Jumaat, 19 September 2014

Khemah Ibadah

Tok Wan sempat bergambar depan papan-tanda air terjun Lolo

Pertama-tama sekali aku bersyukur kepada Allah ta'ala yang memberi nafas serta tenaga dalam usia emas ini aku maseh mampu mendaki gunung dengan beberapa anak-anak jiran dari PPR Desa Tun Razak.

Sembilan orang kekanak yang kesemuanya perempuan dipilih dalam usia 10 hingga 13 tahun kubawa mendaki gunung dalam cuti sekolah, temasuk 2 orang anak perempuanku yang kembar dalam tingkatan 1 tahun ini.

Wahh... ada jemaah dari Ampang keluar 3 hari di Masjid Jamek Kuala Pangsun waktu aku singgah. Sempat bertanya khabar sebelum meneruskan perjalanan untuk mendaki gunung. Selepas membaca sedikit doa kami pun mula mendaki dan di sepanjang perjalanan terlalu banyak perkataan yang sia-sia keluar dari mulut budak-budak yang aku bawa ini.

Alhamdulillah... kami sampai di Lolo yang jaraknya 4.5 kilometer dari Masjid Kuala Pangsun pada jam 12.45 setelah beberapa kali berhenti menghilangkan penat. Masuk waktu zohor aku laungkan azan sekuat-kuat hatiku kerana disitu tiada orang lain yang akan mendengar azan kecuali kami saja. Dan Nabi s.a.w. ada sebut dalam satu hadith jikalau kamu di hutan dan hendak azan waktu hendak solat laungkanlah sekuat-kuatnya kerana perbuatan itu amat disukai oleh Allah ta'ala.

Seperti kebiasaan di kawasan tinggi apabila kita menjerit suara dari lantunan akan kembali kepada kepada kita dalam beberapa saat, jadi tidak perlu guna echo atau reverb macam guna P.A. system dimasjid. 

Lega dan juga selesa rasanya apabila pokok-pokok serta batu-batu dihutan itu dapat mendengar azan dan pastinya gunung ini berbangga dari gunung yang lain kerana pada hari ini ada suara azan dari gunung itu. Maka cemburulah gunung-gunung yang lain.

Lepas mandi sepuas-puasnya kami berangkat ke Sungai Chongkak. Nyata air sungai di Sungai Chongkak tidak sesejuk air di Lolo yang selepas mandi akan menyebabkan mulut kita berasap. 

Selepas asar kami mula mendirikan khemah. Sebelah malam selesai solat isyak kami duduk dalam satu bulatan dan aku mulalah bercerita kesah Nabi Musa a.s. kemudian kesah Nabi Isa a.s. yang sangat miskin dan akhirnya kesah Nabi Muhammad s.a.w. yang mendapat banyak dugaan ketika mula-mula menjalankan kerja dakwah.

Menjelang jam 11 malam budak-budak tu sangka waktu untuk masuk tidur sudah sampai, namun sangkaan mereka salah sebab jam 11 malam kita baru nak masuk kedalam belukar ditepi hutan berhampiran. Semuanya merasa cemas dan gusar. Aku tahu mereka semua ini takut pada kegelapan rasa hendakku bagitahu bahawa dalam kubur lagi gelap, tapi tak sampai hati sebab mereka maseh kekanak.

Akhirnya kesemua mereka berjaya kutinggalkan jauh antara satu dengan yang lain dengan pengawasan dari beberapa budak lelaki tempatan yang memberikan khidmat sukarela mereka. Jam 1.30 baru dapat tidur.

Keesokan hari dalam kuliah subuh barulah aku memberi penjelasan tentang hebatnya malam yang Allah ciptakan dan tiada makhluk yang dapat menjadikan malam jadi terang seperti siang atau siang menjadi gelap seperti malam kecuali Allah. Lepas sarapan pagi ada halaqah Quran, rupa-rupanya cuma dua-tiga orang saja yang dapat baca 6 surah terawal selepas surah Al Fatehah, yang lain ada yang sampai surah An Nass dah gelabah. Jadi kesimpulannya kena selalu baca al Quran walaupun sudah qatam sebab al Quran mempunyai mukjizat, jikalau selalu baca kita dapat ingat dengan mudah dan bila sudah ingat dan tidak baca dalam tempoh 3 hari ianya akan hilang.

Selepas bermalam di Sungai Chongkak selama 2 malam dan malam kedua masuk kedalam belukar lagi barulah mereka beroleh keyakinan bahawa kegelapan malam bukanlah perkara yang patut ditakuti. Allah dekat dengan kita ketika mana kita mengingati akan Dia.

La haula wala quwwata illa billah..~

Jumaat, 12 September 2014

Mujahadah




Erti perkataan mujahadah ialah bersusah-payah. Bagitulah dalam hal agama, untuk mendapatkan nikmat agama dan nikmat hidayah kita perlulah bersusah payah.

Pertama kita harus bersyukur kerana tanpa mujahadah telah datang ke dalam rumah kita. Lebih beruntung sebab kebanyakan dari kita telah mendapat agama Islam sejak lahir disebabkan ayah dan ibu kita orang Islam. Dan oleh kerana kebanyakan kita dengan begitu mudah mendapat agama maka sebahagian besar dari kita sewenang-wenangnya tidak menta'ati agama sebab kita dapat agama dengan mudah.

Tapi dengan keadan yang sedemikian sebenarnya kita tidak dapat menikmati kemanisan agama Islam itu. Seperti yang Tok Wan sebutkan diawal tadi agama perlu mujahadah. Kita perlulah bersusah payah untuk memdapatkan sesuatu barulah kita akan menghargai apa-apa perkara yang kita dapat dengan susah payah.
  Kita sangka kita telah Islam sebab dalam I.C. kita tertulis agama Islam, namun sebenarnya kita tidak Islam dalam i  ertkata yang sebenar. Ada banyak tugas yang perlu kita laksanakan sebagai Islam sejati. Pertama kita harus sentiasa mengajak orang lain yang telah Islam untuk menjadi Islam tulen. Jikalau kita ke masjid kita perlulah mengajak mereka-mereka yang maseh leka lepak-lepak di tepi-tepi jalan menuju masjid. Jikalau terlihat perbuatan mungkar hendaklah kita cegah, tak dapat dengan mulut cegahlah dengan hati.

Perbuatan mencegah dan menegur ini termasuklah jika terpandang ada orang yang berwuduk dengan cara yang salah elok kita tegur dan tunjuklah cara yang betul. Begitu juga solat, jika terlihat ada orang solat dengan laju baik ditegut.

Untuk menegur ini biarlah dengan berhemah, dengan lemah-lembut dan di sertai dengan senyum pasti orang yang kita tegur itu tak marah. Lagi satu sebelum menegur itu eloklah berzikir, 'Subhanallah walhamdulillah, wala ilaha ilalah wallahu akbar'. In syaa Allah jika orang itu maseh marah kerana kita menegurnya dan dia pula bertindak ganas dengan memaki-hamun dan seterusnya mengambil batu serta membaling kearah kita pasti batu itu tidak menyakitkan diri kita walaupun berdarah. Dan yang pastinya darah yang jatuh kebumi itu ialah kerana Allah ta'ala.

Kita berani menegur itu hanya kerana Allah ta'ala dan kita menunjukkan kepada orang itu cara wuduk dengan betul serta cara solat dengan betul hanya kerana Allah ta'ala dan bukan kerana hendak menunjuk-nunjuk.

La haula wala quwwata illa billah..~

Jumaat, 5 September 2014

Iman Dan Amal Kita



Alhamdulillah... minggu ini Tok Wan nak bercerita tentang usaha atas iman yang dibuat oleh sekumpulan jemaah dari India.

Atas arahan markas Nizamuddin di India maka seramai 9 orang telah melapor diri di markas Sri Petaling. Kemudian dengan missi yang dibawa, markas mengarahkan mereka bergerak ke Filifina, Brunei, Singapura dan akhirnya Malaysia. Dan dari takrifan Tok Wan sendiri jemaah ini special sebab dalamnya terdapat seorang mufti dan 2 orang hafiz.

Rupa-rupanya sambil melakukan kerja dakwah dengan bantuan karkun tempatan mereka juga menjalankan kaji selidik. Antara soalan yang ditanyakan kepada ketua isi rumah yang di ziarahi ialah tentang solat. Berapa kali solat dalam sehari. Waktu Tok Wan ikut melakukan ziarah bersama mereka Tok Wan bertindak sebagai juru-bahasa kerana kebanyakan jemaah ini cuma tahu bahasa Urdu. Dan dalam kaji-selidik yang mereka lakukan muncul satu kesedaran baru dihati Tok Wan bahawa kewajiban solat diabaikan oleh kebanyakan orang.

Soalan pertama berapa kali anda solat dalam sehari. Ada 5 peratus yang jawab seminggu sekali. Ini bermakna cuma solat jumaat. Ada yang jawab sehari 3 kali, kumpulan ini cuma 20 peratus. Dan soalan seterusnya berapa kali anda kemasjid dalam seminggu, ada yang jawab 2 kali dan ada yang jawab 3 kali. MasyaAllah...

Soalan seterusnya adakah isteri dan anak perempuan anda solat dirumah? Berapa kalikah mereka melakukan solat dalam sehari? Jawapan yang di perolehi kadang-kadang solat dan kadang-kadang tidak solat. Jawapan kaum wanita yang melakukan solat dirumah cuma 30 peratus. Kekerapan solat mereka cuma antara 2 dan 3 waktu sahaja dalam sehari. MasyaAllah sepatutnya 5 waktu setiap hari.

Soalan seterusnya adakah dirumah anda setiap hari ada orang yang membaca al Quran? Jawapannya cuma 2 peratus sahaja yang membaca al Quran. Dan soalan terakhir adakah dirumah anda ada yang membaca hadith Nabi s.a.w? Tidak sampai satu peratus yang membaca hadith Nabi s.a.w.

Melalui kaji-selidik yang dilakukan oleh jemaah ini dapatlah kita menilai setinggi mana iman dan amal orang Islam di Malaysia. Mari kita berfikir sejenak apakah perlu kita mengambil kira berapa ramai orang yang tidak solat terutama jiran-jiran kita. Berapa ramai pula anak-anak yang sudah hampir baligh tidak tahu membaca surah al Fatehah dan 3 Qul walhal kita selalu bertemu dengan mereka sewaktu melangkah kaki hendak kemasjid.

Kita patut khuatir mereka akan mendakwa kita ketika di Padang Mahsyar dan dengan lantang mereka bersuara, 'Kenapa Pak Cik tak ajak saya sama waktu nak ke masjid dulu? Pak Cik patut pukul saya, kalau saya tak mahu Pak Cik patut boleh heret saya bawa ke masjid'. Begitulah suara mereka ketika di Padang Mahsyar. Hari ini kita maseh ada masa sebab maseh ada nafas dan kudrat untuk mengajak mereka ke masjid, mengajak mereka kepada Allah dan jikalau mereka tak mahu ikut bersabarlah sebab kita sudah ada alasan di Padang Mahsyar nanti. Semasa di dunia dulu bukan aku tak pernah ajak awak.

La haula wala quwwata illa billah..~