Tok Wan sempat bergambar depan papan-tanda air terjun Lolo
Pertama-tama sekali aku bersyukur kepada Allah ta'ala yang memberi nafas serta tenaga dalam usia emas ini aku maseh mampu mendaki gunung dengan beberapa anak-anak jiran dari PPR Desa Tun Razak.
Sembilan orang kekanak yang kesemuanya perempuan dipilih dalam usia 10 hingga 13 tahun kubawa mendaki gunung dalam cuti sekolah, temasuk 2 orang anak perempuanku yang kembar dalam tingkatan 1 tahun ini.
Wahh... ada jemaah dari Ampang keluar 3 hari di Masjid Jamek Kuala Pangsun waktu aku singgah. Sempat bertanya khabar sebelum meneruskan perjalanan untuk mendaki gunung. Selepas membaca sedikit doa kami pun mula mendaki dan di sepanjang perjalanan terlalu banyak perkataan yang sia-sia keluar dari mulut budak-budak yang aku bawa ini.
Alhamdulillah... kami sampai di Lolo yang jaraknya 4.5 kilometer dari Masjid Kuala Pangsun pada jam 12.45 setelah beberapa kali berhenti menghilangkan penat. Masuk waktu zohor aku laungkan azan sekuat-kuat hatiku kerana disitu tiada orang lain yang akan mendengar azan kecuali kami saja. Dan Nabi s.a.w. ada sebut dalam satu hadith jikalau kamu di hutan dan hendak azan waktu hendak solat laungkanlah sekuat-kuatnya kerana perbuatan itu amat disukai oleh Allah ta'ala.
Seperti kebiasaan di kawasan tinggi apabila kita menjerit suara dari lantunan akan kembali kepada kepada kita dalam beberapa saat, jadi tidak perlu guna echo atau reverb macam guna P.A. system dimasjid.
Lega dan juga selesa rasanya apabila pokok-pokok serta batu-batu dihutan itu dapat mendengar azan dan pastinya gunung ini berbangga dari gunung yang lain kerana pada hari ini ada suara azan dari gunung itu. Maka cemburulah gunung-gunung yang lain.
Lepas mandi sepuas-puasnya kami berangkat ke Sungai Chongkak. Nyata air sungai di Sungai Chongkak tidak sesejuk air di Lolo yang selepas mandi akan menyebabkan mulut kita berasap.
Selepas asar kami mula mendirikan khemah. Sebelah malam selesai solat isyak kami duduk dalam satu bulatan dan aku mulalah bercerita kesah Nabi Musa a.s. kemudian kesah Nabi Isa a.s. yang sangat miskin dan akhirnya kesah Nabi Muhammad s.a.w. yang mendapat banyak dugaan ketika mula-mula menjalankan kerja dakwah.
Menjelang jam 11 malam budak-budak tu sangka waktu untuk masuk tidur sudah sampai, namun sangkaan mereka salah sebab jam 11 malam kita baru nak masuk kedalam belukar ditepi hutan berhampiran. Semuanya merasa cemas dan gusar. Aku tahu mereka semua ini takut pada kegelapan rasa hendakku bagitahu bahawa dalam kubur lagi gelap, tapi tak sampai hati sebab mereka maseh kekanak.
Akhirnya kesemua mereka berjaya kutinggalkan jauh antara satu dengan yang lain dengan pengawasan dari beberapa budak lelaki tempatan yang memberikan khidmat sukarela mereka. Jam 1.30 baru dapat tidur.
Keesokan hari dalam kuliah subuh barulah aku memberi penjelasan tentang hebatnya malam yang Allah ciptakan dan tiada makhluk yang dapat menjadikan malam jadi terang seperti siang atau siang menjadi gelap seperti malam kecuali Allah. Lepas sarapan pagi ada halaqah Quran, rupa-rupanya cuma dua-tiga orang saja yang dapat baca 6 surah terawal selepas surah Al Fatehah, yang lain ada yang sampai surah An Nass dah gelabah. Jadi kesimpulannya kena selalu baca al Quran walaupun sudah qatam sebab al Quran mempunyai mukjizat, jikalau selalu baca kita dapat ingat dengan mudah dan bila sudah ingat dan tidak baca dalam tempoh 3 hari ianya akan hilang.
Selepas bermalam di Sungai Chongkak selama 2 malam dan malam kedua masuk kedalam belukar lagi barulah mereka beroleh keyakinan bahawa kegelapan malam bukanlah perkara yang patut ditakuti. Allah dekat dengan kita ketika mana kita mengingati akan Dia.
La haula wala quwwata illa billah..~