Bacaan Popular

Sabtu, 19 Januari 2013

Kisah Ibrahim Adham Bertaubat Kerana Termakan Benda Haram



Suatu hari selesai menunaikan ibadah haji, Ibrahim bin Adham berhajat untuk ziarah ke Masjidil Aqsa. Untuk bekal diperjalanan dia membeli 1 kilogram kurma daripada seorang peniaga tua berhampiran Masjidil Haram. Ketika kurma itu ditimbang Ibrahim melihat sebutir tergeletak di dalam timbangan. Dia menyangka kurma itu sebahagian daripada yang dibelinya. Lalu Ibrahim memungut memakannya. Kemudian dia berangkat menuju ke Al-Aqsa.

Dalam tempuh empat bulan Ibrahim tiba di Al-Aqsa. Seperti biasa Ibrahim suka memilih tempat beribadah di bawah kubah Sakhra. Dia solat dan berdoa dengan khusyuk sekali. Tiba-tiba dia mendengar dua malaikat berbual-bual mengenai dirinya." Itu, Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud, warak dan doanya selalu di kabulkan Allah SWT" kata salah seorang malaikat itu."

"Tetapi sekarang doanya ditolak kerana empat bulan yang lalu dia memakan sebutir kurma seorang peniaga tua di Masjidil Haram,"jawab malaikat yang satu lagi.

"Astaghfirullah, jadi selama empat bulan ini ibadahku, solatku, doaku dan mungkin amalanku yang lain tidak di terima oleh Allah SWT. kerana sebutir kurma yang bukan hakku itu!"

Terkejut Ibrahim mendengar ungkapan malaikat tadi. Dengan penuh penyesalan, dia bergegas ke Makkah menemui peniaga tua itu. Dia ingin meminta dihalalkan kurma yang terlanjur dimakannya dulu.

Sebaik sampai di Makkah, Ibrahim terus menuju tempat peniaga tua itu. Bagaimanapun, dia tidak melihat peniaga tua itu di situ lagi melainkan seorang anak muda yang sibuk melayan orang ramai yang membeli kurmanya.

"Empat bulan yang lalu saya membeli kurma disini daripada seorang tua. Ke mana pak cik tu sekarang?" tanya Ibrahim kepada anak muda itu.

"Sudah meninggal sebulan yang lalu dan saya yang akan meneruskan perniagaannya." jawab pemuda itu.

"Innalillahi wa innailaihi raji un, kalau begitu kepada siapa saya meminta penghalalan?" sambung Ibrahim yang kemudian menceritakan peristiwa yang dialaminya.

"Engkau sebagai waris orang tua itu, mahukah engkau menghalalkan sebutir kurma milik ayahmu yang terlanjur ku makan tanpa izinnya?" pinta Ibrahim.

"Insya Allah, saya halalkan tapi entah dengan saudara-saudara saya yang sebelas orang lagi. Saya tidak berani mewakili mereka kerana kami mempunyai hak waris yang sama ke atas perniagaan ini." jelas anak muda itu.

"Dimana saudara-saudaramu itu tinggal, saya mahu menemui mereka satu persatu." tanya Ibrahim bersungguh-sungguh.

Setelah mengetahui alamat sebelas waris itu, Ibrahim meneruskan perjalanan untuk mendapatkan penghalalan. Akhirnya, setelah berjalan jauh dan menemui sebelas beradik, hajat Ibrahim ditunaikan apabila kesemua mereka bersetuju menghalalkan kurma milik ayah mereka yang tidak sengaja dimakan itu.

Empat bulan kemudian, Ibrahim bin Adham sudah berada di bawah kubah Sakhra. Dia kembali mendengar perbualan dua malaikat itu.

"Itulah Ibrahim bin Adham yang doanya tertolak akibat termakan sebutir kurma milik orang lain" kata salah satu malaikat itu.

"Oh. tidak sekarang doanya sudah makbul lagi kerana telah mendapat penghalalan dari waris peniaga kurma itu." bisik malaikat yang satu lagi.

Kini, diri dan jiwa Ibrahim sudah ceria serta bersih dari kotoran kurma yang haram itu.

Bagaimana pula keadaan kita yang hidup dalam zaman yang akhir ini? Marilah kita berusaha merubah diri menuju Redha Allah.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan