Bacaan Popular

Jumaat, 17 Oktober 2014

Perlunya Bermujahadah

Gambar sekadar hiasan sahaja.

Memang Allah ta'ala itu bersifat Maha Bijaksana. Susu yang kita minum itu datangnya dari puting lembu atau kambing dan selalunya apabila kita melapah lembu qurban atau kambing aqiqah kita akan dapati bahawa punca datangnya susu itu tidak dijumpai. Tetapi Allah ta'ala berfirman dalam al Quran yang maksudnya, 'Kami jadikan susu haiwan itu terpancar antara darah dan najis haiwan itu.'

Itulah kepastian yang kita jumpa apabila melapah ternakan haiwan yang menjadi ibadah qurban atau aqiqah ditempat kita. Kedudukan puting susu lembu tersebut terlalu hampir benar dengan kedudukan najisnya. Begitulah Allah ta'ala meletakkan sesuatu pada tempat yang dikehendakiNya supaya kita dapat berfikir.

Berbeza pula dengan susu manusia atau susu ibu. Puting susu berada pada dada manusia dan bukannya diperut seperti pada haiwan. Sememang ianya jauh dari najis atau saliran najis. Ini membuktikan Allah memuliakan makhlukNya yang bernama manusia. Anak yang memerlukan susu tidak perlu menyusup masuk kebawah perut ibu untuk mendapatkan susu, sebaliknya ibu yang akan mendekatkan anak pada puting susunya bagi anak tersebut dapat meminum susu ibunya.

Dengan mengangkat anak lalu didekatkan kepada puting susu berarti manusia telah bersusah sedikit untuk memberikan anaknya minum berbanding dengan haiwan, sedang ibu mengunyah makanan pun anaknya boleh menyusup kebawah perut bagi mencari susu. Dalam ertikata lain manusia perlu bermujahadah untuk sesuatu yang istimewa.

Dan sesuatu yang istimewa yang Allah telah berikan kepada manusia ialah agama Islam, yakni agama yang benar lagi menjamin selamat didunia serta dinegeri akhirat. Bagi mendapatkan agama manusia perlu mujahadah, tanpa mujahadah pastinya nikmat agama Islam yang dimiliki oleh seseorang itu tidak semanis seperti yang dirasai oleh orang Islam yang lain.

Untuk mendapatkan nikmat beragama kita perlu susah-payah. Dengan bersusah-payah barulah agama ini dapat di nikmati dengan lazat baik didunia ini ataupun dinegeri akhirat kelak. Tanpa mujahadah apapun tidak nikmat. Dan sudah lazimnya sunnatullah dalam mujahadah ada kemanisan. Untuk agama ini kita perlu mengajak orang lain kepada Allah. Mengajak orang lain sama-sama pergi ke masjid kerana itulah kerja kita untuk rukun yang pertama yakni mengucapkan dua kalimah syahadah.

Kita lihat rukun kedua yakni solat lima waktu sehari semalam sebagai satu kerja yang wajib. Rukun ketiga yakni puasa di bulan Ramadhan. Semestinyalah untuk rukun yang pertama itu kita berikan penekanan yang lebih.

Ketika kita melangkahkan kaki hendak menuju ke masjid, perkara terbaik yang dapat kita lakukan ialah mengajak sesiapa saja yang kita jumpa di jalan untuk sama-sama ke masjid. Jikalau tidak mampu mengajak maka berilah salam sambil menunjukkan kepada orang itu arah ke masjid dan jika tidak mampu berbuat begitu memadailah dengan tersenyum. Dan apabila sampai ke masjid jangan lupa doa supaya orang yang kita jumpa tadi mendapayt hidayat dari Allah.

Begitulah setiap hari setiap waktu kena kerja, mengajak manusia kepada kebaikan. Mengajak manusia kepada Allah. Memang susah dan dalam susah itulah kita akan mendapat nikmat agama. Jikalau orang itu sudah mahu datang ke rumah Allah ajaklah dia berbicara. Jikalau dia suka berbicara hal dunia biarkan dan bersabarlah. Apabila ada peluang maka kita cakaplah kebesaran Allah. Hari-hari cakap pasal kehebatan Allah dan lama kelamaan pastinya apa yang sering kita cakapkan itu masuk dalam jasad kita, sebab telinga yang paling dekat dengan mulut yang bercakap itu ialah telinga kita sendiri.

Jadi bersusah-payah dalam mengatur perkataan untuk di cakapkan bagi mempengaruhi orang lain kepada jalan Allah sebenarnya kita yang mendapat faedahnya. Itulah perlunya bermujahadah.

La haula wala quwwata illa billah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan