Bacaan Popular

Selasa, 6 November 2012

Seks Bukan Kunci Utama Kebahagiaan



RAMAI yang percaya, dan ramai yang beranggapan seks adalah segala-galanya dalam sebuah ikatan perkahwinan. Kalau hubungan seks baik, akan bahagialah rumah tangga.

Benarkah begitu? Adakah ia punca utama kepada peningkatan kes perceraian setiap tahun?

Hakikatnya, perkahwinan bukan untuk melampiaskan nafsu seks atau keseronokan semata-mata. Perkahwinan sebenarnya satu ikatan, tugas dan amanah yang perlu dipikul serta dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Ya, ramai akui, salah satu tujuan dan hikmah perkahwinan adalah bagi membenarkan satu hubungan halal antara lelaki dan wanita.

Dalam Islam, melalui perkahwinan hubungan tersebut bukan saja dibenarkan, malah pelakunya akan diberikan pahala sama seperti melakukan ibadat suruhan Ilahi.

Namun perlu diingat, bukan itu sahaja tujuan dan hikmah perkahwinan. Malah, kalau dilihat kepada hikmah perkahwinan yang tersenarai, kita telah diajar sejak di bangku sekolah lagi, 'keseronokan' itu adalah tujuan terakhir.

Ini petikan daripada silibus Sijil Pelajaran Malaysia, telitilah sendiri :

Menyenaraikan hikmah perkahwinan:

* Melahirkan zuriat yang bersih.
* Memupuk perasaan kasih sayang antara suami dan isteri.
* Mengelakkan perbuatan maksiat.
* Melahirkan perasaan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah Allah.
* Memenuhi tuntutan rohani dan jasmani yang menjadi fitrah manusia melalui jalan halal.

Apabila seks menjadi hikmah terakhir dalam pensyariatan, jelaslah seks bukanlah kunci utama kebahagiaan. Lantas, di manakah terletaknya kunci bahagia rumah tangga?


Dua kunci utama

Seperti sebuah rumah, tidak cukup jika dikunci menggunakan satu kunci sahaja. Keselamatannya masih diragui. Paling kurang, ia memerlukan dua kunci iaitu satu kunci biasa dan satu lagi kunci mangga, barulah keselamatan lebih terjamin.

Sama dengan sebuah perkahwinan, ada dua kunci utama yang menjadi tulang belakang dalam usaha mewujudkan bahagia iaitu :

* Peranan yang dilaksanakan oleh suami dan isteri
* Isteri dan suami yang solehah


Peranan suami dan isteri

Suami dan isteri mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri di samping tanggungjawab bersama yang perlu dilaksanakan.

Tanggungjawab suami adalah hak isteri. Tanggungjawab isteri pula adalah hak suami. Suami perlu melaksanakan segala tanggungjawabnya agar isteri mendapat hak yang sewajarnya menurut syariat.

Isteri juga perlu melaksanakan segala tanggungjawabnya agar suami mendapat hak yang sewajarnya menurut syariat.

Secara ringkasnya, tanggungjawab seorang suami adalah melayani isteri dengan baik, memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan, menyediakan rumah serta keperluan berkaitan, melayani keperluan seks isteri dan bersikap romantik terhadap isteri.

Suami juga perlu bergurau dengan isteri, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumah tangga, sentiasa menunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri.

Sementara itu, tanggungjawab seorang isteri pula termasuklah taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak seks suami, menjaga harga diri, suami serta keluarga, menghormati suami dan menyenangkan hati suami.

Selain itu, tanggungjawab bersama bagi suami dan isteri pula adalah menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta menguruskan rumah tangga.

Sekiranya segala peranan dan tanggungjawab dilaksanakan dalam suasana penuh toleransi tanpa mengambil kesempatan, bahagia akan wujud walaupun hubungan intim bukan di takhta pertama.


Isteri solehah 

Sukar diakui, tetapi satu hakikat yang perlu diterima adalah isteri yang solehah sebenarnya kunci utama kebahagiaan hidup berumah tangga.

Bukan niat mahu memihak kepada kaum Hawa. Tanyalah pada mana-mana kaunselor sekalipun termasuk kaunselor lelaki, pasti semuanya mengakui, isteri adalah kunci kebahagiaan rumah tangga.

Imbas semula asal usul kejadian manusia. Allah menciptakan Hawa sebagai teman hidup Adam apabila Adam mengadu dirinya keseorangan dan kesepian dalam syurga.

Sebab itulah juga, alim ulama mengatakan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.

Wanita solehah adalah wanita yang menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Malah, jika wanita itu seorang isteri, beliau isteri yang taat kepada suaminya selagi si suami tidak menyuruhnya melakukan kemaksiatan kepada Allah dan tidak melarangnya daripada melakukan suruhan Allah.

Ya sesungguhnya, isteri merupakan kunci kebahagiaan sesebuah perkahwinan. Apa sahaja ujian dan dugaan yang mendatang dalam rumah tangga, sekiranya si isteri bersabar, bukan sekadar bersabar, tetapi berdoa memohon pertolongan Yang Maha Esa, insya-Allah, akan tiba masanya kebahagiaan yang diinginkan akan menjelma di depan mata.

Tiada yang mustahil kerana memang diakui, wanita bukan insan yang lemah. Wanita sebenarnya diciptakan dengan satu kekuatan yang hebat, tetapi sukar dilihat.

Lantaran, kepada semua wanita bernama isteri, anda penentu kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.

Peranan anda penting! Jika sayangkan perkahwinan, lakukan peranan anda dengan sebaiknya dengan diiringi doa. Dia Maha Mendengar dan Maha Mengurniakan.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

1 ulasan: