Bacaan Popular

Khamis, 3 Januari 2013

Tentang Solat Rawatib Zuhur

Gambar hiasan Masjid Sheikh Zayed Abu Dhabi


Dalil Disyari’atkan


Solat Rawatib Zuhur adalah termasuk dalam kategori solat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. kecuali jika baginda sedang bermusafir. Terdapat banyak dalil yang menunjukkan bahawa Solat Qabliyah dan Ba’diyah Zuhur ini termasuk dalam sunnah Rasulullah s.a.w. Di antaranya adalah sebuah riwayat daripada ‘Abdullah bin Syaqiq, dia berkata: Saya pernah bertanya kepada ‘Aisyah tentang solattathawwu’ Rasulullah, lalu ‘Aisyah menjawab:

كَانَ يُصَلِّي فِي بَيْتِي قَبْلَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا ثُمَّ يَخْرُجُ فَيُصَلِّي بِالنَّاسِ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ


Maksudnya:


Rasulullah s.a.w. solat empat rakaat sebelum Zuhur di rumahnya lalu Baginda s.a.w. solat (Zuhur) bersama orang ramai dan setelah itu Baginda s.a.w. solat dua rakaat. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 730.



Keutamaannya


Menghindari Siksa Api Neraka

Mengerjakan solat sunat Rawatib Zuhur dapat memelihara seseorang itu dari api neraka. Dalilnya adalah sebagaimana sebuah riwayat daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha, dia berkata aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:


مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ.

Maksudnya:

Barangsiapa yang memelihara solat empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, Allah akan mengharamkannya dari Neraka. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 428.



Waktu Yang Afdhal Untuk Beribadah

Pada waktu ini pintu langit terbuka dan ianya memudahkan amalan-amalan soleh untuk naik ke atas.

Daripada Abu Ayyub al-Anshori bahawa dia bersolat empat rakaat sebelum Zuhur. Kemudian sewaktu dia ditanya: Mengapa anda selalu mengerjakan solat sunat ini? Dia menjawab: Saya melihat Rasulullah s.a.w. selalu mengerjakannnya, lalu saya pun bertanya seperti itu dan Baginda s.a.w. menjawab:


إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ فَأَحْبَبْتُ أَنْ يَرْتَفِعَ لِي فِيهَا عَمَلٌ صَالِحٌ.

Maksudnya:

Sesungguhnya ada suatu saat di mana semua pintu langit dibuka maka saya ingin sekali bahawa pada saat itu ada suatu amal kebaikanku yang naik ke sana. – Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 22449




Tatacara Perlaksanaannya Serta Hukum-Hukum Berkaitan

Waktu Mengerjakannya

Solat Qabliyah Zuhur dilaksanakan setelah azan Zuhur dikumandangkan dan sebelum melaksanakan solat Zuhur. Manakala solat Ba’diyah Zuhur didirikan sesudah mengerjakan solat Zuhur.


Jumlah Rakaatnya

Berkaitan dengan jumlah rakaatnya terdapat tiga pendapat dari segi perlaksanaannya.

Pertama : Mengerjakan dua rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat setelahnya. Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu’ anh, dia berkata:


حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا

وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.


Maksudnya:

Aku telah menghafal (menjaga) daripada Nabi s.a.w. tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1180.

Kedua: Mengerjakan empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat setelahnya. Daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:


مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا

وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.

Maksudnya:

Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Kedua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 380.


Ketiga: Mengerjakan empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat setelahnya. Daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha, dia berkata aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:


مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ.

Maksudnya:

Barangsiapa yang memelihara solat empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, Allah akan mengharamkannya dari Neraka. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 428

Kesemua tatacara di atas adalah bersandarkan kepada dalil-dalil yang sabit daripada Baginda s.a.w. maka dibenarkan bagi kita untuk melaksanakannya menurut salah satu dari tatacara di atas ataupun boleh juga bagi kita untuk menggilirkan tatacara perlaksanaan solat Rawatib Zuhur ini menurut ketiga-tiga tatacara tersebut.

Sekiranya solat Rawatib Zuhur ini dikerjakan sebanyak empat rakaat, diperbolehkan bagi kita untuk mengerjakannya dua rakaat lalu memberi salam dan sesudah itu dikerjakan lagi dua rakaat ataupun mengerjakannya sebanyak empat rakaat sekaligus dengan dua tasyahhud sebagaimana solat empat rakaat yang biasa.




Cara Mengqadha Solat Qabliyah Zuhur

Bagi mereka yang terlepas mengerjakan Solat Qabliyah Zuhur maka diperbolehkan untuk mengqadhanya setelah mengerjakan solat Zuhur. Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha, dia berkata:


أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا لَمْ يُصَلِّ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ صَلاَّهُنَّ بَعْدَهُ.

Maksudnya:

Sesungguhnya jika Nabi s.a.w. tidak sempat mengerjakan solat empat rakaat sebelum (Qabliyah) Zuhur, baginda akan mengerjakan keempat rakaat itu setelahnya. – Hadis riwayat Imam Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 426



Cara Mengqadha Solat Ba’diyah Zuhur

Bagi mereka yang terlepas mengerjakan Solat Ba’diyah Zuhur maka diperbolehkan untuk mengqadhanya setelah mengerjakan solat Asar. Hal ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah radhiallahu’ anha yang melihat Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat dua rakaat sesudah solat Asar sedangkan waktu itu termasuk waktu yang dilarang untuk mendirikan solat lalu beliau bertanya kepada Baginda s.a.w. lalu Baginda s.a.w. menjawab:

يَا بِنْتَ أَبِي أُمَيَّةَ سَأَلْتِ عَنْ الرَّكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعَصْرِ إِنَّهُ أَتَانِي أُنَاسٌ

مِنْ عَبْدِ الْقَيْسِ بِالإِسْلاَمِ مِنْ قَوْمِهِمْ فَشَغَلُونِي عَنْ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ بَعْدَ الظُّهْرِ فَهُمَا هَاتَانِ.


Maksudnya:

Wahai anak Abu Umayah, kamu bertanya tentang dua rakaat yang saya kerjakan setelah Asar, hal itu kerana saya telah didatangi oleh beberapa orang dari ‘Abdul Qais untuk mengislamkan beberapa orang daripada kaumnya sehingga aku tidak sempat mengerjakan solat rawatib dua rakaat sesudah Zuhur, dan inilah dua rakaat itu. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Maghaazi, no 4370.

Justeru itu menerusi hadis ini dapatlah kita simpulkan bahawa dibenarkan untuk mengqadha solat Ba’diyah Zuhur pada waktu dilarang mengerjakan solat iaitu setelah mengerjakan solat Asar secara mutlak. Sebahagian ulamak pula berpendapat bahawa larangan mengerjakan solat setelah waktu Asar hanyalah ketika matahari tenggelam. Sekiranya setelah mengerjakan solat asar dan matahari masih berwarna putih bersih maka ia tidak termasuk dalam waktu yang terlarang. Dalilnya adalah sebagaimana riwayat dibawah:


عَنْ عَلِيٍّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْعَصْرِ إِلاَّ وَالشَّمْسُ مُرْتَفِعَةٌ.

Maksudnya:

Daripada ‘Ali bin Abi Thalib bahawasanya Nabi s.a.w. melarang dari mengerjakan solat setelah Asar, kecuali jika matahari masih tinggi. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1082.



Ringkasan tatacara mengerjakan Solat Rawatib Zuhur


A) Tatacara Solat Rawatib Zuhur Dua Rakaat


Rakaat Pertama

1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Qabliyah / Ba’diyah Zuhur

2) Takbiratul Ihram

3) Doa Iftitah

4) Membaca surah al-Fatihah

5) Membaca surah al-Qur’an

6) Rukuk

7) Iktidal

8) Sujud

9) Duduk antara dua sujud

10) Sujud kali kedua

11) Bangun untuk rakaat kedua



Rakaat Kedua

1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)

2) Duduk untuk tahiyyat akhir

3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri

B) Tatacara Solat Rawatib Zuhur Empat Rakaat

Boleh dilaksanakan seperti solat Rawatib Zuhur dua rakaat di atas sebanyak dua kali ataupun dengan sekaligus mengerjakan empat rakaat dengan dua tahiyyat seperti di bawah.



Rakaat Pertama

1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Qabliyah / Ba’diyah Zuhur

2) Takbiratul Ihram

3) Doa Iftitah

4) Membaca surah al-Fatihah

5) Membaca surah al-Qur’an

6) Rukuk

7) Iktidal

8) Sujud

9) Duduk antara dua sujud

10) Sujud kali kedua

11) Bangun untuk rakaat kedua



Rakaat Kedua

1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)

2) Duduk untuk tahiyyat awal

3) Bangun untuk rakaat ketiga


Rakaat Ketiga

1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)

2) Bangun untuk rakaat keempat


Rakaat Keempat

1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)

2) Duduk untuk tahiyyat akhir

3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri


kredit: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus dan Ustaz Mohd Fikri Che Hussain (penyemak)


Salam Ukhuwah..~

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum tok wan, terima kasih berkongsi ilmu. insyallah akan dijadikan amalan :)

    BalasPadam