Sempena Hari Raya Aidil Adha tahun 1433 ini tok nak cerita sikit berkenaan dengan beberapa perkara yang penting dalam kehidupan kita ini. Ia cuma sebagai renungan kita bersama di samping memperbaiki diri masing-masing. Insya'allah.
Sebuah rumah yang berpenghuni elok, cantik, terjaga rapi.
Tapi bila rumah itu sudah tidak berpenghuni, rumah itu jadi lusuh, runtuh, buruk, reput, roboh...
Kemudian, antara burung dan sangkar, yang mana lebih penting?
Kedua-duanya penting... Nak bela burung, kenalah ada sangkar. Kalau takde burung, apa gunanya sangkar? Bila burung takde, sangkar pun terbiar, tak terjaga, jadi buruk..
Begitulah hikmahnya yang Allah s.w.t. tunjukkan kepada manusia...
Allah s.w.t. menggunakan dunia untuk memberikan peringatan yang berhikmah kepada manusia yang sedang duduk di dunia.
Di dalam jasad manusia ini adanya roh..
Jasad hanya sebagai tempat untuk roh menumpang.
Jasad adalah dunia, roh memegang amanah untuk menjaga jasad iaitu tubuh badan manusia.. Roh itu kita tidak mampu untuk persoalkan dengan lebih lanjut, tapi hakikatnya, roh menggunakan jasad tubuh badan ini untuk mendengar dengan menggunakan telinga, bercakap menggunakan mulut, menghidu dengan menggunakan hidung, berfikir dengan menggunakan otak, berasa sakit apabila tercedera, walhasil apa saja yang tubuh badan rasa itu sebenarnya adalah roh itu sendiri yang mengalaminya....
Itu lah.. Kat dalam dunia ni, jasad lebih diutamakan daripada roh.. Dunia lebih diutamakan berbanding akhirat. Dalil, pagi-pagi orang sibuk nak berjoging sebab nak jasad sihat, tapi dia lupa, kalau tak solat subuh, tiada makanan rohani untuk dirinya. Apa gunanya kalau jasad dipentingkan lebih utama daripada roh?
Ramai manusia yang takut mati.
Padahal kalau mereka tahu hakikatnya mati, mereka akan rasa mati itu lebih baik daripada hidup. Tapi kalau dah hidup, maka adalah lebih baik bersedia untuk menghadapi mati.. Tapi realitinya, ramai yang fikir macam mana nak kejar hidup mewah macam lah kita semua ini tidak akan mati.
Ada dua ekor burung yang duduk di dalam sangkar masing-masing..
Seekor burung ini, bila dah duduk di dalam sangkar, dia berusaha macam mana nak hidup dengan selesa di dalam sangkar. Dia pun buat sarang daripada jerami-jerami yang ada di dalam sangkar itu. Dia bina sangkar yang paling baik, untuk hidup selesa, tak pernah terfikir mahu keluar daripada sangkar. Dia jadi benci untuk hidup diluar sangkar kerana dia sangka dunianya di dalam sangkar itu adalah yang terbaik.. Dia menyangka, kalau dia keluar, dia akan mati.
Tetapi seekor burung lagi, dia hidup hanya untuk makan dan minum, sambil setiap hari dia merindui dunia luar sangkar. Dia mengambil makanan dan tidur di dalam sangkar hanya mengikut keperluan, dia selesa tetapi dia tidak fikir sangkarnya itu adalah tempat yang terbaik untuknya. Dia mahukan dunia luar yang misteri, yang luas dan tidak diketahui..
Satu hari, tuannya melepaskan burung pertama tadi, yang sangat selesa hidup di dalam sangkarnya. Dia benci, menangis-nangis dan tidak mahu keluar daripada sangkar. Akhirnya dia mati di dalam sangkarnya. Burung yang kedua, dilepaskan oleh tuannya, alangkah gembiranya burung itu kerana akhirnya dia boleh keluar daripada sangkar. Gembira tidak terhingga kerana akhirnya dia berjaya keluar daripada sangkar, seolah-olah dia sudah meninggalkan dunia yang sementara itu untuk menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.
Jadilah seperti burung yang kedua...
Ambil dunia sekadar keperluan.
Keselesaan yang dirasakan semasa hidup dunia itu biarlah berpada-pada, jangan sampai keselesaan itu membuatkan kita malas untuk beribadah, malah akhirnya kita akan berasa ingin hidup lebih lama di dunia dalam keadaan mengejar kemewahan seolah-olah kita ini tidak akan mati satu hari nanti...
Utamakanlah akhirat yang kekal abadi berbanding dunia yang fana.
Mudah-mudahan dengan sedikit tazkirah ini, kita mampu merenung-renung akan keadaan diri, supaya kita boleh memilih sesebuah pengakhiran yang berbaloi dalam hidup kita dengan menggunakan akal yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. ini untuk kita berfikir...
Jangan lupa jasad kita ini akan menjadi seperti sebuah rumah yang tidak berpenghuni, akan roboh, runtuh tak terjaga pada suatu hari nanti. Jasad adalah sementara, roh itu kekal abadi. kredit: rakangroup
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan