Pagi ini khamis harinya,
tiada artikel seperti biasa;
tapi pantun ibadah untuk pembaca,
agar tak leka pada dunia.
Bangun tahajud memang payah,
jikalau ada usaha In Sya Allah;
mohon syafa'at Rasulullah (s.a.w.),
di negeri akhirat kita tak susah.
Bila sudah berusaha baru berserah,
pada Allah Subhana wa ta'ala;
tiadalah yang lain lebih indah,
Dialah Pemilik segala yang ada.
Menganyam ibadah menyulam amal,
amal yang makruf jauhi yang munkar;
negeri akhirat memang kekal,
buatlah bekal sebelum waktu sakar.
@ sakar = sakratul maut
Di alam ruh sudah berbai'ah,
didalam kandungan kita belajar;
dilahirkan kedunia susah payah,
janganlah kita salah mengejar.
Kejarlah dunia kejarlah akhirat,
banyak mana termampu dek kita;
tapi utamakan yang bermunafa'at,
pesankan juga pada zuriat kita.
Hidup di dunia sungguh sementara,
tempat membuat amal ibadat;
kumpullah kebaikan himpunlah pahala,
jangan pula kumpul harta dan maksiat.
Pantun solat tok wan nak mula,
tiang agama kata kukuhnya;
sebermula ia wuduk dengan sempurna,
menghadap kiblat pasti arahnya.
Didalam dua raka'at sebelum fardhu suboh,
tersimpan mahligai yang kekal abadi;
kerjakanlah ia jangan mengeluh,
itu terima kaseh insan kepada Illahi.
Bacaan ayat Qursi selepas suboh,
menjadi pelindung sampai waktu 'asar;
bacalah selalu jangan gopoh,
haram neraka jika sampai sakar.
Pada dhuha tersembunyi pintu rezeki,
lakukanlah ia setiap pagi;
bukanlah ia kaya nan celepok sekali,
tapi rezeki tak putus setiap hari.
Empat raka'at sebelum zohor,
syafa'atnya besar di dalam hadith;
dilakukan orang yang 'alim sohor,
tak tertinggal ulama serta mubaligh.
Dua raka'at selepas zohor,
syafa'at banyak melimpah segala;
dirikanlah ia agar diri jadi akur,
kepada Allah Azza wa Jalla.
Raka'at yang dua sebelum asar,
buatlah ia bukan kerana manusia;
ada yang perati buat-buatlah tak sedar,
lama-lama riya' akan hilang juga.
Nak buat yang benar agak susah,
macam-macam dikata orang;
lagi baik buat saja segala ibadah,
pandang kehadapan jangan kebelakang.
Lepas solat asar empat raka'at,
jangan lupa bacalah ayat Qursi;
sehingga waktu suboh memberi syafa'at,
haramlah neraka jikalau malam itu mati.
Maghrib memang kena jaga-jaga,
disebut orang waktu dah senja;
solat berjema'ah pasti ada masa,
setelah seharian kita bekerja.
Solat sunat selepas maghrib,
disitu juga tersembunyi pahala;
kaya dan miskin sudahlah naseb,
itulah kehidupan dalam dunia.
Walau kaya dan banyak harta,
apalah guna jika keberkatan tiada;
biarlah miskin atau hidup merana,
asal hati tenang dan jiwa perkasa.
Solat Isya' sebelah malam adanya,
empat raka'at makmum rapat semua;
perbaharui taubat selepas salamnya,
hidup sejahtera terhakis segala dosa.
Ada lagi dua raka'at selepas itu,
pahalanya besar barang tentu;
jadikan amalan setiap waktu,
nak masuk tidur tutuplah pintu.
Sebelum tidur berwudu'lah kita,
sedekah al Fatehah kepada semua;
tiga Qulhu wajib kena baca,
lambong kekanan itulah tidurnya.
Bila terjaga sepertiga malamnya,
selawatlah kita jangan buat-buat lupa;
terus bangun tahajud apa salahnya,
nikmat Allah beri sudah tidak terhingga.
Kepada Allah janganlah berkira,
terlalu banyak yang telah kita terima;
sedari kecil hingga kita dewasa,
banyak pelajaran banyak yang berguna.
Bila diri tetiba rasa berdosa,
solatlah taubat seberapa segera;
jangan dinanti konon lain masa,
maut menjemput pada bila-bila masa.
Mata dan lidah selalu buat dosa,
begitu juga anggota lain ditubuh kita;
jikalau tak sempat minta ampun padaNya,
sia-sialah amalan serta ibadah semua.
Syurga dan neraka Dia yang punya,
Dialah penentu siapa-siapa didalamnya;
syaheed didunia belum tentu syurga tempatnya,
begitu juga ulama yang ternama.
Nak kukuhkan iman kuatkan aqidah,
agar kita tidak syirik kepada Allah;
sentiasalah berzikir bukannya payah,
tidak dibibir dalam hati pun tak kesah.
Banyak lagi tok wan nak berkesah,
tapi lain kalilah kalau takder masalah;
panjang sangat pun orang menyampah,
sampai disini saja Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan