuk tambah plastik lutsinar atau tambah alat pandang dengar dalam kereta itu.

Setelah bertahun-tahun dengan tabi'at tersebut maka pada suatu hari kereta itu memerlukan perbelanjaan yang besar untuk diperbaiki dan kita tak cukup wang. Lalu dengan kereta itu juga kita bersusuah hati, timbul kerisauan dalam diri kita betapa sukarnya perjalanan hidup tanpa kereta. Kita bercerita pula kepayahan kita kepada kawan-kawan kita betapa peritnya hidup tanpa kereta.

Hakikat yang sebenarnya ialah kita perlu memiliki iman dan dengan iman yang kental kita mampu melakukan amal-amal yang bakal menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat. Apabila kita memperkukuhkan iman kita, mengutamakan akhirat dari dunia maka dengan sendirinya dunia akan mengejar kita. Tetapi bila kita sibukkan diri kita mengejar dunia maka akhirat meninggalkan kita. Kita akan terus lalai dari mengingati negeri akhirat. Walhal negeri akhirat itu kekal abadan abada.

Apakah kita masih sibuk membaca wasap setiap pagi setiap petang setiap malam sebelum tidur dan mengabaikan al Quran sebenarnya kita menzalimi diri kita sendiri lalu bolehlah kita menggelarkan diri kita orang-orang yang zalim. Walhal al Quran adalah Kalam Allah. Segala-gala yang ada di alam ini sama ada yang dapat kita lihat atau tidak dapat kita lihat adalah ciptaan Allah s.w.t. Bumi ini sendiri Allah ta'ala ciptakan untuk pada suatu hari nanti Allah akan hancurkan, begitulah janji Allah dalam al Quran.

Setelah Allah hancurkan bumi ini dan Allah ta'ala gantikannya dengan negeri yang kekal abadi maka waktu itulah orang yang berada dalam syurga akan menyesal dan merayu lagi kepada Allah ta'ala agar dapat dia dikembalikan kebumi hanya untuk menyebut lagi satu ayat 'Subhanallah'.

Setiap hari umur kita kian bertambah bahkan ada yang menyatakan setiap hari umur kita kian berkurang. Kedua-duanya betul, namun dinegeri akhirat umur kita tidak bertambah dan tidak berkurang, ia kekal pada umum 30 tahun sampai bila-bila.

Dan dalam peningkatan umur kita semasa didunia seharusnya peningkatan iman dan amalan kita juga meningkat. Inilah dua perkara yang akan menyelamatkan kita di negeri akhirat. Namun sebelum sampai kenegeri akhirat kita seharusnya singgah sementara di alam barzakh. Namanya pun alam barzakh yakni persinggahan. Jika sewaktu persinggahan ini keadaan kita selesa maka selesalah kelak kita ketika berada di negeri akhirat. Begitu juga sebaliknya juka sewaktu persinggahan itu kita merasa tidak selesa maka tidak selesalah juga sewaktu berada di negeri akhirat kecuali syafa'at tertentu yang dapat menyelamatkan kita.

Untuk maksud yang sangat besar bagi menuju akhirat itu maka kita kena berusaha untuk iman dan amalan kita. Setiap hari ada usaha kita untuk meningkatkan kedua-duanya, setiap hari juga kita perlu mengajak orang lain kearah itu kerana Allah ta'ala telah periuntahkan dalam al Quran supaya kita menyeru manusia kepada kebaikan. Janganlah kita melihat saja orang lain yang menyeru orang lain kepada kebaikan bahkan kita kena terlibat sama.

Kurangkan atau kalau boleh tinggalkanlah amalan mengumpul sampah atau membuat sampah kerana ianya langsung tidak berguna berbanding iman.


La haula wala quwwata illa billah..~