Bacaan Popular

Khamis, 19 September 2013

Cegah Masalah Mulut & Nafas Berbau



Anda sedang berbual dengan seseorang dan kelihatannya seperti dia cuba untuk menjauhkan wajahnya dari anda. Si dia juga mempamerkan wajah seolah-olah dia kurang selesa tetapi lebih teruk lagi jika dia terus menutup mulutnya sepanjang tempoh perbualan berlaku.

Situasi kurang menyenangkan ini mungkin atau tidak pernah anda alami tetapi bagi seseorang yang menghadapi masalah mulut dan nafas berbau, perkara ini mungkin mengganggu aktiviti sosial dan menjejaskan penampilan diri.

Apatah lagi jika anda adalah seorang yang berkerjaya dan perlu sentiasa berhadapan dengan individu-individu tertentu. Sememangnya ia menjejaskan kualiti kerja dalam konteks perhubungan sama ada secara profesional atau tidak.

Jangan risau! Anda boleh mengatasi masalah ini dengan petua-petua tradisional berikut yang bukan sahaja mudah dan murah malah diperakui keberkesanannya jika diamalkan selalu.



SIRIH

Sirih juga merupakan antiseptik semulajadi yang cukup terkenal dan digunakan sejak turun-temurun oleh nenek moyang kita. Anda hanya perlu membersihkan daunnya dahulu kemudian direbus dalam anggaran satu setengah gelas air. Biarkan air rebusan sirih menjadi sejuk dan boleh digunakan untuk berkumur selepas selesai menggosok gigi. Selain dari itu, anda juga boleh merendamkan beberapa helai daun sirih dalam air suam selama 5 minit dan minum air tersebut.


SERAI WANGI & KULIT LIMAU KASTURI

Serai wangi dan kulit limau kasturi sememangnya terbukti merupakan bahan alam semulajadi yang menghasilkan aroma yang wangi dan menyenangkan. Ambil tiga batang serai wangi dan tiga biji kulit limau kasturi lalu tumbuk kedua-duanya hingga lumat. Masukkan ke dalam periuk kecil dan tuang air sehingga tiga per empat tinggi periuk itu dan kemudian jerangkan sehingga mendidih. Setelah mendidih, tutup api dan biarkan sejuk. Tapis dan ambil airnya untuk dikumur sebanyak dua hingga tiga kali sehari.


DAUN JAMBU BATU

Selain buah jambu batu yang enak dimakan, daunnya juga memberi manfaat yang berguna. Ambil lebih kurang lima belas helai daun jambu batu yang muda dan tumbuk hingga lumat. Selepas itu masukkan daun yang telah lumat itu ke dalam gelas yang berisi separuh air. Tambahkan sedikit garam dan kacau. Tapis air tersebut dan digunakan untuk berkumur sebanyak dua hingga tiga kali sehari.


CENGKIH

Jangan ingat bunga cengkih hanya untuk memasak kari dan rendang. Ia juga boleh mengubati mulut dan nafas berbau. Rebuskan tiga atau lima kuntum bunga cengkih dalam air yang secukupnya atau anda juga boleh merendamkannya ke dalam segelas air suam selama 5 minit. Seperti biasa, air rebusan yang telah sejuk digunakan untuk berkumur dan amalkan di waktu pagi dan petang.


KULIT KAYU MANIS

Seperti bunga cengkih, kayu manis yang biasa digunakan dalam masakan juga mempunyai khasiatnya tersendiri. Kulit kayu manis mengandungi sebatian yang mampu mengurangkan bakteria punca masalah nafas berbau. Anda hanya perlu mengunyah sebatang kulit kayu manis yang kecil setiap malam sebelum tidur. Setelah menelan airnya, buang hampas tersebut dan amalkan setiap malam. Menghisap kulit kayu manis setiap hari membantu anda mengurangkan kehadiran sekurang-kurangnya 50% bakteria punca nafas berbau berbanding orang yang tidak menghisapnya.


BUNGA LAWANG

Bunga lawang mengandungi sebatian bersifat antibakteria dan antikulat. Ia turut mengandungi linalool yang bersifat antioksida dan sangat baik untuk kesihatan tubuh badan. Bunga lawang boleh direbus dengan air secukupnya atau rendamkan ke dalam segelas air panas selama 5 minit. Minum air yang telah disejukkan atau anda juga boleh berkumur dengannya. Seperti biasa, amalkan 2 kali sehari setiap pagi dan petang.

Jika anda mahukan cara yang lebih senang, kunyah sahaja bunga lawang tersebut. Cara ini lebih mudah dan cepat.



TEH HIJAU & DAUN PUDINA 

Teh hijau dan daun pudina terbukti menghasilkan aroma yang harum dan menyenangkan. Daun pudina juga merupakan bahan semulajadi utama yang selalu digunakan dalam semua produk ubat gigi di seluruh dunia. Dengan minum air teh hijau atau air rendaman daun pudina sekurang-kurangnya dua kali sehari dapat membantu anda mengatasi masalah nafas berbau.

kredit: yahoomalaysia


Salam Ukhuwah..~

1 ulasan: