Bacaan Popular

Ahad, 28 November 2010

Cantik Pada Nilaian Lelaki


Memang betul semua lelaki mahukan pasangan yang cantik. Tetapi benarkah cantik itu yang akan mereka nilaikan apabila bergelanggang di pentas rumahtangga nanti? Artikel ini cuba merungkai citarasa dan nilaian kaum lelaki terhadap kecantikan.

Semua orang tahu bahawa kecantikan itu satu nilai yang tinggi. Seorang yang mahu memilih perhiasan rumah, pasti akan dicari yang cantik. Pakaian juga begitu, nilainya pada cantik. Makin cantik, makin tinggi harganya.

Dalam bab memilih pasangan, cantik memang dianggap sebagai nilai utama. Bahkan terdapat amalan dalam sesetengah masyarakat, semakin cantik si gadis maka semakin tinggi harga mahar dan hantarannya.


Tetapi awas.

Cantik pada nilaian seorang lelaki akan terus berubah apabila memasuki dunia perkahwinan. Dunia yang kerapkali menjadikan si cantik tidak menang dengan hanya bermodalkan cantik. Kerana itu perlu difahami dengan jelas, bahawa perkahwinan itu bukan hanya cerita dalam bilik tidur.

Bukan hanya pada kemanjaan, lemah gemalai, ketawa mengusik, berwangi-wangian, bersolek, berdandan dan sebagainya. Perkahwinan adalah suatu ranjau yang luas. Tidak mungkin ditempuh dengan seronok-seronok sahaja.

Maka si cantik yang hanya bermodalkan cantik, bakal tersepit apabila semakin lama menjadi ahli kepada dunia rumahtangga.

Kalau sebelum berkahwin, rengekan manjanya sudah cukup menjadikan si lelaki mengalah, selepas berkahwin mungkin tidak lagi. Kalau sebelum berkahwin, berlagak comel itu dilihat sebagai comel, selepas berkahwin ia mungkin lebih ditafsirkan sebagai mengada-ngada.

Jangan salah faham. Ia sama sekali bukan disebabkan oleh faktor bosan, jemu dan yang sewaktu dengannya.

Ia soal praktikal. Soal realiti. Soal tindakan, bukan teori.

Selepas berkahwin, cantik pada nilaian seorang lelaki bukan pada kecantikan fizikal atau luaran seorang isteri. Anda berdandanlah sehebat mana sekalipun, jika anda gagal menyelami perasaan sang suami, pada dia anda tiada erti.

Semburlah perfume sebanyak mana sekalipun ke tubuh anda, jika anda tidak pandai mengurus atur rumah dan memastikan rumah anda kemas, bersih dan tersusun setiap masa, maka pada suami, anda seolah tiada erti.


Kerana apa?

Kerana mereka menganggap isteri mereka sebagai teman, kawan dan orang yang sama-sama berperanan. Bukan model. Bukan ratu. Bukan permaisuri.

Tetapi anda mungkin beruntung jika takdirnya anda bersuamikan lelaki yang tahap sabarnya luar biasa. Mungkin pada satu tilikan, ia kelihatan seperti ˜kesabaran" yang luar biasa. Tetapi pada tilikan yang lain, dia sebenarnya mungkin malas melayan sikap negatif anda, atau sentiasa mengalah walaupun tidak suka dengan perangai anda. Mungkin untuk jangka masa pendek, ia kelihatan okey. Tetapi untuk jangka masa panjang, perlu juga disedari bahawa pasangan anda itu manusia dan bukannya malaikat.


CANTIK

Saya bercakap tentang segelintir wanita yang suka menjadikan kecantikan mereka sebagai modal untuk bahagia. Maka saya katakan tidak.

Besar mana sangatlah nilai cantik itu dalam rumahtangga?

Malanglah kalau seorang gadis tidak kisah dengan kekemasan dirinya, kekemasan tempat tinggalnya, kemahiran membuat kerja rumahnya, kemalasan yang berakar umbi dalam dirinya dan segala perangai negatif yang lain, dengan beranggapan bahawa dia cantik, dan dia akan bahagia. Dia akan beroleh suami yang sayangkan dia dan tidak kisah dengan sikap negatif yang ada padanya.

Saya katakan bahawa wanita sedemikian adalah wanita yang malang.

Cuba anda lihat contoh. Seorang suami yang pulang dari kerja dalam kepenatan, dia bukan hanya mahukan senyuman anda di muka pintu, atau segelas air yang anda hulurkan. Dia mahukan anda memahami dirinya. Ada banyak cara lelaki minta difahami. Antaranya adalah dengan tidak menambahkan kepenatannya dengan soalan-soalan bodoh atau kerenah-kerenah yang menyakitkan hati.

Tetapi bayangkan, kalau seorang isteri yang hanya cantik tetapi tidak cerdik dan tidak matang. Suami pulang disambut dengan senyuman menawan, pakaian cantik dan wangi semerbak. Tetapi belumpun sempat suami duduk di sofa, mulutnya sudah berceloteh itu dan ini. Katakan sebelum suami pulang tadi, ada berita buruk yang diterima atau ada masalah yang berlaku. Masa itu juga lah semuanya diluahkan pada sang suami, yang masih terkial-kial menghilangkan penat.

Dalam situasi tersebut, pertengkaran mungkin terjadi. Waktu itu, dia tidak kisah pun walau anda secantik bidadari.

Situasi yang lain. Suami seorang yang aktif, suka berfikir, banyak idea dan gemar berhujah. Suami sukakan percambahan idea dan mahukan teman berfikir yang matang. Bagaimana jika isteri hanya cantik, tetapi setiap lontaran suami tidak bersambut? Suami bercakap tentang perancangan keluarga, isteri hanya mengangguk dan mengiyakan. Suami bercakap tentang strategi kewangan keluarga, isteri hanya mengikut dan mengiyakan.

Lama kelamaan, pertengkaran boleh berlaku. Dan waktu itu juga, cantik tiada makna.


MATANG

Percayalah, seorang suami memang mahukan yang cantik sebagai pasangan, tetapi hakikatnya dia LEBIH perlukan yang matang sebagai teman.

Maka pokoknya di sini bukanlah pada anda itu cantik atau tidak cantik. Apa yang lebih utama adalah pembentukan diri, sifat dan sikap anda dalam menuju ke alam rumahtangga. Buanglah sifat negatif yang anda dan berusahalah membentuk kematangan dalam diri.
Cuba belajar bertolak ansur dengan housemate atau roomate anda, kerana itu suatu latihan untuk anda bertolak ansur dengan pasangan anda nanti. Cuba belajar mengurus diri dengan teratur dan mengurus rumah atau bilik anda dengan konsisten, kerana itu juga suatu latihan untuk melengkapi kebahagiaan anda suatu hari nanti.

Belajar dan terus belajar. Jangan selesa dengan kecantikan dan paras rupa, sehingga anda bodoh sombong untuk belajar dan terus ego untuk berubah. Kelak, anda sukar untuk bahagia.

Justeru, artikel ini mengajak anda yang mungkin berada dalam situasi di atas, atau mengenali rakan-rakan yang sedang berada dalam kemelut di atas, supaya sama-sama kita sedar. Lebih-lebih lagi wanita, kebersihan diri dan tempat tinggal sebelum berkahwin perlu dititikberatkan.

Ingat, anda akan beralih kepada sebuah kehidupan yang sungguh praktikal, bukan teori yang mengasyikkan!


nota kecil...

Segala tulisan di blog ini merupakan semata-mata pandangan peribadi penulis dan tidaklah mencerminkan pandangan atau pendirian mana-mana pihak. Sudah tentu ia terdedah kepada kelemahan. Justeru ambillah mana yang baik dan tinggalkan mana yang buruk.


Salam Ukhuwah..~

Khamis, 25 November 2010

Serang Akidah Mereka


"Jika kamu ingin mengalahkan umat Islam jangan memerangi mereka hanya dengan senjata saja, karena kamu telah kalah dihadapan mereka waktu kamu menggunakan senjata.


Namun perangilah “AKIDAH” mereka,

“Hancurkan pemikiran-pemikiran mereka”,

“Keluarkan dari dada-dada mereka semangat Islam”,

jadikan mereka bodoh terhadap akidah Islam,

” karena dalam akidahlah terletak “kekuatan Islam”,

apabila akidah mereka telah keluar dari dada mereka maka mudah bagi kamu mengalahkan mereka,

dengan senjata akan banyak merugikan kita

namun dengan menyerang pemikiran mereka kita tidak akan rugi bahkan kaum muslimin itu sendiri yang akan rugi.”

Itulah kata-kata semangat dari lidah seorang raja yang bernama,


Raja Perancis Louis IX, (Zaman Perang Salib)

kredit: Amri el Wahab


Salam Ukhuwah..~

Khamis, 18 November 2010

Berdoalah Pada Waktu Yang Sesuai Lagi Afdal Agar Diterima Allah


OLEH kerana berdoa mohon sesuatu daripada Allah SWT itu adalah ibadat, maka ia mempunyai adab tertentu bagi menunjukkan kesopanan akhlak yang mulia kepada Tuhan Yang Maha Mulia.

Adab tatasusila berdoa itu sepuluh perkara, pertamanya; meskipun boleh berdoa setiap waktu sepanjang hari, namun sayugia tidak abai mencari saat yang mulia menurut pandangan Islam.

Sebagaimana kegiatan harian seperti makan minum, tidur baring ada waktunya yang baik dan sesuai. Apatah lagi berdoa kepada Allah SWT ada beberapa ketika yang Tuhan anjurkan sebagai detik yang baik, untuk mendapat kemustajaban dan keberkatan-Nya.

Misalnya sekali dalam setahun ialah ‘Hari Arafah’ pada sembilan Zulhijah, di hari para hujjaj berhimpun di padang Arafah melengkapkan haji. Sama ada para hujjaj atau orang yang tidak terlibat dengan ibadah haji sekalipun, digalakkan seboleh bolehnya berdoa kepada Allah SWT pada hari kemuncak ibadah haji itu.

Sebagai orang mukminin berwaspada menunggu detik yang mulia itu. Semuga Allah SWT akan kurniakan saat mustajab, jika bersua dengan Hari Arafah yang mulia itu.

Mudah mudahan boleh beramal lebih baik di Hari Arafah yang telah lalu. Hidup sebagai orang Islam diajar supaya semakin meningkat usia kian bertambah baik amal ibadahnya.

Saat yang paling baik pada Hari Arafah itu ialah ketika matahari tegak di atas kepala sebelium menjelang Zohor. Seolah olah kepala kita setentang dengan pintu langit, mengharapkan rahmat Allah SWT.

Apabila sebut langit tidak bererti Tuhan itu bertempat, sebaliknya langit itu adalah tempat yang tinggi, sekadar menggambarkan kemuliaan Tuhan Yang Maha Tinggi.

Untuk bulanan pula ialah sepanjang bulan Ramadhan bulan diwajibkan ibadat puasa, bagi mingguan pula ialah pada hari Jumat. Bagi harian pula ialah di hujung malam ketika waktu sahur sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di akhir akhir malam mereka mohon ampun (kepada Allah).” (surah Az-Zariat ayat 18).

Pada penghujung malam mereka bangun berdoa, sama ada berdoa degan doa semata atau mendirikan solat yang bererti doa juga.

Satu di antara makna solat ialah doa, kerana dalam solat itu cukup lengkap. Ada takbir, tahlil, tahmid, taqdis, tasbih dan semua perkara yang tergolong ibadat terhimpun dalam solat.

Bagi mereka yang bangun hendak sahur di bulan Ramadan atau sahur puasa sunat, saugiya dia berwudhuk dan mendirikan solat tahjud juga witir dan sebagainya.

Yang kedua termasuk dalam adab berdoa ialah rebut peluang pada ketika yang mulia, seperti ketika pasukkan tentera Islam bergerak menuju medan perang menentang musuh. Sebelum berlaku peperangan mereka telah berusaha sedaya upaya agar peperangan dapat dielakkan.

Apabila terpaksa hadapi peperangan tentera Islam tidak hanya bergantung dengan kecanggihan senjata, kerana senjata bagi Islam ada dua jenis, satu senjata lahir yang dimilikkinya dan kedua ialah senjata doa.

Bagi tentera Islam apabila berada di medan perang tidak seorang pun yang lupa pada Allah SWT, ketika mereka ingat pada Tuhan maka ketika itu masa yang paling baik dan afdhal.

Untuk mereka mendapat perhatian dari Allah SWT, rebutlah peluang untuk berdoa bagi mendapat bantuan atau keredhaan-Nya.

Peperangan di zaman mutakhir ini ada perang menggunakan senjata, tetapi ada pula peperangan bentuk politik.

Kedua jenis peperangan itu mempunyai tujuan yang sama dari segi mencapai kemenangan.

Saat manusia berduyun ke medan pertempuran berdasarkan keunggulan aqidah, ke medan perang untuk membawa kembali semula suasana dan kerajaan Islam ke dalam negara.

Ketika berada di medan hendaklah tidak lupa menggunakan senjata doa kepada Allah SWT, supaya kemenangan dan keselamatan akan dianugerahi Tuhan.

Seterusnya dikira saat yang baik juga iaitu ketika hujan turun, menurut Islam ketika itu rahmat Allah SWT turun bersama turunnya hujan dari langit.

Nabi s.a.w. ketika melihat mendung bergerak segera berdoa, di antara doanya ialah doa yang bermaksud: “Wahai Tuhan, aku mohon kebaikkan yang ada di dalam awan mendung itu, aku menghendaki hanya yang baik terkandung di dalamnya. Bukan perkara buruk di sebaliknya seperti ribut tofan puting beliung yang memusnahkan.” “Aku mohon air untuk menyuburkan bumi supaya tumbuhan jadi subur mendatangkan rezeki, bukannya air membawa banjir yang menjadi bencana kepada harta benda dan jiwa.”

Bukan sekadar doa yang bersangkut dengan hujan sahaja, tetapi termasuk doa lainnya seperti mohom diampun dosa dan pahala bertambah, kesihatan diri dan keluarga.

Juga mohon dikurniakan anak yang soleh serta apa saja yang baik. Berdoalah dengan bersungguh sungguh agar dimustajabkan oleh Allah SWT.

Termasuk juga waktu yang baik untuk sesaorang berdoa ialah ketika muazzin melaungkan iqamah, ia boleh menambahkan khusyuk dalam solat.

Sejak iqamah lagi ingatannya sudah tertumpu kepada Allah SWT, ingatan itu akan terbawa kedalam solat yang boleh menghindar dari kelalaian. Jika semasa muazzin iqamah dia masih lalai tidak berdoa, bererti apabila mendirikan solat dia tidak mempunyai persiapan untuk khusyuk.

Apatah lagi jika dia baru tiba dari tempat umum seperti pasar dan sebagainya, segala kekalutan dan hiruk pikuk tempat awam itu masih terbawa dalam fikirannya.

kredit: TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT


Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 12 November 2010

Ingatlah Wahai Lelaki


INGATLAH WAHAI LELAKI

Wahai lelaki,
Wanita punya hati bukan untuk kau lukai
Mereka menagih cinta suci minta dikasihi


Wahai lelaki,
Wanita punya keindahan bukan sekadar perhiasan
Mereka amaran dalam tingkahmu membelai iman


Wahai lelaki,
Wanita punya emosi bukan untuk dimanjakan
Mereka membawa maruah untuk kau pertahankan


Wahai lelaki,
Wanita punya jasad bukan pelempias nafsumu
Mereka aset mulia demi menjaga nasabmu


Wahai lelaki,
Wanita punya tingkah bukan untuk kau takuti
Mereka dilengkapi jiwa selayaknya kau hormati


Wahai lelaki,
Wanita punya hidup bukan untuk disia-sia
Mereka itu lapangan permai bagimu menabur jasa


Wahai lelaki,
Jika engkau penyambung warisan junjungan Baginda, pimpinlah wanitamu dijalan hasanah mengharap redhaNya.


kredit: Naim Qlate


Salam Ukhuwah..~

Rabu, 10 November 2010

Statistik Umat Islam Di Malaysia


Statistik berkenaan umat islam di Malaysia untuk renungan kita bersama:

1. 50% sahaja umat islam di Malaysia memiliki Al-quran di rumah dan hanya 5% membacanya dan 1% lagi membaca tafsirannya

2. 80% umat islam memliki ASTRO decoder dan hanya 5% menonton ASTRO OASIS

3. 70% umat islam tertarik dengan perkara yg membawa kepada "Karnival" atau unsur yg membawa kepada hiburan

4. 50% menyokong program seperti Akedemi Fantasia, Tomtombak, Mentor dan rancangan yg seumpamanya

5. Hanya 10% umat islam dari satu taman perumahan yg membantu masjid atau surau di sebuah kawasan

6. Hanya 20% yg menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama

7. 80% remaja hari ini tidak reti atau tidak pandai mengaji

8. 90% remaja atau kaum wanita suka berseluar panjang dan memakai T-Shirt

9. 80% pasangan baru yang belum berkahwin akan menonton wayang setiap bulan di panggung wayang

10. 95% umat islam tidak pernah mencari atau pergi ke kelas mengaji untuk mendalami ilmu agama islam itu sendiri

11. 95% wali kepada pengantin perempuan tidak tahu syarat-syarat sah mewalikan anak mereka dan 99% bapa menyerahkan pernikahan anak mereka kepada berwlikan imam

12. 100% anak-anak islam bawah 12 tahun cenderung kepada kartun seperti Ultraman, Mask Rider, Digimon, Pokemon dan banyak lagi kartun seperti ini yang unsurnya merosakkan minda

13. 50% umat islam adalah kaki botol dan minum arak

14. 50% pasangan yg telah berkahwin dan dan mempunyai anak mengaku mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain dan mempunyai tabiat melanggan pelacur

15. 90% cenderung kepada keduniaan dengan ingin memliki rumah mewah, kereta mewah dan duit yg banyak

16. Hanya 30% umat islam lelaki menunaikan solat Jumaat pada setiap minggu

17. 3% umat islam menunaikan solat suboh secara berjemaah di masjid atau surau setiap hari

18. 90% umat islam tidak ambil tahu tentang soal kejiranan atas konsep tidak suka jaga tepi kain orang

19. Hanya 10% umat islam yang akan membantu saudaranya yg lain terutamanya dalam soal duit

20. Dan hanya 1% sahaja umat islam yang mengetahui Sifat 20 dalam ilmu ketuhanan

21. 90% umat islam percaya, faham, berkehendak, terikut-ikut kepada benda yang Tahyul, pelindung diri, pelaris business, tarik duit, seri muka, kebahagiaan rumah tangga, santau, pukau dan semua elemen yg menjuruskan kepada Syirik kepada ALLAH

Saya paparkan semua statistik di atas usaha untuk menyedarkan diri saya sendiri dan saudara saudari tentang betapa kroniknya kefahaman islam di negara kita sendiri hari ini. Dari peratusan yang tinggal berapakah yang boleh digolongkan kepada "orang muqmin" dan berapakah yang boleh digolongkan sebagai "Makhluk"

Sama-samalah kita buat kiraan untuk diri kita sendiri,

Yang paling penting, selepas kiraan dibuat, adakah kiraan itu dapat menyedarkan dan mendekatkan kita dengan ALLAH S.W.T?

Wallahua'alam

kredit: kedahlanie


Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 6 November 2010

Yang Bermunafa'at


Sebaik-baik manusia adalah orang yang selalu memberi munafa'at pada orang lain.

Orang berjaya bukan orang yang mampu untuk menghasilkan sesuatu, tetapi juga mampu memberi munafa'at pada orang lain. Kebahagiaannya bukan hanya kerana mampu memenuhi keperluan diri dan keluarga, tetapi juga mampu memberi kebahagiaan pada orang lain. Ini adalah muslim yang baik. Kita tidak menjadi muslim yang baik apabila kita kenyang sedangkan jiran-jiran kita kelaparan.


Ingatlah kejayaan yang diperolehi bukan usaha kita semata-mata. Kejayaan kita adalah kerana bantuan orang lain. Contohnya guru yang mengajar kita. Ibu bapa yang membimbing dari kecil sehingga dewasa. Rakan-rakan sekuliah dan rakan-rakan sekerja yang selalu bersama kita. Dan semua kejayaan kita hakikatnya adalah pertolongan daripada Allah swt.


Sekiranya kita mempunyai rezeki dan ilmu yang cukup, rangcanglah sesuatu bagi menggabungkan keduanya bagi membantu orang lain. Bermula dengan adik beradik dan saudara terdekat. Kemudian kita perlu membuat perancangan untuk membantu jiran tetangga dan orang lain. Kita perlu mengetahui siapa jiran tetangga dan orang lain. Memberi pertolongan pada yang memerlukan, sekiranya mereka dibiarkan berarti kita membiarkan mereka terjerumus ke dalam kekufuran. Ingatlah kemiskinan itu menyebabkan kekufuran.


Beruntunglah bagi mereka yang dikurniakan oleh Allah swt peluang berbakti kepada orang lain. Orang lain adalah ladang amalan kita. Apabila kita mempunyai potensi yang lebih daripada orang lain, kita mesti menanamkan niat member munafa'at sebanyak-banyaknya kepada orang lain. Kelebihan yang ada pada kita hakikatnya adalah amanah yang diberikan oleh Allah swt dan akan dipertanggung-jawab di akhirat kelak.


Apabila Allah swt mengurniakan kelebihan kepada kita, pasti ada orang lain yang memerlukannya. Seseorang yang memiliki kelebihan dan menganggap seolah-olah kelebihan itu adalah miliknya sendiri, kemudian dia berlaku sombong, merendahkan orang lain, menghina dan menyakiti orang lain. Kiranya sesama umat Islam saling membantu pasti umat Islam membangun dan menjadi umat yang hebat.


Allah berfirman yang bermaksud:

"Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama. Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim. Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin."

(Al-Maa'uun:1-3)

kredit: Abd Rahim


Salam Ukhuwah..~