Mewarisi agama Islam oleh sebahagian besar kaum Melayu menjadikan kebanyakan mereka tidak faham betul apakah agama Islam kerana sepanjang hidup hanya mewarisi dari ayah, nenek atau datuk moyang. Kesedaran pentingnya agama hanya apabila ada majlis khatam Quran, majlis bersunat (khatan), majlis akad nikah dan kenduri kawen atau kenduri tahlil, bulan puasa serta solat sunat hari raya.
Berbeza jauh dari mereka yang baru memelok Islam, dimana emak dan ayah mereka tidak Islam. Bagi mereka yang baru memelok Islam mereka ingin tahu banyak perkara tentang kebenaran agama yang murni ini, agama yang tulus yang datangnya dari Allah Rabbul 'alamin, Tuhan yang mentadbir / memerintah seluruh alam. Mereka mencari bukti-bukti bahawa agama ini benar-benar datangnya dari Allah yang Satu, Allah yang menjadi Pemilik sekelian yang ada. Apabila keinginan untuk tahu lebih banyak maka mula menyelongkar hadith dan mereka terjumpa hadith Nabi s.a.w. bahawa ada dua perkara yang ditinggalkan Nabi s.a.w. yang mana barangsiapa berpegang teguh kepada dua tali ini akan selamat didunia dan diakhirat. Dua tali itu ialah al Quran dan hadith.
Setelah memahami hadith Nabi s.a.w. mereka mengamalkan apa yang mereka tahu dari hadith dan mereka juga mengamalkan apa yang mereka telah tahu dari al Quran, inilah mereka yang benar-benar faham agama. Lalu setiap perkara yang Allah larang mereka tinggalkan, inilah kejayaan dunia dan akhirat.
Keyakinan mereka kepada makhluk hampir-hampir tiada, bahkan keyakinan sepenuhnya adalah pada Allah. DIAlah yang memberi rezeki dan DIAlah yang menentukan segala-galanya dari kita bangun tidur sehinggalah kita tidur kembali. Namun sebahagian besar pewaris agama ini tidak menaruh keyakinan yang penuh kepada Allah, mereka masih terkesan kepada benda-benda yang memang makhluk. Contoh kertas yang memang dibuat dari pokok lalu kertas itu diwarnakan menjadi wang kertas bernilai RM 100 dan yang tercicir dari poket seseorang yang berjalan ditempat orang-ramai lalu lalang. Lalu pewaris agama menganggap itulah rezeki terpijak, walhal pemeluk agama beranggapan wang tersebut mesti diserahkan semula kepada tuan punya.
Contoh lagi satu ialah seorang Ustaz yang juga mewaris agama dari mak ayah dan nenek moyangnya yang baru saja memberi ceramah dalam kuliah suboh. Seperti biasa selesai kuliah suboh ada jamuan ringan oleh pihak masjid lalu sambil menikmati juadah Ustaz tersebut berbicara tentang rumah dan harga rumah yang berhampiran masjid tersebut dan membandingkan harga rumah di tempat lain. Walhal yang Nabi s.a.w. suruh kita berpagi-pagian dengan banyak mengingati Allah ta'ala dengan berzikir. Dan sebagai adab juga kita dinasihatkan oleh ulamak kita agar tidak membicarakan hal-hal dunia dalam masjid. Jikalau tiada apa-apa perkara yang hendak diperkatakan lebih baik diam.
Disinilah bezanya antara yang mewaris agama Islam dari keturunan mereka dengan yang memeluk agama Islam. Bukan kesemua pewaris agama berkeadaan seperti yang disebutkan diatas, bahkan hanya segelintir sahaja, namun perkara ini jika tidak diusahakan agar memahami agama yang sebenarnya dikhuatiri zuriat akan datang lebih caca-marba dan akhirnya kita akan jumpa orang yang dalam MyKadnya agama Islam tapi tak tahu nak baca surah al Kafirun. Ada yang tak tahu nak baca surah al Fatehah dan ada yang tak tahu nak mengucap dua kalimah syahadah juga.
Sebab itulah di Malaysia sebelum seseorang lelaki dan perempuan dinikahkan mereka wajib mengikuti Kursus Perkahwinan. Disana mereka bertemu dengan para Ustaz dan pasti para Ustaz yang pernah mengendalikan kursus tersebut telah berjumpa mereka-mereka yang mewarisi agama Islam dari keturunannya sahaja.
Marilah kita sama-sama memantau anak-anak jiran kita supaya tidak seorang pun tidak dapat terlepas dari memahami agama ini setakat yang kita mampu. Jangan sampai bila dah nikah dan sudah ada ramai anak masih tak tahu nak berwuduk. Jika ini berlaku bermakna kerja kita semakin banyak dan sukar pula. Bahkan kita memang patut bersyukur kerana kita lahir dari perut ibu yang Islam dan berada dalam kalangan orang-orang Islam. Dengan keberadaan ini menjadikan peluang untuk kita buat usaha agama terbuka luas. Memang terlalu ramai anak-anak muda terutama remaja yang tidak ada pengetahuan agama dan ramai pula yang tidak memahami agama. Dengan adanya mereka ini menjadikan kerja kita semakin bertambah, dan bayangkan pula jika tiada kerja untuk kita usahakan jika sekiranya semua manusia sekeliling kita sudah faham agama, pasti kita tiada peluang untuk buat kerja agama. Inilah nikmat yang Allah ta'ala hantar untuk kita, jadi jangan lepaskan peluang ini, carilah mereka dan dampingilah mereka nescaya ganjaran yang Allah ta'ala akan berikan untuk kita amat besar, lebih besar dari gaji seorang Mufti Negara.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan