Bacaan Popular

Sabtu, 10 November 2012

Amalan Kawen Bawah Umur...Sesuaikah Untuk Masyarakat Kini ??

Gambar sekadar hiasan

MASA saya kecil, main pondok-pondok, sesekali main kahwin dan sanding olok-olok. Seronok dan comel. Budak zaman sekarang, main kahwin-kahwin Barbie dan Ken lah agaknya. Permainan kanak-kanak pun berubah, mengikut perkembangan zaman yang semakin canggih dan global. Zaman mengejar kemajuan, dalam apa jua bidang. Zaman yang mementingkan pendidikan, tidak kira pada anak lelaki atau anak perempuan. Semuanya harus diberi peluang untuk belajar tinggi, meneroka dunia, dan dengan era komunikasi canggih, berhubungan dengan warga dunia lain.

Justeru, di era dunia moden ini, sesuaikah budak-budak perempuan dikahwinkan di zaman kanak-kanaknya, seperti yang lebih kerap berlaku di Malaysia baru-baru ini? Ada yang akan beri jawapan: “Di zaman Nabi dulu begitu.” Hujah yang sangat popular. “Ikut cara Nabi, balik zaman Nabi.”


Pilih-pilih bila nak ikut zaman Nabi

Apa yang menariknya, ada ustaz-ustaz yang ceramah siang hari siang malam mengajak orang ramai ikut cara Nabi, seperti di zaman Nabi, bukan main bergaya pula ke hulu ke hilir dengan kereta mewah buatan Eropahnya. Nak terima undangan ceramah pun, kena bincang harga dulu. Terlupa pulak dah pasal zaman Nabi naik unta, tak pakai telepon bimbit dan komputer canggih. Nabi serta para sahabat berdakwah tak pernah minta wang. Berceramah dan berdakwah tidak dijadikan suatu profesi lumayan.

Nabi s.a.w berdakwah untuk menegakkan keadilan bagi umatnya, lelaki dan perempuan, pada waktu itu di tanah Arab, dan juga untuk umat manusia di zaman ini di seluruh dunia. Pada zaman Nabi, amalan mempunyai hamba abdi masih merupakan perkara biasa yang diterima ramai. Adalah merupakan amalan untuk mengambil harta rampasan perang dibahagi-bahagikan antara tentera-tentera Islam waktu itu. Antara rampasan perang yang dibahagikan sebagai harta ialah anggota masyarakat yang ditawan itu, yang kemudiannya dijadikan hamba abdi.

Namun amalan hamba abdi sudah ditolak terus oleh kebanyakan masyarakat di zaman moden ini. Merampas harta dan menzalimi rakyat negara yang kalah perang juga akan dikutuk, malah oleh masyarakat Islam juga, sebagai melanggar hak asasi manusia.

Adakah apa yang dibuat pada zaman Nabi itu mesti diikuti dan apa yang tidak dibuat itu tidak boleh dibuat oleh masyarakat lain dan di zaman lain?




Al-Quran

Yang nyata, Al-Quran tidak dibukukan semasa Rasulullah s.a.w masih hidup. Al-Quran dibukukan di zaman Sayidina Uthman, Khalifah Rasyidin yang ketiga. Begitu juga hadith, ia hanya ditulis dan dikompilasikan lebih kurang dua ratus tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Realiti masyarakat kini

Masih juga kedengaran orang lelaki yang merungut kenapa mesti daftar perkahwinan dengan pihak berkuasa, kenapa nak kahwin lagi mesti kena minta kebenaran mahkamah. Mereka menyoalkan bukankah itu semua tidak dilakukan pada zaman Nabi? Yang ingin ditanya pada mereka pula ialah, bukankah banyak benda di zaman ini, di negara ini, tidak pernah ada dan dilakukan di zaman Nabi? Zaman Nabi tidak perlu daftarkan dan dapatkan sijil kelahiran, kad pengenalan, passport, geran tanah, lesen memandu dan banyak bentuk dokumen lain. Ia kerana realiti masyarakat dan zaman telah berubah.

Perempuan di zaman Nabi masih ramai yang tidak berpendidikan dan tidak pandai berniaga. Tapi, sekarang ramai perempuan yang berpelajaran dan berjawatan tinggi. Realiti masyarakat juga menunjukkan anak-anak perempuanlah yang lebih banyak membela dan membantu ibu bapanya, malah adik-beradiknya.

Bila bab kahwin, semua nak ikut sunnah, nak kahwin empat lah, budak perempuan kecil pun boleh dikahwinkanlah. Tapi, bukankah Al-Quran juga menekankan bahawa semua orang, lelaki dan juga perempuan, berhak mendapat pendidikan?

Orang-orang yang mengajak “kembali ke zaman Nabi” mungkin mahu budak-budak perempuan yang masih kanak-kanak dikahwinkan, tapi budak-budak perempuan sekarang pula mahukan pendidikan tinggi. Lihat sajalah statistik yang menunjukkan pelajar perempuan merupakan lebih kurang 70 peratus mahasiswa di universiti kita.

Baru-baru ini Malala Yousafzai, budak perempuan Pakistan berusia 14 tahun yang menuntut hak untuk mendapat pendidikan, telah ditembak oleh anggota Taliban. Begitulah jadinya bila ideologi sedemikian sudah berakar di dalam kepala kelompok yang berfikiran sempit sebegitu sehingga sanggup mahu membunuh budak perempuan yang mahukan pendidikan tinggi.

Yang menariknya juga, kebanyakan pertubuhan dan parti politik Islam tidak marah dan tidak terusik langsung jiwanya terhadap peristiwa kejam dan memalukan umat Islam itu. Tidak ada demonstrasi besar-besaran di negara-negara Islam, menuntut Pakistan agar menghukum sekeras-kerasnya anggota Taliban yang menembak gadis itu. Yang umat Islam nak ambil peduli, nak marah-marah ialah bila ada orang tidak setuju budak perempuan dikahwinkan di usia muda. Bila ada orang kata Islam sebagai agama sesuai sepanjang zaman, harus juga diamalkan sesuai dengan konteks zaman moden ini.


Malala Yousafzai 

Tapi, Alhamdulillah, nampaknya ada juga beberapa tokoh pertubuhan dan institusi Islam arus perdana yang tidak bersetuju amalan kahwin muda ini. Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin, rektor Universiti Islam Antarabangsa, dan Dr Harlina Halizah Siraj, ketua wanita sebuah pertubuhan Islam pun mengkritiknya.

Kesan negatif kahwin bawah umur

Masyarakat harus sedar kesan-kesan negatif kawen bawah umur. Jalan singkat untuk mengatasi masalah remaja “liar” dengan mengahwinkan mereka bukan penyelesaian yang membina, malah boleh tambah merosakkan. Jika remaja itu sendiri pun belum dapat mengurus dirinya dengan baik, bagaimana pulalah mahu mengurus keluarga dan anak-anak?

Bukankah yang harus diberikan pada mereka ialah pendidikan yang baik? Pendidikan yang boleh mematangkan mereka dan memperkasakan diri mereka agar lebih bijak apabila membuat sebarang keputusan? Yang menguatkan jati diri dan keyakinan diri mereka, agar tidak mudah ditipu dan dizalimi orang. Agar dia tahu hak-haknya, hak asasi manusianya, haknya sebagai seorang rakyat dan juga bagi perempuan, hak-haknya sebagai seorang isteri.

Jika budak perempuan masih bawah umur sudah dikahwinkan, sudah mampukah dia bernegosiasi dengan suaminya agar memastikan dia tidak dianiaya secara fizikal, mental, psikologi dan juga seksual? Mampukah dia mempertahankan hak-haknya? Tahukah dia mudarat atau akibatnya jika dia hamil sedangkan tubuh badannya belum lagi mampu untuk hamil, bahawa boleh menjejaskan kesihatannya dengan teruk, sehingga boleh menyebabkan kematian?

Semoga lebih ramai tokoh-tokoh Islam yang bersuara menentang amalan mengahwinkan budak-budak perempuan di usia muda. Semoga mereka tidak terikut-ikut dengan trend beri ceramah lawak murahan yang suka menghina dan mengejek perempuan.

Semoga tokoh-tokoh Islam lebih banyak beri ceramah menggalakkan budak-budak perempuan menuntut ilmu hingga ke pengajian tinggi. Agar perempuan bukan saja turut aktif menyumbang bakti pada negara, malah menjadi ibu yang berilmu yang boleh membesarkan anaknya dengan baik, anak yang boleh menampung keperluan ibu bapanya dan kakak yang boleh membantu dan mendidik adik-adiknya. Supaya menjadi seorang warga yang memastikan demokrasi di negara ini diamalkan dengan baik dan ditadbir dengan adil untuk semua. 


kredit: Norhayati Kaprawi

(Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita, pembuat filem dan fellow Asian Public Intelectuals. Dokumentari beliau Mencari Kartika, Aku Siapa dan Kudaku Menari Lagi mengutarakan isu-isu dalam masyarakat Islam di Malaysia, yang pastinya turut memberi kesan pada semua rakyat Malaysia.)



Salam Ukhuwah..~


Tiada ulasan:

Catat Ulasan